Posting ini adalah kesinambungan daripada penulisan saya sebelum ini - berkaitan situasi dan cabaran yang sedang dan bakal didepani bagi tahun-tahun mendatang buat masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Foto: Sumber
Adalah begitu menggusarkan hati saya setelah mengikuti dan meneliti pelbagai perkembangan yang terjadi di tanah air kebelakangan ini.
Malaysia, sebuah negara yang sememangnya unik yang mana di dalamnya begitu kaya dengan kepelbagaian kaum yang membina hidup, mencari rezeki dan mencorak ketamadunan secara bersama.
Ramai yang inginkan kehidupan di bumi Malaysia ini sentiasa dalam keamanan dan keharmonian yang berkekalan. Apapun, apabila hidup bersama ini akan adalah juga waktu "pasang-surutnya". Ibarat adik-beradik yang hidup sebumbung, pun kadang-kala berkelahi juga.
Namun, perkelahian sesama adik-beradik seringkali dapat mencari damai, jika "orang tua" memainkan tugas secara tegas, sehingga semua anak ini hormat dan menerima segala aturan yang dibuat orang tua "jika ingin kekal di dalam rumah".
Ringkasnya pada saya, keamanan dalam kehidupan akan dapat kita kekalkan jika:
1) Wujudnya suatu set peraturan/aturan/tatacara yang tujuannya ialah memandu arah perilaku dan sahsiah diri yang positif sesama ahli dalam rumah.
2) Tertonjolnya daya kepimpinan yang mantap dan berkarismatik ditunjukkan oleh ibubapa/orang tua untuk diteladani/dicontohi dan menjadi simbol yang dihormati dan simbol perpaduan di kalangan anak-anak.
3) Sesama adik-beradik perlu sedia bertolak-ansur dan saling hormat-menghormati. Adik hormat abang yang lebih tua. Jangan mudah ambil hati dan iri hati dengan keistimewaan di kalangan adik-beradik. Anak bongsu pun tidak boleh manja dan berkira jika abang sulungnya kurang upaya. Kena ada rasa sayang dan tolak-ansur.
4) Hubungan dua hala (ibubapa - anak) perlu sentiasa disegarkan. Bukan hubungan diktator yang akan membawa keamanan dalam keluarga, bukan juga hubungan saling berkonflik dan boikot-memboikot arahan orang tua yang ingin disemai. Anak-anak mungkin inginkan orang tua mendengar dan respon kepada tuntutan hati mereka. Dan orang tua juga inginkan setiap tuntutan anak-anak yang ditunai itu diambil secara penuh hormat dan dengan rasa bersyukur.
Sememangnya hal pengurusan negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama adalah jauh lebih kompleks dan rumit, berbanding menguruskan sebuah keluarga.
Jurang mengurustadbir kerumitan dan (complexity) ini dilihat semakin melebar setelah "orang tua" a.k.a kerajaan memerintah di peringkat persekutuan, berada pada kedudukan yang lemah (hilang majoriti 2/3 sokongan).
Apabila "orang tua" gagal berkuasa secara berkesan, mulalah "anak-anak naik kepala". Bagi anak yang sentiasa diasuh untuk patuh, tidak timbul perubahan yang signifikan, namun bagi anak yang memang agak nakal, inilah peluang untuk terus menguji kesabaran orang tua.
Inilah yang sedang berlaku. Permasalahan di bidang politik telah akhirnya mengheret kaum-kaum dalam masyarakat melalui tahap baru dalam ujian kehidupan bertoleransi.
Kesannya, dapat dilihat sekarang ini semua pihak menjadi begitu difensif dan amat sensitif apabila tiba perkara yang melibatkan sebarang perubahan terhadap kepentingan dan status quo yang ingin dilaksanakan.
Pantang dicubit
Siapa saja sekarang ini boleh saya gambarkan sebagai "orang yang pantang dicubit". Kalau dicubit, akan melentinglah ia.
Lihat isu PPSMI, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu ISA, SPRM, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat dasar liberalisasi, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu rasuah dan salah guna kuasa, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat konsep 1Malaysia, Islam Hadhari, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu UG, siapa yang dicubit pipinya?
Lihat isu terbaru tentang mendiang Teoh, siapa yang dicubit pipinya?
Banyak lagi....
sambung lagi.....
No comments:
Post a Comment