Saturday, 10 November 2012

"What a day to be alive" - Berhujung Minggu

Alhamdulillah, sekali lagi kita dipertemukan dengan hujung minggu. Sudah agak lama tidak saya update episod "what a day to be alive" - kegiatan hujung minggu bersama isteri dan Mawaddah.


Kesibukan kerja dan kelesuan tubuh badan pada minggu-minggu yang sudah membuatkan saya kurang aktif pada hujung minggu melainkan lebih serasi untuk bermalasan sahaja di rumah. Tetapi disebabkan banyak rancangan TV Malaysia ini mengandungi "sampah", menjadikan aktiviti menonton agak membosankan.

Tambahan pula, 2 minggu lagi semester baharu dan kuliah akan bersambung. I'm looking forward to meet new students and facing new challenges. Namun masih banyak tugasan di pejabat yang menuntut masa serta komitmen yang berterusan.

Begitupun, sama ada sibuk atau buat-buat sibuk, ia bukanlah faktor penyebab untuk tidak bersama memanfaatkan hujung minggu bersama keluarga. Saya sesungguhnya merindui masa lalu ketika bergelar pelajar di mana kami berdua memiliki masa yang lebih fleksibel untuk belajar, berjalan-jalan dan melakukan perkara yang kami ada minat bersama. Oh well, this is the life.


Hujung minggu ini kami membawa Mawaddah main kayuh basikal di Taman Tasik Shah Alam, berkebun sayur, mencuba android baharu yang berharga RM260, bermain dengan ibu kucing dan Mawaddah membaca Iqra'.

Amat menarik perhatian saya apabila memegang gajet pintar berkuasakan android ini. Bayangkan betapa harga sesuatu gajet itu boleh menjadi murah apabila sesuatu produk yang tiada jenama, tetapi memiliki keupayaan beroperasi di atas platform android. Terima kasih buat rakan-rakan group on yang mewar-warkan tawaran produk ini. 

Tidaklah secanggih iPAD mahupun Galaxy Note, but hey, you wouldn't expect too much from RM260.00 product, right? Ada kamera 4Mp, WiFi (check email, FB, blog, game, Word, etc. Cukuplah untuk dikongsi bersama Mawaddah. Sekurang-kurangnya tidaklah dia berebut laptop saya yang sudah berusia 6 tahun itu.


Semalam, selesai solat Maghrib, Mawaddah meminta Ibu menyambung pengajian Iqra'. Begitulah adat apabila berurusan dengan kanak-kanak yang banyak akal ini. Ada hari dia 'cabut lari' dan ada hari mood-nya baik, tidak perlu dipaksa. Apapun, eloklah minat itu datang daripada dirinya, dengan galakan kita sebagai ibu dan bapa.

Tapi macam biasalah, yang pening kepala apabila anak murid cuba jadi pandai lebih dari tok guru. Pening kepala tok guru jadinya.


Sekitar jam 7.30 pagi tadi (Sabtu) kami sudah keluar rumah untuk bersiar-siar (walking 10,000 steps a day - kononnyalah) di Taman Tasik Shah Alam (TTSA). 

Tasik Shah Alam merupakan taman rekreasi yang saya amat gemari (selain South Park). Pepohonnya yang merendang memberikan teduhan serta berbagai fasiliti disediakan untuk pejalan kaki, mereka yang berjogging, kanak-kanak, remaja bercanda dan keluarga. Kemudahannya juga diselenggara dengan baik. Kebanyakan pokoknya juga sudah matang dan berkanopi besar, menepati fungsi pokok sebagai pemberi teduhan kepada pengguna taman (selain membekalkan oksigen kepada warga Shah Alam). 

Pagi ini kami membawa Mawaddah berbasikal di TTSA. Kami pilih laluan yang tiada orang berjogging kerana tiada tempat berbasikal di situ. Tetapi Mawaddah agak malas berkayuh. "My feet are tired" dan "I want to sleep" merupakan alasan-alasan sudah kami jangkakan. Macam mana kaki boleh penat sedangkan Ayah yang pandu kereta, bukannya datang berjalan kaki. Macam-macam akal dia. Dia hanya nak naik basikal dan suruh kita yang tarik atau tolak. Kita pula nak suruh dia belajar kayuh basikal sendiri. 

Selepas berputus asa dengan basikal, kami berjalan-jalan dan kemudian ke Restoran Khalifah di Seksyen 3 dan dalam dia mengantuk itu habis licin 1 keping roti canai dibedalnya...Hoho. Mungkin ayah kena beli basikal elektrik kot lepas ni.


Pulang ke rumah, saya terus menyambung kerja berkebun yang tertangguh iaitu memindahkan anak kacang botol yang disemai ke dalam bekas yang lebih besar. Maklumlah sejak kebelakangan ini cuaca selalu tidak menentu. Hampir setiap petang hujan lebat dan petir.

Kali ini saya mengitar-semula botol air mineral yang Mak telah gunakan. Saya melihat saiz botol kosong itu amat sesuai untuk dijadikan bekas tanaman. Saya potong bahagian atas dan menebuk beberapa lubang untuk keluarkan air pada bahagian bawahnya. Selain mengitar semula botol saya turut 'menuai air hujan' ke dalam baldi. Cukuplah untuk menyiram herbs dan pohon halau nyamuk di tepi tingkap.

Mawaddah juga turut membantu memindahkan campuran tanah hitam dan kuning ke dalam pasu, dengan diperhatikan oleh mummy cat. Alhamdulillah, tanaman cili sudah lama memberikan hasil. Setiap 2-3 hari adalah 10 biji cili padi merah untuk dipetik oleh Mak. Manakala, masakan seperti kari dan rendang juga tambah mudah dengan adanya pohon daun kari dan kunyit hidup yang ditanam di luar rumah.


Selain mengguna semula botol kosong, saya turut mencuba-jaya penyelesaian masalah serangan semut pada pohon cili. Caranya adalah dengan memotong batang pokok (log) yang kemudiannya dimasukkan ke dalam bekas makanan sebelum diisikan air (pastikan anda tukar air setiap 3 hari sekali untuk elak pembiakan nyamuk). Alhamdulillah, selesai bab semut. Tetapi kini timbul masalah lain seperti serangan kumbang (serangga yang terbang).


Selesai bermain tanah, Mawaddah kemudiannya kembali menyakat mummy cat. Itulah hobi dia, nak buat macam mana. Harap dia akan rajin untuk belajar Iqra' dan berjaya kayuh basikal. Harap cuaca juga akan bertambah baik. What a day to be alive, Alhamdulillah!

Lawan tenung eh?

No comments: