Sunday, 26 July 2009

Sambutan kelahiran: Adat vs Ibadat

Komen saya:

Agak lama tidak menjengah Al-BanjariOnline, dan artikel beliau ini rasanya layak saya kongsikan bersama para pembaca yang budiman.

Bukanlah niat saya (malah beliau juga saya rasa) untuk "kondem" adat yang telah diamalkan turun-temurun oleh kebanyakan orang Melayu kita, tetapi lebih kepada untuk mendidik dan membuka minda masyarakat bahawa ada ketikanya kita perlu bertegas membezakan di antara tuntutan Adat dengan Ibadat, tambahan pula jika perbuatan kita itu mempunyai implikasi terhadap Aqidah kita sebagai seorang Muslim.

Sebagai orang Melayu yang beragama Islam, satu perkara yang perlu sentiasa kita ingat dan pegang ialah "dalam Islam, tiada amalan yang boleh kita buat tanpa perlu kita tahu (i.e. apakah sebabnya ia dibuat)".

Ringkasnya, sesuatu perbuatan/amalan itu (tambahan pula yang ada kesan pada aqidah kita dan mereka yang turut-serta bersama kita), bolehlah dibuat setelah kita pasti bahawa ianya dibenarkan oleh agama dan hukum Syarak - berpandukan dalil Al-Quran dan Hadith sahih.

Janganlah kita mengambil Islam hanya sebahagian, dan meninggalkan sebahagian yang lain hanya kerana ianya tidak selaras dengan adat dan budaya yang kita orang Melayu telah amalkan sejak turun-menurun lagi.

Moga Allah tunjukkan kita jalan yang lurus, jalan orang-orang yang diberikan nikmat kebenaran, dan bukan jalan orang-orang yang dimurkai.

Sila baca artikel penuh di bawah:

======================

Sumber: sini - ada beberapa kesalahan ejaan yang saya betulkan.

Oleh : MRK albanjari
Betapa gembiranya bagi pasangan suami isteri dan anak saudara lain apabila mendapat kelahiran seorang cahaya mata kurniaan dan amanah Allah yang bakal menyerikan lagi kehidupan pasangan suami isteri. Menimang cahaya mata adalah suatu impian yang sangat di idamkan kerana itulah tanda pengikat kasih sayang dan cinta suci antara pasangan suami isteri.

Namun bagi kebanyakan orang melayu kita , mereka sangat teruja apabila mendapat cahaya mata tersebut lalu mereka akan mengadakan pelbagai majlis bagi meraikan kehadiran orang baru itu. Antara majlis yang sering dilakukan oleh pasangan suami isteri atau datuk bagi bayi tersebut dengan mengadakan majlis kesyukuran, potong jambul, majlis berzanji dan marhaban dan sebagainya.

Dalam kegairahan mereka menyambut dan mengadakan majlis-majlis tersebut rupanya mereka terlupa dan terleka sesuatu mengenai ajaran Islam tentang menyambut kelahiran bayi ini.

Kita dapati ramai dari kalangan ahli masyarakat kita sibuk dengan majlis kesyukuran yang dipenuhi dengan acara bacaan berzanji dan merhaban dan diikuti pula dengan majlis potong jambul dan berendui. Tidak dapat dipastikan dari mana sumber rujukan mereka mengadakan majlis yang sedemikian rupa.

Islam tidak mengajar kita untuk memenuhi majlis kesyukuran itu dengan bacaan marhaban dan berzanji semata-mata apatah lagi majlis potong jambul dan berendui, tetapi inilah sunnah orang Melayu yang sukar untuk diperbetulkan.

Islam mengajar kita apabila kita menyambut kelahiran orang baru dalam hidup kita ialah menyambutnya dengan penuh kesyukuran dan setelah tujuh hari kelahiran tersebut maka kita disunatkan untuk menyembelih Aqiqah serta diikuti dengan memberi nama kepada bayi tersebut dengan nama yang baik-baik dan mentahnikkan bayi tersebut serta dicukur rambut bayi berkenaan.

Berbeza dengan amalan dan budaya orang melayu yang lebih mengutamakan majlis yang dinyatakan seperti di atas dengan menanggung perbelanjaan yang tidak kurang hebatnya tetapi mereka seakan menidakkan amalan menyembelih aqiqah, mencukur rambut, mentahnik dan memberi nama.

Nyata ia sangat berlawanan dengan ajaran dan kehendak islam. Kita amat hairan kenapa kita masih meneruskan majlis dan upacara tersebut dan merasakan bahawa bacaan marhaban dan berzanji itu lebih utama, memotong jambul itu lebih utama, berendui itu lebih utama.

Bila ditanya mengapa tidak di aqiqahkan sekali bayi ni? Pelbagai jawapan jahil yang diberikan. Ada yang menyatakan kosnya terlalu tinggi, saja nak buat majlis kesyukuran dulu, nak tunggu bayi ni besar dulu sebab nanti dia boleh tengok orang sembelihkan aqiqah dia dan pelbagai alasan yang diberikan.

Kos terlalu tinggi? Buat majlis kesyukuran biasa pun kadangkala mencecah RM 1000.00. Cuba kita kira kos yang dibelanjakan bila majlis tersebut dibuat dengan bunga telurnya, bunga rampainya, hadiah utuk tetamunya, makan dan minumnya dan jika kita mengikut kehendak Islam kita hanya membeli seekor kambing yang berharga sekitar RM 600.00, perkakasan memasak dan ia tidak sampai pun RM1000.00 jika kita pandai berhemat dalam perbelanjaan dan jika ia lebih sekalipun, tanggungjawab terhadap melaksanakan ibadah Sunat Mua'kad sudah selesai dan dimanakah ruginya?

Saya meyeru kepada seluruh warga muslim agar kita dapat memahami keutamaan dalam melaksanakan sesuatu ibadah dan jangan terlalu mengikut adat yang membelakangkan tuntuan sesuatu ibadat seperti yang dibahaskan di atas. Bukan maksud saya untuk menidakkan majlis-majlis yang biasa dibuat untuk bayi tersebut tetapi pada saya ia sangat merugikan apabila kita meninggalkan ibadah aqiqah yang dihukumkan sebagai Sunat Mua'kad ini. Wallahualam.

====================

No comments: