Kisah doa Musa a.s. (Dr MAZA)
Baca artikel penuh di sini: SUMBER
Saya
ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang
barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran.
Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan
yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana
tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan
saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir
dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’
dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup
dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika
dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya
yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman
Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka,
kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku,
Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan
amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s.
beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang
akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu.
Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s
“Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas,
namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa
Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan
indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi
perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan.
Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan
itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang
memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas
berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai,
melebihi jangkaannya.
No comments:
Post a Comment