Tuesday 7 April 2009

Masing-masing menang


SUNGAI PETANI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah, apabila calonnya, S Manikumar, 35, menang dengan majoriti 2,403 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dan 13 calon Bebas.

Manikumar memperoleh 12,632 undi manakala calon BN, Datuk S Ganesan, 49, mendapat 10,229 undi dalam pertandingan paling ramai calon dalam sejarah pilihan raya negara.

Semua 13 calon Bebas hilang wang deposit selepas gagal mendapat undi minimum satu per lapan daripada keseluruhan undi, sekali gus mencatatkan satu lagi sejarah sebagai pilihan raya paling ramai calon hilang wang deposit.

Pilihan raya kecil itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila kertas undi paling besar digunakan bagi memuatkan 15 nama dan simbol calon.

===============

TAIPING: Pas mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gantang apabila calonnya, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memenangi pilihan raya kecil kawasan itu hari ini dengan memperoleh majoriti 2,789 undi.

Mohammad Nizar, 52, yang juga bekas Menteri Besar Perak memperoleh 21,860 undi, menewaskan calon BN, Ismail Saffian yang meraih 19,071 undi serta calon Bebas Kamarul Ramizu Idris yang hanya memperoleh 62 undi dan hilang wang pertaruhannya.

===============

LUBOK ANTU: Calon Barisan Nasional (BN), Malcolm Mussen Lamoh menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air dengan memperoleh majoriti 1,854 undi mengalahkan pencabarnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang.

===============

Nota kaki:

-tiada apa-apa kejutan besar yang terjadi. Malah, dilihat sekali imbas BN dan PR sebenarnya sama-sama menang, dengan berjaya mempertahankan kerusi yang juga telah disandang mereka sebelum ini.

-keputusan ini juga menunjukkan usaha Tun M kembali ke pangkuan parti lamanya dan slogan PM yang baru bagi 'memohon restu rakyat' masih belum 'direstui' sepenuhnya oleh para pengundi di kawasan-kawasan terbabit (Perak dan Kedah).

-kejayaan memenangi beberapa jawatan penting (Timbalan Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan Ketua Wanita) semasa persidangan agung UMNO yang baru saja selesai juga dilihat tidak begitu mempengaruhi 'pertukaran mood' di kalangan pengundi di kedua-dua kawasan (Perak dan Kedah).

-yang jelas undi majoriti yang dimenangi meningkat di ketiga-tiga kawasan. Iaitu PR hilang undi kepada BN di Batang Air, dan BN hilang undi kepada PR di Bukit Selambau dan Bukit Gantang.

-apapun kita tunggu dan lihat apa analisa dan rumusan oleh pihak-pihak berkaitan mengenai keputusan pilihanraya di ketiga-tiga kawasan ini esok, selepas depa semua bangkit dari tidur (setelah kepenatan berkempen dan menunggu keputusan malam tadi...)

Wassalam.

No comments: