Tuesday 28 February 2012

Kupasan isu semasa: Sana PAS, Sini PAS...

Sepintas lalu perkembangan di Kedah

Seingat saya, belum ada posting dibuat mengenai isu terbaharu melibatkan 'geng' PAS Kedah di blog Dr Sepet. Kali terakhir saya tulis, kalau tidak salah ingatan, ialah sewaktu timbulnya isu gangguan bekalan air di UUM tidak lama dahulu. Selepas daripada itu, saya lebih suka 'scan' sepintas lalu laporan dan bingkisan bloggers lain mengenai isu-isu terutama yang melanda pentadbiran Kerajaan Kedah di bawah D.S. Azizan Razak.

Saya nampak kemelut terbaharu di Kedah "seakan hampir separuh selesai" dengan berlangsungnya majlis angkat sumpah barisan Exco hari ini. Sementara bakinya mungkin boleh diselesaikan tidak lama lagi. Isu kuasa, jawatan dan membina pengaruh individu ini adalah perkara biasa di dalam mana-mana kerajaan yang memerintah. Cuma, yang bezanya ialah sama ada pemimpin itu bijak atau tidak melayan kerenah media yang kadang-kala 'nakal' dengan cuba mencetuskan persepsi yang berlebih-lebihan mengenai sesuatu perkara.

Itu isu mengenai lantikan Exco, nampak ada perkembangan positif, isu mahasiswa berdemo sebelumnya menuntut penyelesaian isu KUIN, tidak dapat saya pastikan apakah sudah selesai atau dibiarkan untuk sejuk buat seketika.

Itu rumusan pendek perihal PAS Kedah. 

PAS telah bersedia untuk menjadi inklusif?

Hari ini, tinjauan saya di internet mendapati timbul pula isu baru, juga berkait dengan PAS, iaitu laporan di mana seorang pemimpin PAS telah membuat pernyataan yang "PAS kini bersedia (jika timbul keperluan), menerima pemimpin bukan Islam ke jawatan penting dalam parti". Baca lanjut di sini (PAS MP says party ready for non-Muslim leaders - KLIK).

Manakala, terbaharu (rasa saya), dalam sidang medianya selepas forum, akhbar portal, MalaysiaKini telah mengeluarkan laporan lebih jelas dan mudah difahami berbanding laporan awal yang mencetuskan perbahasan hangat di ruang siber. Boleh baca di sini (PAS Sedia Dipimpin Bukan Melayu - KLIK).

Walaupun sekali imbas pernyataan awal oleh Dr Dzul yang berbunyi "The Islamic party is ready to accept non-Muslim in positions as high as deputy president" itu boleh mendatangkan kontroversi andai saya kiaskan dengan petikan terkenal oleh Anwar Ibrahim "I support all efforts to protect the security of the state of Israel", pernyataan susulan beliau pada sidang media saya rasa akan mengendurkan serba-sedikit 'serangan geng sendiri' yang timbul berikutan pernyataan awalnya semasa forum berkenaan.

Saya faham bahawa Dr Dzul sendiri sebenarnya menyertakan 'syarat yang ketat' di dalam menjustifikasikan idea beliau bahawa PAS tidak bermasalah menerima pemimpin yang bukan Islam, tetapi saya masih tidak faham mengapa beliau 'at the first place' menimbulkan perkara ini.

Sungguh sulit lagi berselirat kepada saya, untuk melihat suatu ketika nanti PAS dapat melantik pemimpin-pemimpin yang bukan Islam untuk memimpin sebuah Parti Islam.

Walaupun beliau cuba mengaitkan PAS dengan FJP (Freedom and Justice Party) yang telah mengambilalih kuasa kerajaan di Mesir ketika ini, hakikatnya metod dan cara FJP bergerak berbanding PAS, pada saya, adalah seperti "membandingkan epal dengan limau".

Ini kerana realitinya, FJP adalah "cabang/sayap politik" bagi gerakan Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood, MB) - FJP adalah seperti sebuah anak syarikat. MB adalah satu gerakan yang amat besar dengan rangkaian yang bersepadu meliputi pelbagai cabang, sama ada yang "bergerak atas tanah - seperti parti politik (FJP), mahupun yang bergerak di bawah tanah".

Justeru, bagaimana selayaknya PAS menggunapakai model FJP? Apakah PAS itu "cabang/sayap politik" kepada organisasi yang lebih besar? Atau PAS kini menjadi "anak syarikat" di bawah payung Pakatan Rakyat? 

Entah.

Perlembagaan

Perubahan yang disebutkan oleh Dr Dzul juga saya kira memerlukan kepada perubahan/pindaan tertentu terhadap perlembagaan PAS. 

Sekalipun kehadiran pemimpin bukan Islam, menurut beliau, dipastikan hanya untuk menguruskan perkara-perkara urustadbir yang dibolehkan oleh Islam (tidak menyentuh soal dasar parti yang bertunjangkan Qur'an dan Sunnah), ianya masih kabur (dan berbentuk lontaran idea) terutama bagaimana pemimpin bukan Islam ini dapat menjamin disiplin yang tinggi agar tidak timbul pergeseran seperti yang sedang kita lihat berlaku di dalam PAS Kedah sekarang ini.

Tidak saya nafikan ramai di kalangan pemimpin yang bukan Islam memiliki daya dan kualiti kepimpinan, ketahanan, ketelusan dan kepintaran yang lebih tinggi berbanding pemimpin yang ada di dalam PAS sekarang.

Namun, pada saya juga, walau diletakkan di atas neraca timbangan jumlah kehebatan kesemua mereka yang bukan Islam itu, masih tidak dapat mengimbangi satu benda yang tiada pada diri mereka iaitulah elemen "keimanan/ketaqwaan kepada Allah".

Pada saya, adalah begitu sayang jikalau nanti PAS dipimpin oleh seorang yang amat beretika, jujur, pintar mengurus dan kuat bekerja, tetapi kalau di hatinya tiada setitispun keimanan kepada Allah, maka apakah nilainya...

Tetapi untuk PAS mengetengahkan calon-calon MP yang bukan Islam saya tidak rasa ianya suatu isu yang besar, bahkan telah dilakukan sebelum ini. Raikanlah sumbangan mereka selagimana mereka itu benar-benar 'layak'.

Masih, bagaimana untuk menentukan ciri-ciri seorang pemimpin yang 'layak' itu?

Pada sidang medianya juga, Dr Dzul dilihat lebih optimistik dengan mengeluarkan pernyataan "tetapi buat masa ini mungkin belum sampai masanya untuk PAS berbuat demikian (lantik pemimpin bukan Islam)".

Bagi yang baca dan ingin faham, saya rasa jawapan beliau ini sudah cukup.

DAP sudah tarik Melayu/Islam, maka PAS pun...

Yang di atas itu adalah statement 'nakal' saya, kerana saya perhatikan rakan PAS dalam Pakatan, DAP, mula sedikit terbuka dengan menggiatkan usaha mendampingi dan menarik kemasukan/keahlian dari golongan Melayu dan Islam ke dalam perjuangan mereka.

Bezanya, DAP tidak dengan segera menjanjikan prospek jawatan tinggi dalam parti kepada mereka-mereka yang menyertai. Dalam hal ini, bagusnya, DAP buat kerja dulu, kurangkan bercakap dan hasilnya ada walaupun masih sedikit.

Sebagai penutup, saya tidak rasa bahang "pernyataan awal yang kontroversi" oleh Dr Dzul ini akan berpanjangan, kerana tiada perkara besar sebenarnya yang boleh dipolimekkan. 

Saya faham bahawa Dr Dzul mempunyai visi yang begitu kehadapan. Namun, kadang-kala sebagai pemimpin yang menjadi tumpuan dan rujukan ahli bawahan (selain terdedah dengan ujian pihak media), wajar juga beliau mendahulukan saranan "ukur baju di badan sendiri"

Sekian.

No comments: