Tidak dapat dinafikan bahawa dalam keadaan terdesak, manusia akan melakukan apa sahaja demi survival. Politik, yang juga membentuk wajah dan wadah hidup sesetengah orang dan kelompok di dalam masyarakat tidak terkecuali dari berhadapan fenomena 'survivability' ini.
Pagi ini, saya terbaca satu ulasan di bloglistmalaysia, iaitu artikel pendek bertajuk: MP dijangka lompat parti jika BN tergugat selepas PRU (baca SINI).
Bagi saya, dari satu segi, ada logiknya pandangan para 'pakar politik' di atas, terutama jika disandarkan kepada faktor kelangsungan hayat politik (survivability) seseorang pemimpin dan parti politik.
Namun, saya kemudian teringat akan satu 'peristiwa benar' yang berlaku di negeri Perak iaitu setelah kerajaan BN ditumbang oleh PR selepas PRU-12. Waktu itu, 'the Pakatan Spring' sedang memuncak dengan Kedah, Pulau Pinang dan Perak menerima Menteri Besar dan Ketua Menteri dari Pakatan.
Sekalipun BN tewas di Perak, teori dan pandangan pakar politik seperti di atas ternyata tidak terpakai. Situasi yang sebaliknya berlaku di mana di sebalik kekalahan itu, BN telah berjaya pula menjatuhkan kerajaan PR, dan Perak kembali ditakluki BN. Sekalipun cara menukar kerajaan ini dipertikaikan pelbagai pihak terutama PR sehingga kini, ternyata amalan MP keluar parti dan juga MP lompat parti telah dibuktikan sebagai 'amat berbahaya' kerana boleh menjatuhkan sesebuah pemerintahan/kerajaan.
Berdasarkan apa yang saya faham setelah memerhatikan kes negeri Perak, saya cuba membentuk pandangan ke-2, sebagai alternatif kepada apa yang para 'pakar politik' di atas perkatakan.
Saya berpendapat, jika kekuatan BN terjejas selepas PRU13, tidak semestinya berlaku lompat parti dari BN ke PR. Malah, sesiapa wakil (MP) yang berada di dalam gabungan BN bakal menerima durian runtuh serta akan ditatang bagai minyak yang penuh kerana pimpinan tertinggi BN tentunya ingin mempertahankan setiap inci sokongan dari wakil-wakil rakyat yang mereka miliki.
Bahkan tidak melampau untuk saya katakan, dengan merujuk kepada peristiwa di Perak, orang yang tersepit bakal melakukan 'apa sahaja' demi survival mereka dan parti mereka. Justeru, tawaran-tawaran yang lumayan lagi 'sukar ditolak' bermungkinan akan diajukan kepada MP-MP pihak lawan yang dikenalpasti 'berpotensi'.
Ini hanyalah pandangan saya sebagai seorang rakyat biasa yang tidak penting. Namun, peristiwa di negeri Perak seharusnya menghadirkan pengajaran yang berguna untuk muhasabah pelbagai pihak.
Saya cuba melontarkan pandangan alternatif ini bukannya apa, saya khuatir timbulnya 'feel good factor' di kalangan penyokong PR jika hanya bergantung kepada pandangan sebelah pihak (seperti dilaporkan), sehingga lupa dan tidak bersedia sekiranya berlaku 'kejutan' sepertimana kes di negeri Perak selepas PRU-13 kelak.
No comments:
Post a Comment