Thursday, 16 April 2009

Sebab tu je?

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

"Mohammad Fairus Letak Jawatan"

==========================

Saya tertarik untuk menyampaikan pandangan peribadi mengenai tindakan 'bekas' TKM1 Pulau Pinang dari PKR yang semalam mengumumkan perletakkan jawatan beliau sebagai ADUN @ Yang Berhormat Penanti.

Saya bukanlah pengikut 'tegar/fanatik' mana-mana pertubuhan politik. Dan saya juga bukanlah jenis yang membuka satu telinga dan menutup yang satu lagi. Saya suka mendengar kanan dan kiri, dan darinya ia membantu saya membuat pertimbangan secara lebih rasional.

Dalam hal ini, prinsip saya mudah sahaja.

"Sesiapa saja rakyat Malaysia yang layak (capai umur) menjadi pengundi, adalah kemestian baginya untuk mengetahui tentang politik. Kerana dia akan menunaikan tanggungjawabnya untuk memilih kerajaan dalam pilihanraya kelak".

Justeru, baca dan buatlah pertimbangan anda sendiri secara rasional terhadap penulisan ini.

Baru diuji

Mohammad Fairus dalam beberapa minggu yang lalu sesungguhnya telah berdepan dengan ujian terbesar (mungkin) di dalam karier politiknya setelah ditahan dan disiasat oleh SPRM berhubung tuduhan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang menjawat jawatan sebagai TKM1 PP.

Ianya berikutan laporan yang dibuat oleh seorang pemimpin yang juga dari PKR terhadap beliau dalam isu operasi kuari di PP.

Apapun, kita tinggalkan dulu isu dakwaan rasuah ini kerana SPRM telah ada kertas siasatannya dan dalam tempoh terdekat ini akan kita ketahui keputusan dan apakah nasib Mohammad Fairus.

Alasan

Menurut Utusan online keputusan Fairus itu:

1) "dibuat bagi membolehkan beliau memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekaligus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya"

Tambah beliau lagi:

2) "Ruang ini juga akan saya manfaatkan untuk menumpukan usaha bagi membersihkan nama baik saya dari segala tohmahan yang dilemparkan terhadap saya selama ini".

===
Pada saya, sebelum beliau mula mendaki hierarki kekuasaan dan terlibat secara aktif dengan politik lagi, beliau telah berfikir habis-habisan, telah menyusun perancangan, dan membuat pertimbangan pro-kontra akan perubahan yang bakal beliau alami.

Ini kerana kerjaya sebagai ahli politik (pemimpin akan lebih berat lagi) bukan kerjaya 'cuba-jaya'. Ia merupakan betapa tingginya nilai kepercayaan dan keyakinan orang ramai diletak terhadap diri kita, sehingga diangkat memimpin mereka semua.

Janganlah dijadikan alasan 'nak sambung belajar' atau 'menumpukan kepada keluarga' sebagai alasan utama untuk lari daripada tanggungjawab tersebut.

Bukannya tiada contoh yang baik untuk dijadikan ikutan. Jika perut terasa mual untuk mencontohi pemimpin BN, lihat saja bagaimana Tuan Guru MB Kelantan, dan MB Kedah yang memikul bebanan lebih besar. Lebih-lebih lagi MB Kelantan telah lebih 18 tahun mengepalai pentadbiran negeri Kelantan.

Jika baru hendak belajar untuk menyesuaikan masa bersama keluarga (kepentingan peribadi), sambung belajar (juga untuk kemajuan diri sendiri), bertanyalah bagaimana Tuan Guru membahagikan masa bersama keluarga, belajar, memberi kuliah agama, menulis buku, etc!

Saudara Fairus rasanya baru 2 tahun (atau kurang) menjadi TKM PP. Mengapa baru sekarang timbul alasan 'sambung belajar'? Bukankan modul pelajaran di peringkat pasca siswazah boleh dibuat secara 'separuh masa', jika tidak mampu untuk 'sepenuh masa'. Buat separuh masa dan 'separuh lagi' boleh dimanfaatkan untuk bersama keluarga.

Fikir

Sekarang, Fairus perlu banyak memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia amnya, dan pengundi di DUN Penanti khasnya mengenai alasan di sebalik tindakan beliau.

Secara logik - jikalau saya sendiri yang mengundi beliau di kawasan tersebut, saya ada hak untuk mendapatkan penjelasan dan untuk mempersoalkan tindakan ADUN saya yang tiba-tiba melepaskan tanggungjawab kepada rakyat hanya kerana untuk memenuhi tuntutan peribadi (sambung belajar dan bersama keluarga), biarpun ada contoh terbaik untuk bahagikan masa yang boleh beliau belajar darinya.

Lupakan dulu kos yang perlu ditanggung untuk mengadakan pilihanraya kecil (kos oleh SPR & kos berkempen atas nama 'mee segera' oleh jentera kerajaan, etc. - haha).

Atau mungkin juga (yang tersirat) beliau telah dapat menjangkakan keputusan SPRM terhadap siasatan kes beliau ini. Justeru untuk tidak menjejaskan kredibiliti PR, maka beliau rela mengundurkan diri. Jika ini prinsip yang dipegang beliau, Alhamdulillah.

Namun, pengunduran beliau ini bukanlah dibuat atas dasar prinsip untuk menjaga nama baik PR/PKR - rujuk berita. Alasan utama - alasan masih lagi untuk melanjutkan pelajaran dan bersama keluarga.

Apapun, tidak lama lagi SPR akan mengumumkan satu pilihanraya kecil DUN Penanti. Semua mata akan tertumpu kepadanya. Segala jentera akan digerakkan ke arahnya. Segala strategi akan dirangka untuknya.

Tetapi jangan juga dilupa, sejarah ADUN yang sebelumnya tidak dapat tidak akan diungkit dan dijadikan modal berkempen oleh pihak-pihak yang terbabit.

Menarik

Mudah-mudahan urusan untuk membersihkan nama baik beliau akan berjaya. Tidak perlu gusar jika tidak buat benda salah. Malah orang yang tuduh itu pula nanti akan mendapat balasannya.

Perkembangan akan datang pastinya lebih menarik dan bersamalah kita lihat, fikir dan pertimbangkan apa yang baik dan apa yang buruk.

Wassalam.

No comments: