Friday, 3 July 2009

1Malaysia dan kisah pelampung

Pelbagai perkembangan berlaku kebelakangan ini. Sebahagian puncanya, apabila orang politik yang menggubal dasar, mengubah dasar dan memansuhkan dasar, telah mempengaruhi halatuju dan masa depan rakyat dan negara.

Memegang kuasa politik boleh dikatakan kemuncak segala kekuasaan, jika dilihat kepada apa yang berlaku hari ini. Tidak kiralah sama ada kuasa politik diperingkat persekutuan, mahupun negeri-negeri diperintah BN dan PR.

Orang-orang politik inilah yang duduk di hierarki tertinggi dan memiliki kuasa pemutus terhadap sesuatu dasar, polisi, pelan dan perancangan serta perlaksanaan sesuatu dasar, polisi dan pelan.

Namun, semakin lama kuasa politik digunakan untuk mengatur dan "menambah-baik" sesuatu elemen pemerintahan negara, timbul banyak tindakan dan keputusan yang boleh dipersoal dan dikritik, sehingga pihak yang "di atas ini" sukar memberikan jawapan yang memuaskan dan meyakinkan hamba rakyat.

Telah lama saya ingin menulis perihal nasib dan rasa gusar saya terhadap perkembangan yang melibatkan hal orang Melayu mutakhir ini, kesan daripada cara orang politik berfikir, membuat keputusan dan mengurustadbir negara.

Namun, saya sengaja menyekat kehendak hati ini kerana isu berkaitan Bumiputra (son of soil) seringkali menerima respon yang negatif setiap kali ia dibahas dan diutarakan di mana-mana platform media massa (blog, akhbar, forum etc.).

Bagi posting ini, saya tidak mengkhususkan ia untuk menghuraikan nasib Melayu, tetapi sekadar menggunakan perkembangan mutakhir terutama beberapa keputusan kerajaan dalam perkara liberalisasi, biasiswa terbuka, pemilikan ekuiti 30%, 1Malaysia, dan perpaduan kaum sebagai idea penulisan.

Visi 2020

Untuk menghuraikan idea dan intipati penulisan ini, saya akan menggunakan anologi/perumpamaan yang saya kira mudah dan ringkas untuk kefahaman para pembaca yang budiman.

Malaysia kini boleh saya ibaratkan beberapa kumpulan manusia yang sedang berdayung (guna pelampung) menyeberang sebatang sungai, dari daratan asal bernama "negara membangun" untuk menuju ke tanah seberang, daratan baru yang bernama "negara maju".

Tempoh menyeberang menggunakan pelampung "secara berkumpulan" ini telah bermula secara serius pada tahun 1974 dan kumpulan berpelampung ini dijangka akan mendarat di seberang sana menjelang tahun 2020.

Istilah "secara berkumpulan" bermaksud, ada 4 pelampung iaitu pelampung yang sarat membawa orang-orang Melayu (ibu itik), diikuti (anak-anak itik) iaitu pelampung untuk orang Cina, diikuti pelampung yang membawa orang India dan diikuti pelampung yang membawa orang asing yang berkepentingan (pemodal).

Manakala, sungai yang begitu ganas dan kuat arus yang sedang diseberangi bernama "Sungai Liberalisasi", yang mana dengan tahun 2020 bakal tiba tidak lama lagi, Sungai liberalisasi inilah yang bakal menentukan berjaya atau gagalnya usaha pendayung-pendayung ini untuk tiba di "negara maju".

Di hari minggu sebegini, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca blog dan akhbar online tanah air. Terpandang satu berita - Melayu sokong liberalisasi (sumber).

Apa sudah jadi?

- Saya tidak dapat pastikan sejauh mana "orang-orang Melayu" ini memahami apa yang dikatakan liberalisasi.

- Sejauh manakah "orang-orang Melayu" ini menyokong dasar liberalisasi?

- Apakah mereka sokong ini benar-benar faham atau hanya mengiyakan sahaja kerana mengikut ketua?

- Adakah Mak Cik Limah, peniaga pisang goreng di simpang Felda itu faham akan liberalisasi? Atau majoriti kaum Melayu yang tinggal di desa dan pinggir bandar?

- Apakah Ah Chong, pemborong sayur dari Cameron Highland faham akan liberalisasi dan kesannya kepada perniagaan bekalan sayur yang diusahakan?

- Apakah Lingham, seorang buruh di estet getah di Kinta faham akan liberalisasi, dan kesannya kepada kemasukan tenaga kerja asing di sektor perladangan?

- Adakah majoriti rakyat (tidak kira bangsa) faham akan dasar liberalisasi ini? Adakah ramai di antara kita yang aktif melabur di pasaran saham?

Liberalisasi ringkasnya adalah dasar langit terbuka, yang membuka pintu kepada sesiapa saja yang pintar, mempunyai modal (kapitalis besar dari barat dan pemodal tempatan) untuk datang melabur dan juga membeli aset (menanam modal melalui pembelian saham, ekuiti syarikat, pemilikan hartanah seperti rumah, kilang dan kedai dan juga tanah) di bumi Malaysia.

Di bawah liberalisasi, persaingan adalah secara terbuka. Siapa yang kuat dan kaya, akan membolot segala ruang dan peluang, dan akhirnya menjadi bertambah kuat dan kaya.

Liberalisasi adalah perkataan yang enak disebut, tetapi pahit untuk ditelan terutama di dalam keadaan masyarakat yang belum mempunyai persediaan dan kekuatan untuk melawan arus "Sungai Liberalisasi" ini.

Jika salah percaturan, dari "tuan", boleh menjadi "hamba", lemas dan karamlah kita.

Jika dulu kita pernah mendengar dasar 30% ekuiti Bumiputra, penjualan harta orang Melayu di Johor kelihatannya agak terkawal sedikit terutama tidak ketara berpindah kepada tangan warga Singapura yang berlumba-lumba membeli "rumah kedua" di seberang tambak.

Kini? dan menjelang tahun 2020, dengan keadaan orang Melayu Johor (kawasan bandar), berapa kangkang kera-kah lagi yang tinggal untuk anak-anak Melayu Johor apabila warga Singapura yang lebih kaya dan mampu, membeli tanah-tanah dan rumah-rumah di sana?

Anda jual sebidang tanah hari ini, memang anda boleh jadi kaya. Tetapi tanah itu telah hilang buat selama-lamanya.

Bagaimana pula dengan kemampuan kita untuk bersaing dengan pelabur-pelabur luar dan kapitalis tempatan (golongan elit tempatan) untuk menstabilkan pasaran saham dan mengekalkan daya saing syarikat-syarikat dan perusahaan milik Melayu / Bumiputra?

(adakah perancangan ke arah liberalisasi ini turut dikaitkan dengan khabar angin di Petronas?)

Perihal pelampung

Orang Melayu kini boleh diibaratkan sedang mendayung pelampung yang kempis dan sering juga bocor. Cumanya, selama ini kebocoran pelampung masih dapat ditampal oleh ketuanya yang silih berganti.

Pelampung yang kempis ini hanya selesa didayung jika tekanan anginnya mencecah 30%. Namun, setelah 35 tahun berdayung, tekanan angin bagi pelampung Melayu ini baru mencapai tahap 19%.

Akibatnya, pelampung yang dikemudi pemimpin Melayu ini bergerak dengan perlahan, sedangkan pelampung milik lain-lain kaum di belakangnya begitu padat dengan angin dan dapat didayung dengan laju.

Makanya, kaum-kaum yang dipimpin Melayu ini merasakan kelembapan orang Melayu yang memimpin mereka merentas Sungai Liberalisasi selama ini telah secara langsung "menghalang" kemajuan kehendak dan keinginan bangsa mereka untuk maju.

Mereka semakin bimbang, jika pelampung Melayu ini terus bergerak perlahan, mereka juga turut berisiko untuk karam dan tenggelam dibadai arus Sungai Liberalisasi ini.

Justeru, dalam PRU yang lalu telah terbukti jika pelampung pemimpin Melayu ini tidak didayung lebih laju atau memberi lebih ruang kepada pelampung bangsa lain untuk bergerak ke depan, makanya mereka akan dihukum.

Makanya, hampir karam juga pelampung orang Melayu selepas PRU yang lalu.

Justeru, setelah melihat merosotnya semangat setiakawan dan sokongan rakan bangsa lain, ketua pelampung Melayu baru-baru ini telah melancarkan agenda 1Malaysia, bertujuan membolehkan semua pelampung ini diberikan jalan untuk bergerak bahu-membahu, selari dalam laluan yang sama menuju negara maju.

Bagi menguatkan lagi tanda keikhlasan untuk berubah demi mengekalkan sokongan rakan pelampung yang lain, melalui 1Malaysia, dasar liberalisasi telah dilancarkan, biasiswa terbuka diperkenalkan, ekuiti 30% bumiputra (yang selama 35 tahun ini menjadi impian oleh orang-orang Melayu sendiri) turut dihapuskan.

Dulu orang Melayu berapi-api marah jika hak 30% ini cuba dipersoal, tetapi kini? - Melayu sokong.... Kalau saya, terguris juga hati ini.

Impian 30% pun gagal, malah terlalu jauh untuk digapai. Kini diganti pula dengan harapan baru yang belum tentu timbul-tenggelamnya, serta tiada jaminan ianya mampu membawa pelampung Melayu berjaya sampai ke seberang.

Pelampung yang sedia kempis itu nampaknya semakin banyak lubang bocor setelah banyak hak Melayu dikompromi untuk bukan Melayu. Saya risau, jika terlalu banyak lubang bocor, kelak bukan sahaja pelampung kita ditinggal rakan bangsa lain (tanpa dibantu - kerana sifat langit terbuka), tetapi lebih buruk, jika pelampung Melayu yang sarat ini semakin tenggelam dan karam di dasar Sungai Liberalisasi, sebelum berjaya tiba di seberang "negara maju".

Maka, kaum Melayu yang tidak tahu-menahu tentang globalisasi seperti Mak Limah dan Haji Yop, juga turut terjejas kehidupan mereka dan anak-cucu mereka.

Jikapun kita tidak karam, mungkin maruah dan rasa bangga diri itu terpaksa kita korbankan dengan "menumpang di pelampung rakan bangsa lain pula. Tetapi apabila menumpang, kenalah ikut perintah tuan rumah, bukan?

Apa perlu kita buat?

Pertama, kita perlu sedar bahawa kita sekarang sedang mendayung pelampung yang semakin kempis dan bocor. Dibocorkan oleh tangan-tangan pemimpin Melayu sendiri yang memegang kuasa (politik) negara.

Nasib kita dan generasi anak-cucu kita belum ada jaminan yang pasti. Apakah kita dapat menjadi tuan kepada nasib kita sendiri, ataupun hidup menumpang di tanah orang.

Kedua, jika masih mahu mengekalkan rasa bangga (sense of pride) sebagai bumiputra, nasihat saya, belajarlah berenang bermula dari sekarang.

Pastikan diri sendiri pandai berenang, ajar anak-cucu kita untuk berenang dan galakkan / nasihatkan saudara dan rakan kita untuk sama belajar berenang.

Adalah amat memalukan jika ditakdirkan pelampung Melayu terkaram di tengah sungai, kita tidak perlu menumpang hidup di pelampung bangsa lain dan mengikut telunjuk mereka.

Kita perlu menjadi bangsa yang gagah dan bangga, kerana jika kita pandai berenang di kala pelampung Melayu itu karam dan pemimpin kita semua mati lemas kerana mereka sudah terbiasa dengan hidup terlalu selesa (perut kenyang), kita dan anak-cucu kita masih mampu menyelamatkan diri dan berenang ke daratan seberang, dan tanpa menumpang di pelampung orang lain.

"Berenang" ini maksud saya ialah dengan memastikan kita ada nilai tambah (value added), perkayakan diri dengan ilmu pengetahuan, asuh anak-anak supaya belajar rajin-rajin, belajar tinggi-tinggi hingga berjaya.

Tiada yang dapat bantu kita di kala kita susah, melainkan diri kita dan ilmu yang kita ada.

Wassalam.

No comments: