Monday, 20 April 2009

Kedekut

Jumaat lalu saya bersolat di Masjid Cowley. Sebelum bacaan khutbah, ada sessi 'Bayan' atau ceramah yang disampaikan imam masjid. Disebabkan tiba agak lewat, makanya saya hanya sempat mendengar 'yang hujung-hujung' ceramah sahaja.

Beliau menyentuh sikap ummat Islam hari ini yang 'begitu berkira untuk bersedekah' (dalam konteks ini, sumbangan kepada penyiapan pembinaan masjid).

Ini kerana pada minggu sebelumnya (cuti Easter), seramai 2000 jemaah telah bersolat di situ, dah jumlah kutipan hanya GBP2000+ sahaja. Secara kasar, 1 orang = GBP 1.

Ini menunjukkan orang Islam kita begitu berkira untuk menderma, sedangkan ia amat-amat diperlukan masjid (yang masih belum siap). Tanpa disedari, mereka inilah juga yang akan datang bersolat dan anak-anak mereka jugalah di masa depan akan menggunakan masjid tersebut.

Disebabkan jumlah jemaah terlalu luar biasa ramai semasa cuti Easter itu juga, saya terpaksa bersoalt di tingkat atas. Fahamlah saya akan apa yang dimaksudkan oleh sang imam. Siling tingkat atas masih belum lengkap, dengan palang-palang besi berselerakan, jemaah hanya dibenarkan solat di 6 saf hampir dengan pintu belakang sahaja.

Jika mengambilkira aspek keselamatan, tingkat atas memang tidak boleh dibuka langsung kerana pembinaan masih berjalan, tetapi apakah pilihan yang ada?

Sedarlah

Sang imam berkata:

"kita sanggup mengeluarkan wang/belanja yang banyak hanya untuk membeli pakaian yang berjenama dan yang mahal-mahal, untuk memastikan anak-anak kita kelihatan cantik dan segak bergaya"

"kita sanggup masuk ke restoran yang mahal-mahal untuk makan yang sedap"

"tapi kita amat kedekut/berkira apabila tiba masa untuk menderma demi menyiapkan Rumah Allah s.w.t ini"

"sedangkan sebarang wang yang kita dermakan itu, jika diguna untuk membeli simen dan diguna untuk mengikat bata dan ia kekal menjadi dinding masjid. Selagi ada orang datang beribadat di situ dan selama mana masjid itu kekal, selagi itulah kita mendapat pahala di atas derma kita itu'

Kata-kata imam itu bagaikan anak panah yang terus menikam hati saya. Bukannya tidak pernah mendengar orang merayu derma sebelum ini. Tetapi di sini, saya dapat merasai sendiri bagaimana susahnya kita orang Islam untuk bersolat.

Tidak seperti di tanah air. Masjid dibina kerajaan dan tidak timbul sangat rayuan untuk membina dan menyiapkan masjid.

Di UK, kita umat Islam bersesak-sesak bersolat dan beribadat di dalam keadaan yang masih kurang selesa. Bila macam ni, timbul rasa syukur dengan apa yang kita dan anda semua dah ada di tanah air.

Sang imam menambah lagi:

"kita sering menjadikan alasan masalah kewangan atau kita pun susah disebabkan krisis ekonomi sekarang, tetapi sedarkah kita bahawa orang yang lebih kuat imannya ialah apabila sanggup menyumbang / mendermakan benda yang sangat dia sayang (wang) ke jalan Allah s.w.t"

Saya sendiri kadang-kala terasa sayang untuk mengeluarkan derma, yelah kita 'student' dan wang biasiswa pun tak cukup. Apatah lagi nak menderma.

Baik datang solat, belajar dan duduk diam-diam sajalah.

Tapi pernah juga terfikir, "mengapa aku berkira untuk menderma, tapi bab nak shopping, makan, berjalan ke sana-sini, tak pula aku berkira. Masya-Allah!"

Inilah 'dosa' saya kerana tidak pandai di dalam 'meletakkan keutamaan' dalam agama. Seharusnya yang lebih utama itu saya dahulukan, bukan sebaliknya. Kita bersuka-ria, menghargai diri sendiri dan bersama anak-isteri (membeli hadiah yang istimewa, etc), sedangkah untuk menyiapkan Rumah Allah pun kita tidak mampu membantu, malah begitu berkira pula dengannya.

Macam nikmat hidup yang Allah kurniakan ini nikmat wang, nikmat pekerjaan, nikmat kebahagiaan keluarga ini dah jadi hak kita kerana usaha kita semata. Kita dah silap.

Moga Allah buka pintu saya, keluarga saya dan kaum muslimin di Oxford dan seluruhnya untuk sama-samalah kita menderma dan berbakti ke jalan Allah s.w.t, demi hari ini dan nikmat berpanjangan di akhirat kelak.

Wama-alaina-illalbalaru'l-mubin.

No comments: