Wednesday 8 July 2009

PPSMI: Kung-Kali-Kung

Saya kira ulasan-ulasan berkenaan PPSMI kini telah menjadi "isu lapuk" untuk diperdebat memandangkan terlalu banyak orang telah bercakap, menganalisa dan menulis mengenainya.

Begitulah realitinya apabila teknologi semakin canggih, menjadikan pergerakan masa dan isu begitu pantas. Terlewat 1 hari, sudah cukup menjadikan sesuatu isu itu lapuk dan ketinggalan zaman.

Namun, kupasan berkaitan PPSMI ini perlu saya buat, bersandarkan kapasiti saya sebagai seorang pendidik, seorang ayah dan seorang Melayu yang kurang menguasai bahasa Inggeris biarpun agak lama hidup di luar negara.

Tutup buku


Pengumuman oleh Menteri Pelajaran Rabu lalu secara rasminya telah "menutup buku" berkaitan dasar PPSMI (dimansuh) dan para pelajar (dan guru-guru) di peringkat rendah dan menengah akan kembali kepada sistem "lama" iaitu pengajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Melayu di sekolah kebangsaan/menengah kebangsaan dan bahasa ibunda bagi sekolah aliran Cina dan India.

Pemansuhan tersebut, walaubagaimanapun, hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012 (sumber) iaitu 3 tahun dari sekarang. Ianya bertujuan membolehkan PPSMI "menyelesaikan" kumpulan terakhir pelajar di peringkat yang terlibat.

Reaksi

Sejurus selepas Menteri Pelajaran mengumumkan pemansuhan dasar PPSMI ini, akhbar-akhbar arus perdana tidak ketinggalan mendapatkan reaksi atau pandangan pelbagai pihak berkaitan langkah terbaru yang diambil oleh kerajaan ini.

Antara yang paling awal memberikan respon ialah Tun M, mantan PM (sumber).

Malangnya, bukan khabar gembira dan yang sedap didengar telinga dilontarkan oleh Tun, bahkan beliau secara terang-terangan mengkritik langkah yang dibuat kerajaan itu.

Tun nyata tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan berkaitan PPSMI, kerana bukan sahaja pandangan beliau berkaitan PPSMI tidak diambilkira oleh kerajaan, malah langkah yang diputuskan ini dilihat beliau secara jangka panjangnya akan memperjudikan nasib dan masa depan anak-anak dan generasi akan datang (sumber).

Seperti lazimnya, apabila ada yang membangkang, akan adalah pula pihak yang menyokong (ke mengampu?). Untuk mendapatkan sokongan kumpulan-kumpulan pro-PR tidaklah sukar dan sememangnya telah dijangka.

Namun, adalah lebih sesuai mendapatkan sokongan daripada golongan bijak pandai dan para pemimpin kerajaan sendiri.

Justeru, bagi beberapa tokoh, pemansuhan PPSMI ini dianggap sebagai satu tindakan yang realistik (sumber).

Sama ada hamba Allah ini tidak faham Bahasa Inggeris atau tidak sensitif.

Malah Tun Abdullah, seorang lagi mantan PM turut berlapang dada dengan langkah kerajaan ini kerana merasa ianya dibuat kena pada masa dan ketikanya (sumber).

Agar tidak menambah bisa pada luka yang ada, Menteri Pelajaran kemudiannya mengumumkan bahawa tanpa PPSMI, kerajaan akan memastikan "Bahasa Melayu akan terus dimartabat dan Bahasa Inggeris pula akan dimantap" (sumber).

Memang mudah disebut dan enak didengar. Namun, bolehkah hamba rakyat diyakinkan dengan janji-janji manis(mu) ini?

Langkah teliti

Saya kira tindakan yang diputuskan kerajaan ini dibuat setelah mempertimbangkan pelbagai faktor dan pandangan pelbagai pihak.

Secara logik - di kala sokongan kepada kerajaan berkurang selepas PRU-12, para pimpinan kerajaan pastinya tidak akan dengan sewenang-wenang, atau tanpa justifikasi yang kukuh bertindak memansuhkan PPSMI.

Pastinya telah banyak "perbincangan meja bulat" (round table discussions), pembentangan laporan dan hasil penyelidikan serta kertas kerja oleh pelbagai professor bahasa dari pelbagai universiti tempatan, kajian dalaman kementerian dan survei oleh badan kajian bebas telah diperhalusi dan diperdebatkan.

Mungkin saya yang di bawah ini kurang ilmu dan pendedahan terhadap apa sebenarnya berlaku di tapak/sekolah dan tidak dimangsakan sebagaimana guru-guru. Namun, langkah besar ini saya ibaratkan kita sedang melakukan pusingan-U (U-turn) di kala sedang memasuki lorong memecut di lebuh raya.

Mengapa ingin berpatah balik? Adakah kita masih gagal tinggalkan rasa sayang dan zon selesa yang didiami sejak sekian lama?

Dahulu kita diibarat berada di lorong kiri (tidak memotong) di lebuh raya. Globalisasi bagaimanapun menjadikan kita semakin ketinggalan dan dipintas/dipotong "kenderaan negara lain".

Justeru, PPSMI dilancarkan dengan semangat awal untuk menyediakan generasi muda negara untuk beralih ke "lorong memotong".

Setelah 6 tahun (jika tidak silap) PPSMI dilaksanakan, kesan yang diharapkan masih belum kelihatan, malah timbul banyak kelemahan dan akhirnya mengundang reaksi negatif pelbagai pihak.

Memandangkan survival kerajaan yang memerintah terletak pada bilangan undi semasa pilihanraya (dan kerajaan BN telah merasa sendiri pedihnya selepas PRU-12 yang lalu), sebarang tindakan kerajaan ini perlu menampakkan adanya "kompromi" bagi memastikan sokongan berterusan pelbagai lapisan rakyat.

Jika liberalisasi sebelum ini dapat dikompromi kepada kaum bukan bumiputra, kini PPSMI pula diguna bagi orang Melayu/bumiputra.

Makan masa

Adalah sesuatu yang lazim apabila perlaksanaan sesuatu dasar yang besar, yang mengubah kepompong keselesaan orang Melayu pastinya akan memakan masa, dan tidak kurang akan adanya "proses cuba-jaya".

Lihat saja DEB, setelah dilancar pada tahun 1974 sehingga tahun 2009 (35 tahun), adakah matlamat pemilikan ekuiti bumiputra 30% telah dicapai? Tidak.

Dan sepanjang tempoh 35 tahun jugalah DEB turut melalui proses penambahbaikan dan "cuba jaya" - ada yang berjaya, dan ada yang kecewa.

Mungkin "masa" itu adalah bukan sesuatu yang ada dalam kawalan ketika ini. Survival politik perlu diutamakan. Akibatnya, halatuju pendidikan negara dan masa depan anak-anak yang dipertaruhkan.

Apapun "nasi sudah menjadi bubur", keputusan sudah dibuat. Ingin bersorak gembira? Tidak juga. Bersedih? Mungkin juga.

Namun, saya masih ingin berkongsi pendapat memandangkan saya juga akan terkesan dengan keputusan ini, begitu juga dengan masa depan anak-anak.

Sebagai pendidik

Saya mungkin tidak menerima kesan langsung sebagaimana rakan guru di sekolah rendah dan menengah. Bagi yang sukar keluar dari zon selesa, akan berlapang dada dengan keputusan ini. Bagi yang telah faham akan kepentingan BI, akan merasa kehilangan itu.

Saya menjangkakan cabaran lebih besar selepas ini, terutama apabila pelajar-pelajar ini melangkah kaki ke IPT.

Bukan sahaja kepada para pensyarah perlu bekerja keras memastikan penyampaian ilmu dalam bahasa Inggeris (BI) ini dapat dikuasai pelajar, malah pelajar sendiri perlu segera berlari (tanpa ada masa untuk merangkak) menguasai bahan-bahan rujukan dan pengajaran dalam BI.

Realitinya, banyak bahan pengajaran baik buku, jurnal ,monograph dan lain-lainnya, sama ada hasil karya cendakiawan tempatan dan luar negara, adalah di dalam BI.

Justeru, bagi memastikan para pelajar tidak mendapat "ilmu sesat" dan mengamalkannya secara "sesat", penguasaan dan asas BI yang kukuh adalah perlu (ini prasyarat).

Sebagaimana juga orang mengaji Quran, kenalah ada asas dan kefahaman. Jika tidak, mulalah Al-Quran diceduk, diguna untuk berhujah secara yang tidak tepat, dan akhirnya memesongkan diri sendiri dan orang lain.

Saya melihat perlunya PPSMI dimantapkan, bukan dimansuhkan. Bagi sekolah rendah mungkin subjek sains dan matematik cukup untuk diajar dalam bahasa Melayu kerana ianya lebih kepada memberikan pendedahan dan menggalakkan minat anak-anak kepada sains dan matematik. Tambahan pula, telah ada subjek BI (ini yang kena mantapkan).

Bagi peringkat menengah, subjek sains dan teknologi perlu dikekalkan dalam BI (bahan), dan pengajaran boleh dibuat 50:50 (BM/BI). Sekurang-kurangnya, pelajar tidak terlalu asing dengan bahan bacaan dalam BI dan terhindar daripada mendapat "ilmu sesat" akibat tersilap fahaman di kelas.

Ini juga kerana peringkat menengah telah hampir kepada dunia IPT, dan di sinilah perlunya transformasi minda dan kefahaman dari alam persekolahan ke alam universiti dilicinkan.

Alam pekerjaan

Bagi jangkamasa panjang pula, pengaruh dan penggunaan BI di luar alam persekolahan memang tidak dapat kita sangkal lagi.

"Takpe, aku nanti nak kerja dengan local company aje".

Betul. Tetapi apakah jaminan local company itu tidak menjalankan projek-projek di luar negara, (seperti Petronas, Sime Darby)?

Apatah lagi jika anda siang-siang lagi telah berhajat untuk berkhidmat dengan global company, makanya BI memang kena mantap.

Dengan pelancaran dasar liberalisasi oleh PM baru-baru ini, juga dilihat membuka lebih ruang dan peluang buat pemodal dari luar untuk datang membeli saham dan membuka perusahaan di Malaysia.

Justeru, apakah cara dan kaedah untuk berkomunikasi di bawah pengurusan orang-orang asing ini?

Sebagai ayah

Sebagai ayah, sememangnya saya ingin melihat anak-anak menerima pendidikan hingga ke peringkat yang tertinggi. Bukan untuk menumpang senang dan kekayaan mereka, tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha memastikan anak-anak "kaya ilmu".

Bahasa jiwa bangsa. BM adalah perlambangan jiwa bangsa kita sebagai orang Malaysia. Dan BI pula bahasa untuk mendalami ilmu di peringkat tertinggi dan untuk cari kerja.

Kedua-duanya penting dan perlu dikuasai dengan baik. Lemah BM, lemahlah jiwa bangsa. Lemah BI, sukarlah mendaki tangga ilmu dan sukar dipanggil orang ke temuduga kerja.

Adalah besar harapan saya untuk memastikan biarpun maju manapun hidup anak-anak dan generasi yang akan datang ini, akar umbi Melayu tidak akan luntur dari dalam diri masing-masing.

Adalah tidak mustahil dengan era yang serba maju dan canggih ini BM dan BI dapat dikuasai kedua-duanya dengan baik.

Sebagai orang lemah BI

Saya amat jarang menggunakan BI terutama sewaktu di sekolah dan awal universiti. Mungkin zon selesa yang di sekitar lingkungan hidup saya tidak memaksa saya untuk memahami dan menggunakan BI secara efektif.

Banyak bahan rujukan di perpustakaan di dalam BI, namun serahan tugasan kebanyakkannya masih dibuat di dalam BM.

Begitu juga laporan-laporan pelan pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), banyak yang disediakan di dalam BM untuk dirujuk.

Rakan sekuliah juga majoritinya Melayu dan jika ada Cina pun, masih bercakap Melayu.

Namun, setelah berada di luar negara, banyak "yang Melayu itu" kena kompromikan dengan penggunaan BI.

Saya memang menyedari cabaran ini dari dulu lagi, dan inilah yang menghambat saya agar terus bermotivasi untuk menghadapi cabaran ini.

Adalah lebih afdal untuk bercakap berdasarkan pengalaman hidup sendiri. Dan apa yang dapat saya katakan, semua orang perlu belajar tinggi-tinggi. Bukan untuk hidup kaya, tetapi untuk kayakan ilmu di dada dan meluaskan pengalaman.

Dengan berusaha mempelajari dan memahami BI (komunikasi dan penulisan) di peringkat lebih awal, segala cabaran ini dapat dihadapi dan ditangani dengan lebih baik dan berkesan.

PPSMI dipolitik?

Sekali air bah, sekali pantai berubah

Begitulah perumpamaan yang dapat menggambarkan peranan orang politik di dalam mengubah dan menukar sesuatu dasar/polisi/perancangan/pelan.

Sekali menteri bertukar, akan ada saja pelan dan rancangan lama yang ditukar/bubar, etc.

Namun apa yang lebih menyedihkan saya ialah bilamana bidang yang murni seperti pendidikan turut terpalit dengan agenda politik kepartian. Tolonglah! Bidang pendidikan janganlah dijadikan lubuk bagi meraih populariti politik.

Buktinya? Ini yang saya petik dari sumber arus perdana (sumber).

Orang politik telah menjadikan PPSMI ini seperti Kung-Kali-Kung. Pusing-pusing, lepas itu balik asal. Yang rugi adalah bangsa sendiri. Yang untung adalah parti politik juga sebab PPSMI dah jadi modal kempen!

Apa boleh buat, kerosakan sudah berlaku. Sayangnya yang rosak itu ialah sistem pendidikan yang berperanan mendidik dan membangunkan modal insan yang berguna bagi negara.

Jika kereta yang rosak, senang sahaja. Kita hantar ke bengkel dan mekanik dapat memeriksa mana yang rosak dan terus dibaiki. Jika modal insan yang rosak? Bengkel mana yang tawarkan khidmat untuk baikinya?

Janganlah bertindak sehingga orang melihat bidang pendidikan ini hilang profesionalnya, kredibilitinya dan kemurniannya. Pergilah buat korup di bidang lain, biarkanlah bidang pendidikan ini kekal profesional.

Ibarat kata seorang kawan yang datang melawat saya, "di UK ini, sistem pendidikannya begitu mantap tanpa diganggu tangan politik. Jika bertukar menteri pendidikan setiap minggu pun, pendidikan di UK tetap tidak berubah dan masih yang terbaik, kerana itulah Malaysia tetap menghantar pensyarah mereka menyambung PhD di sini".

Jika kita masih belum dapat menetapkan dasar pendidikan, bagaimana untuk menarik minat orang luar datang menuntut ilmu dengan kita.

PPSMI dimulakan dengan tekanan politik, ratusan juta wang rakyat disuntik dan akhirnya PPSMI juga ditamatkan dengan tekanan politik.

Pilih pemimpin

Saya akhiri posting ini dengan serangkap pantun, berkaitan pemilihan pemimpin, ketua dan orang yang diharapkan untuk memimpin orang-orang di bawahnya.

Kalau mencari tempat mandi
Pertama teluk, kedua pantai
Kalau mencari pemimpin terpuji
Pertamanya elok, kedua pandai

Betul pemimpin, betullah orang yang dipimpinnya. Rosak pemimpin, rosaklah orang yang dipimpinnya.

Wassalam

No comments: