Thursday, 15 September 2011

Apabila Tok Jib mansuh I.S.A

Posting ini terbahagi kepada 2 bahagian:

1) Nukilan Dr MAZA (sumber dinyatakan)

2) Petikan menarik dari buku bekas Menteri UMNO yang lantang menentang ISA, yang juga Menteri paling pendek tempoh perkhidmatannya dalam Kabinet - "Saya Pun Melayu"

Selamat membaca!

Bahagian 1 - DrMaza: Langkah Mansuh ISA Mesti Dipuji dan Disokong

Sumber asal: drmaza

Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih yang teramat sangat kepada langkah bersejarah dan tindakan berwibawa YAB Perdana Menteri DS Najib Tun Razak yang memansuh ISA dan tiga Proklamasi Darurat yang baru sahaja diumumkan. Bagi saya pengumuman itu membawa makna yang besar kepada negara dan amat bersejarah:

1. ISA adalah satu akta yang tidak Islamik, menjejaskan hak asasi individu, boleh disalahgunakan oleh pemerintah dengan mudah; maka tindakan memansuhkannya adalah tindakan yang amat islamik. Dalam masa yang sama menunjukkan semangat penghormatan hak rakyat yang tinggi oleh pihak pimpinan YAB Perdana Menteri sekarang dalam isu ini.

2. Sekian lama perjuangan agar akta ini dimansuhkan, hari ini YAB PM telah merealisasikan harapan dan impian rakyat ini. Itu satu penunaian hasrat rakyat yang besar untuk melihat sistem pengadilan negara yang lebih baik.

3. Pengumuman ini lebih berharga dari segala pemberian bonus dan kenaikan gaji, kerana pemansuhan ini bererti mengembalikan hak asasi insani yang lebih berharga dari wang ringgit. Ini bererti ia sebuah hadiah daripada PM yang bermakna sempena Hari Malaysia.

4. Pengumuman ini bererti, usaha transformasi negara dan kesedaran kerajaan YAB PM sekarang tentang perubahan situasi rakyat tidak boleh dianggap retorik politik semata, sebaliknya ia telah diterjemahkan dalam beberapa langkah yang berani dan bermakna.

5. Rakyat yang insaf, tanpa mengira parti hendaklah berterima kasih kepada pengumuman ini. Kita hendaklah berpolitik secara matang, memuji apa yang patut dipuji, menyokong apa yang patut disokong, membantah apa yang patut dibantah, mengkritik apa yang patut dikritik.

Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih dan tahniah, dan menyeru semua rakyat berterima kasih atas langkah ini.

Bahagian 2 - Petikan buku "Saya Pun Melayu" oleh Zaid Ibrahim

1. Jika kita mendahulukan rasional berbanding emosional, benda yang baik untuk rakyat, tidak kiralah datangnya dari BN mahupun pembangkang, wajarlah disokong dan dipuji dan begitulah sebaliknya.

2. Sebarang perubahan/benda baru lazimnya akan berdepan cabaran/halangan, maka proses untuk membolehkan kita melihat dan merasai hasilnya juga turut memakan masa. Di dalam urusan pentadbiran, Najib tidak mampu menghadirkan keajaiban "dalam satu malam", namun nampak adanya keterbukaan di situ untuk mendengar teguran rakyat (dan pihak pembangkang) sebelum ini (di dalam isu ISA ini).

3. Inilah politik, strategi "serampang dua mata". Ianya tindakan yang popular dan ianya juga sedikit "melegakan" rakyat. Soal ingin memancing undi tidak timbul kerana sesiapapun yang berpolitik hari ini, bukankah mereka semua ingin meraih undi?

4. Ada juga yang berhujah bahawa Najib mansuh ISA tetapi membentuk akta baharu. Betul, dan janji para pemimpin pembangkang dahulu-pun sama iaitu untuk memansuhkan ISA. Dan mereka juga tidak memperjelaskan bentuk undang-undang sesuai bagi menggantikannya. Jadi adillah.

5. Janganlah kita bersikap terlalu 'totok' dengan memekakkan telinga dan membutakan mata, tidak melihat usaha yang sedang dibuat ini demi memuaskan nafsu yang "anti segalanya". Janganlah kita mentafsirkan sesuatu perkara menurut hawa nafsu. Maksudnya, apa yang tidak selari dengan agenda kita sekalipun ianya baik, tetap kita cari jalan untuk kondem-ia. Ini bukan akhlak yang baik.

6. Selain saya dan DrMaza, seorang lagi individu yang saya kira paling gembira dengan pemansuhan ISA ini adalah Dato' Zaid Ibrahim, bekas menteri UMNO yang menjaga undang-undang yang telah meletak jawatan sekitar September 2008.

7. Bagi anda yang pernah membaca buku beliau bertajuk "Saya Pun Melayu" tentunya dapat menyelami hasrat besar beliau untuk melihat ISA dimansuhkan. Kerana itulah perkara ini telah disentuh di awal bab dalam bukunya (Bab 1: Letak jawatan sebagai menteri; ISA perlu dimansuhkan, ms. 35).

8. Di antara pandangan beliau mengenai ISA:

"...saya tetap berpegang kepada prinsip bahawa ISA sebagai undang-undang tidak adil dan merampas hak kebebasan seseorang yang dijamin oleh Perlembangaan Negara. Keselamatan negara tidak akan terjejas jika kita mempunyai perkhidmatan polis dan risikan yang baik. Keselamatan negara bukan sesuatu yang kita permainkan atau mahu kita kompromi, tetapi janganlah gunakan ISA untuk rakyat yang tidak sebulu dengan kita atau musuh politik kita" (ms. 37)

"Sebenarnya pendirian saya ini (berkenaan ISA) bukanlah baru. Sikap mengenai ISA telah saya jelaskan dalam buku saya berjudul In Good Faith yang diterbitkan pada tahun 2007. Maknanya saya menyatakan pendirian itu semasa saya belum menjadi Menteri lagi" (ms. 37)

"Kita ada banyak undang-undang yang boleh digunapakai bagi menangani isu-isu ketegangan kaum dan mengancam keselamatan negara tanpa menggunakan ISA. Rakyat janganlah tertipu dengan dakyah kononnya tanpa ISA negara kita akan kacau-bilau. Kita ada Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan yang boleh digunapakai. Lagipun banyak lagi pendekatan yang boleh digunakan untuk mengurangkan ketegangan kaum atau isu perkauman termasuk dialog dan perbincangan secara aman" (ms. 38) 

"Wira UMNO Shahrir Samad bertanya sinis, apakah saya tidak tahu adanya ISA sebelum menerima jawatan Menteri? Dengan lain perkataan, saya tidak sepatutnya memperbesarkan isu penahanan ISA terhadap 3 orang itu [berkaitan penahanan Teresa Kok, RPK dan wartawan Sin Chew pada September 2008]. Inilah susahnya kita berbicara dengan orang kuat UMNO. Mereka orang bijak pemikiran tetapi kurang perasaan simpati kepada mereka yang ditahan tanpa bicara. Sukar untuk mereka merasai derita penganiayaan orang yang ditahan ISA itu yang bukanpun pengganas atau penjenayah berbahaya. Mungkin satu hari nanti apa kena giliran mereka, mungkin ketika itu barulah pemimpin-pemimpin UMNO ini akan menyatakan ISA itu dahsyat dan kejam" (ms. 38)

9. Zaid turut memberikan komen terhadap Menteri Dalam Negeri ketika itu yang secara jelas tidak senang dengan tindakan yang dibuatnya di dalam isu ISA ini.

"Selain Shahrir, seorang lagi wira UMNO Johor yang tidak kurang hebatnya Syed Hamid juga bersuara keras terhadap saya. Selepas saya meletak jawatan, dia berkata kepada pemberita: baguslah dia letak jawatan kerana sebagai ahli Kabinet yang dilantik oleh Perdana Menteri [Pak Lah waktu itu] dia tidak layak untuk mempertikaikan kerja orang [kerja Syed Hamid sebagai Menteri Dalam Negeri]. Kalau beliau ada sebarang idea atau formula, dia seharusnya bawa kepada PM untuk dibincang secara tertutup, ini cara kerajaan kita dalam BN bekerja, bukan cara mempertikaikan kerja anggota Kabinet lain'. Stail kepimpinan dan pemikiran Syed Hamid mengejutkan saya" (ms. 39)

10. Terkejutnya Zaid ini bukanlah disebabkan ketidakfahaman beliau terhadap budaya berpolitik orang UMNO, tetapi pelik kerana Syed Hamid seperti lupa bahawa beliau adalah Menteri KDN yang mana sebarang tindakan menghantar orang tanpa bicara ke Kamunting perlulah dibawa berbincang dan diputuskan melalui mesyuarat dalam Kabinet. Inilah yang Zaid istilahkan sebagai "collective ministerial responsibility". Tambah beliau lagi:

"Kita [Kabinet] bertanggungjawab kepada keputusan yang kita buat bersama. Tetapi Tuan Syed ini hanya mahu kita ikut saja; jangan soal apa-apa kerana kalau kita menyoal, dia anggap kita mempertikaikan kerja dia" (ms. 39)

11. Pemimpin ketiga dari Johor iaitu Ahli MT UMNO, Azalina Said (yang menurut Zaid sering menang tanpa bertanding dalam apa-apa pertandingan politik sejak 2004), turut menghentamnya:

"...saya [Zaid] adalah pemimpin yang tidak mempunyai darah pejuang tulen untuk bangsa dan agama.....mempertikaikan kerja menteri lain tidak mencerminkan cara atau amalan orang UMNO dan BN. Menang pelik kenyataan Azalina ini. Saya nak berhenti pun dia marah. Sedih saya apabila mengenang kembali bahawa inilah balasan daripada wirawati Melayu yang kita tolong semasa dia tidak ada kerja dahulu".......seterusnya

"Tidak cukup dengan itu, jawatan saya sebagai Senator juga dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Maka bergema suara pemimpin UMNO dari Cheras mendesak saya meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Negara selepas saya meletak jawatan Menteri. Memang itupun cadangan saya untuk melepaskan jawatan sebagai Senator. Saya tahu UMNO akan mengungkit tak habis-habis jika saya kekal sebagai Senator. Untuk menyenangkan hati mereka saya letak jawatan walaupun saya percaya nasihat dan pandangan saya dalam Senat boleh membantu kerajaan dan negara. Tetapi seperti kata Menteri Nazri, UMNO tidak rugi saya berhenti kerana UMNO ini banyak orang bijak pandai" (ms. 39)

12. Sebelum mengambil keputusan berhenti [jadi menteri], Zaid telah mengutus surat kepada Pak Lah menjelaskan secara terperinci mengenai kezaliman ISA yang disalahguna bagi menahan ramai musuh politik sehingga ada yang meninggal dunia semasa dalam tahanan termasuklah Burhanuddin Helmi, intelektual Melayu dan nasionalis, yang kebetulan juga seorang pemimpin PAS. Bacalah kandungan surat beliau ini andai berkesempatan, nak tulis terlalu panjang.

13. Kesimpulannya, ISA adalah undang-undang yang mudah untuk disalahgunakan. 

"Percayalah, undang-undang ISA tidak ada kena mengena dengan simbol kekuasaan politik orang Melayu. Ia hanya satu jalan mudah untuk menahan orang awam tanpa perlu disiasat dan didakwa di mahkamah" (ms. 35)

14. Bahkan sebahagian besar tahanannya merupakan orang Melayu sendiri. Justeru sesiapa yang masih kuat menyokong undang-undang ini, bererti dia menyokong untuk menahan orang Melayu sendiri demi menegakkan kekuatan bangsa Melayu..............(?)

15. Sesungguhnya pandangan sebegini amatlah aneh! 

Rujukan:

Zaid Ibrahim (2009). Saya Pun Melayu. Selangor: ZI Publications Sdn. Bhd.

No comments: