Wednesday, 1 July 2009

Congak-congak Manek Urai

Serang secara psikologi, bukan secara peribadi

Posting kali ini saya selang-selikan dengan hasil laporan wartawan Berita Harian yang memetik pandangan beberapa ahli akademik mengenai peluang calon-calon yang bakal berentap untuk merebut kerusi DUN Manek Urai, 14 Julai ini.

Manek Urai boleh saya katakan sebagai satu kes yang unik. Unik dan berbeza dengan beberapa kawasan PRK yang dilalui sebelum ini terutamanya dari segi komposisi kaum.

Dengan 99.2% pengundi Melayu (hampir monogen), isu perkauman dan agama dilihat sukar untuk mengambil hati para pengundi, melainkan isu peribadi digunakan pihak-pihak yang bertanding untuk dibangkitkan / dihangatkan untuk memancing undi.

Biarpun sehingga kini strategi kempen berbentuk serangan peribadi melibatkan calon-calon yang bertanding belum begitu ketara, tetapi di laman-laman blog pro-PR nampaknya telah ada "kisah-kisah lama" yang mula dibongkar - baca di sini (saya suruh baca saja, bukan suruh percaya! - ada beza tu).

Saya melihat tindakan menyerang peribadi lebih memihak kepada pro-PR memandangkan calon PAS Mohd Fauzi, setakat yang diketahui tidak terbabit dengan pengurniaan "kontrak", "tender" mahupun mengetuai "urusniaga" membekal dan memborong ikan secara besar-besaran bagi agensi kerajaan dan sebagainya.

Sebaliknya bagi calon UMNO, Tuan Aziz yang begitu berpengalaman di dalam kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan di KESEDAR, mungkin secara sedar atau tidak, beliau juga turut dilibatkan dengan urusan meluluskan kontrak, tender dan urusniaga bagi kepentingan agensinya.

Apapun, selagi seseorang itu profesional dan amanah di dalam tugasnya, tiada apa-apa yang perlu dibimbangi oleh Tuan Aziz di dalam hal ini.

Jika serangan peribadi tidak begitu memihak kepada UMNO/BN dalam situasi di Manek Urai, makanya opsyen kedua boleh digunapakai - "BN kena guna psikologi di Manek Urai" (Prof Dr Ahmad Atory Hussein) (sumber).

Tambah Ahmad Atory lagi, bagi membolehkan strategi secara psikologi digerakkan secara berkesan, "mereka-mereka" yang menjadi liabiliti (bangkai bernyawa) kepada parti juga tidak perlu dikerah turun berkempen.

Pernyataan beliau ini kelihatan seperti menyanggah usaha yang sedang dirintis oleh Pemuda UMNO Kelantan yang awal-awal lagi menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia (KJ) untuk menggempur Manek Urai.

Pernyataan seterusnya oleh Ahmad Atory lebih menarik minat saya iaitu perlunya jentera BN untuk tidak membangkitkan serangan peribadi, terutama kepada TGNA, Menteri Besar Kelantan yang juga merangkap Mursyidul Am PAS - "Ini kerana di Kelantan Nik Abdul Aziz dihormati kawan dan lawan" .

Saya sependapat dengan beliau dalam bab ini setelah melihat nasib calon-calon UMNO/BN pada PRU-12 yang lalu, hasil kempen yang "mengusik" peribadi TGNA. Hal yang sama juga telah saya bangkitkan di dalam beberapa posting di blog ini sebelum ini.

Pada pandangan saya, cara Ahmad Atory bercakap juga sebenarnya boleh dijadikan ingatan, terutama kepada "mereka-mereka yang menjadi liabiliti parti" agar lebih berhati-hati dalam berkempen di bumi Kelantan.

Janganlah disempitkan lagi peluang UMNO/BN untuk memulihkan imej di mata orang-orang Melayu.

Justeru, kaedah yang paling selamat dan mungkin berkesan adalah dengan menggiatkan kempen berbentuk penerangan bagi menjawab isu-isu semasa berkaitan UMNO/BN (seperti isu Perak, Biasiswa 1Malaysia, royalti minyak Kelantan, etc) kepada para pengundi dan di masa yang sama berusaha mengetengahkan bakat dan potensi calon mereka, Tuan Aziz di peringkat akar umbi.

Faktor calon

Pelbagai analisa juga dibuat dan dilaporkan pelbagai sumber terhadap calon-calon yang bertanding.

- Ada yang menggunakan faktor umur (yang muda + kederat muda) sebagai faktor kelebihan untuk pertimbangan para pengundi.

- Tidak kurang yang melihat latar belakang akademik sebagai penentu daya intelektualiti calon.

- Pengalaman di dalam pengurusan parti dan luar parti juga diambilkira bagi membuktikan kewibawaan calon untuk menjadi pemimpin masyarakat atau YB.

- Malah, ada yang berhujah menggunakan faktor grassroot sebagai pendorong kepada penerimaan calon (pilihan suka ramai) oleh pengundi setempat.

Akan tetapi faktor calon semata tidak dapat memenuhi kepuashatian pemilih, tanpa mengambilkira faktor parti dan manifesto dan janji yang dibawa mereka.

Justeru, di sinilah letaknya peranan yang lebih besar oleh jentera kempen dan para pimpinan atasan parti untuk turun padang meyakinkan para pengundi, berdamping dan menyelami hati dan kehendak mereka di dalam sesuatu isu.

Congak-congak

P. M. Dr Agus Yusoff dari UKM juga dilaporkan tidak nampak faktor calon akan memberikan kelebihan yang signifikan kepada parti yang bertanding.

"Saya ingat faktor calon tidak beri kelebihan pada mana-mana pihak. Manek Urai bergantung kepada bagaimana UMNO menguruskan persepsi orang terhadapnya, kerana ia bukan lagi soal isu" - Dr. Agus (sumber).

Beliau menegaskan pentingnya jentera kempen UMNO memiliki keupayaan bagi menjawab (dengan bijak) segala persoalan dan tohmahan yang dikaitkan dengan persepsi negatif terhadap UMNO.

Dan bukannya berterusan mengamalkan politik ugutan seperti "tiada pembangunan tanpa BN", kerana taktik sebegini telah terbukti tidak lagi berkesan - juga telah saya kupas sebelum ini.

"Mereka (pengundi) ini semua adalah penoreh getah, petani dan peneroka yang tidak takut pada harimau atau apa-apa binatang. Inikan pula sebuah parti politik" - Dr Agus (sumber)

Adalah sukar untuk menyatakan di peringkat awal ini siapa yang bakal menang (output) memandangkan (proses) pun belum digerakkan secara rasmi.

Daripada calon yang masing-masing berwibawa dan dikenali di peringkat akar umbi dan komitmen yang dipamerkan pimpinan kedua-dua parti dan pakatan (BN dan PR), peluang di Manek Urai dilihat masih 50-50.

Cumanya, kenalah tilik juga kejutan di peringkat akhir seperti "faktor Tok Guru", yang tidak dapat disangkal berkemampuan untuk merubah jalan dan rentak permainan kedua-dua pihak yang bertanding ini.

Sebagaimana Dr. Agus, saya juga menyandarkan harapan biarlah PRK kali ini berlangsung di atas landasan demokrasi yang tulen.

Biar apapun keputusan yang dicapai pada PRK DUN Manek Urai kelak, ia hendaklah mencerminkan kematangan dan "kedewasaan" berpolitik kedua-dua pihak.

Sekian.

No comments: