Masuk sahaja tahun baru 2012 bermacam hambatan yang datang. Masa dirancang tetapi dalam banyak keadaan sering terlajak. Cuma diriku masih bersyukur kerana di sebalik kekalutan, masa yang telah berlalu membuahkan hasil sekalipun tidak seperti yang diharapkan.
Seringkali aku bertanya diri sendiri; mengapa setelah berkali-kali ditelaah, masih, susah benar hendak dirumuskan, dirangkakan segala idea yang begitu sempurna di dalam kepala ini kepada tulisan yang sebenarnya begitu aku perlukan.
Aku sering juga mengadu kepadaNya; bantulah aku dan berikan kemudahan di atas segala urusanku. Setiap Jumaat tidak pernah terlepas ku-doa "permudahkanlah urusanku dari hari Jumaat ini hinggalah ke Jumaat yang akan datang".
Banyak ketikanya aku terkesan dek kekusutan ini. Namun, nasihat teman hidupku seringkali menginsafkan diriku kerana kalaupun aku terhimpit masalah/ujian, masih ada insan lain yang menerima ujian lebih berat berbandingku.
Mengingatkan perkara itu, aku kembali beristighfar dan mengucapkan syukur. Setidak-tidaknya ujianku mungkin masih ringan dan masih tertanggung.
Begitupun, jauh di sudut hati, harapan untuk diberikan yang terbaik dan segala yang lancar di atas segala urusanku sukar disembunyikan. Tidak beryukurkah aku?
Banyak ketika juga aku sukar memahami dan mengingati sesuatu. Walaupun bahan-bahan sudah ku-baca berkali-kali, tetapi ilham untuk menulis tidak juga muncul. Lalu dititipkan ingatan kepadaku, "untuk apa urusanmu yang saban pagi dan malam kau kejar itu?"
"Apakah untuk kesenangan hidup di kemudian hari, atau perlu kau faham bahawa perjalananmu ini sebenarnya untuk mengajarmu lebih melihat dan menjadi lebih bergantung kepada Tuhanmu, pemilik segala ilmu itu?"
Allah Maha Besar. Waktu hatiku diketuk peringatan itu, ku-rasakan tiada cara yang lebih baik selain aku kembali merenung ke dalam diri dan bertanya: ikhlaskah aku sepanjang perjalanan meneroka ilmu, yang disebaliknya mengajarkan aku sebenarnya, supaya berlaku ikhlas kepada pemilik ilmu itu?
Bimbinglah diriku wahai Tuhanku. Janganlah Kau serahkan urusan diriku kepada diriku walaupun sesaat. Aku serba lemah. Andai Kau ingin mengujiku, ujilah pada kadar yang termampu kutanggung.
Wahai Tuhan, aku akan sentiasa memperingatkan hati ini...ikhlaslah wahai hati, ikhlaslah wahai hati, terokailah ilmu Tuhanmu kerana Tuhanmu, bukannya untuk mengejar kepentingan yang lain.
Ujian untuk ikhlas ini bukanlah mudah sepertimana jugalah kehidupan ini. Namun keanjaiban boleh muncul andai itu yang dikehendaki olehNya.
Ya Allah, keluarkan diriku dari ujian kekusutan. KepadaMu ya Allah, sebaik-baik tempat aku merintih dan mengadu...
2 comments:
sangat paham dr sepet. kami doakan semoga Allah mudahkan urusan yang terakhir ini dan beri kemenangan. jumpa di Malaysia nanti insya ALlah.
Moga Allah kasih dan bantu kita semua. InsyaAllah bertemu nanti.
Post a Comment