Sunday 26 February 2012

Pendapat: Nak runtuhkan negara itu lebih mudah berbanding nak bina semula negara.


"Meruntuhkan sebuah negara adalah lebih mudah berbanding untuk membina (dan bangunkan semula) yang diruntuhkan itu" (drsepet).

Seingat saya, negara kita masih berpegang kepada sistem demokrasi yang membenarkan perubahan dibuat rakyat melalui pilihanraya.

Bagitupun, bagi beberapa negara Arab yang sedang runtuh sekarang ini, saya lihat ianya berlaku kerana (sebahagian) rakyatnya mahu bebas dari cengkaman rejim yang ada sekarang, dan dengan mengangkat kerajaan baru yang 'dikempenkan' sebagai demokratik.

Begitupun saya masih sangsi: sama ada negara mereka yang sedang/telah runtuh semasa 'revolusi' itu, dapat dipulihkan oleh kerajaan baru yang menjanjikan demokrasi atau sebaliknya?

Tiada siapa yang boleh beri jaminan. 

Apa yang saya nampak, bagi negara yang sedang/telah runtuh ini, rakyatnya juga bermula dengan memilih jalan raya sebagai platform untuk menzahirkan harapan mereka agar demokrasi tertegak dan pilihanraya dapat diadakan untuk pilih kerajaan baru. 

Namun, sepanjang revolusi itu saya perhatikan:

1) Ekonomi hancur dengan kadar pengangguran jauh lebih parah berbanding sebelumnya, apabila pelabur mula meninggalkan pasaran, membawa ribuan rakyat hilang pekerjaan apabila diberhentikan dan perusahaan ditutup.

2) Pelancong menjauhkan diri kerana ancaman keselamatan, lantas melingkupkan destinasi pelancongan dan industri yang berkait dengannya (lazim dikendalikan pengusaha tempatan). 

3) Agensi penguatkuasaan terutama Polis tidak lagi berfungsi di waktu darurat kerana peranannya diambil alih pasukan tentera. Apa yang berlaku, inilah saat paling banyak anasir luar meresap masuk dengan mudah ke dalam masyarakat. Lihat Syria, andai laporan kematian pun tidak dilayan, apakah jaminan aduan kecurian/kerosakan/kebakaran harta benda individu dan awam mendapat perhatian dan perlindungan?

4) Media luar terutama barat akan masuk dan membuat liputan. Kesemua mereka tentulah ada agenda dan  kepentingan sendiri. Tidak disangkal juga, media akan membina persepsi dan dalam banyak keadaan, 'gambaran media' ini mampu memperlihatkan kepada komuniti antarabangsa  bahawa rakyat di negara yang sedang runtuh ini 'meminta' campurtangan negara kuasa besar. Inilah yang terjadi kepada Iraq dan Afghanistan. Tentu kini keadaan mereka 'lebih baik'.

Malangnya, bagi kita pula, setelah 50 tahun, patutnya kita lebih matang di dalam mencari kaedah yang sesuai dengan kita, untuk tambahbaik sistem demokrasi dan pilihanraya kita. 

Perkembangan mutakhir ini bagaimanapun, pada saya mula menampakkan corak yang kita pula 'terbalik' dari negara Arab (dari sepatutnya tambah baik sistem demokrasi, mula memilih jalan raya).

Mungkin andaian saya silap dan naif. Mungkin untuk bulan-bulan yang mendatang, kita perlu turun ke jalan raya setiap minggu jika ingin menuntut perubahan dan mewujudkan amalan demokrasi yang lebih baik.

Saya tidak kata saya sokong, ataupun bantah (tindakan sesetengah mereka yang berkepentingan di dalam 'kempen' demokrasi ini). Barangkali pada mereka, rancangan turun ke jalan raya itu tidaklah sehingga mahu meruntuhkan negara.

Tetapi hendaklah kita belajar daripada apa yang sedang dan telah berlaku di sekeliling kita. Ini kerana banyak negara yang runtuh, belum tentu rakyatnya dapat bina semula dan mengecap kemakmuran sebagaimana dicitakan....Bahkan, 'revolusi' juga membawa kos yang tinggi, yang mana perlu dibayar rakyat setelah selesai revolusi tersebut. 'Bayaran' boleh dalam bentuk 'kerajaan terpimpin', mahupun secara penguasaan sumber asli seperti minyak dan lain-lain galian.

Moga Allah tunjuk kita jalan penyelesaian, bagi pertolongan untuk kita hadapi ujian ini dengan sabar dan berhikmah. Allahua'lam.

3 comments:

Badrul Hisham Abdul Kahar said...

Ana suka artikel ini.Both parties kena faham denyut nadi rakyat yg merupakan silent majoriti. Banyak kaedah yg boleh dilakukan sebab kita bkn negara kuku besi. 50thn begitu muda kita mempunyai pemerintahan sendiri selepas 1511 Melaka tumbang. Even Eropah juga baru selepas WWII dpt menikmati kehidupan yg boleh dikategorikan begitu canggih&beradap.

Dr Sepet said...

Saya bukannya apa, politik kita hari ini masih bergerak di dalam lingkungan dendam dan londeh-melondeh. Jika sekarang PR mendesak BN dengan protes di jalan raya (seperti tidak sabar dah nak masuk gelanggang pilihanraya), saya khuatir setelah PR menang, lawannya BN juga akan buat perkara yang sedang PR buat ketika ini.

Saya yakin majoriti rakyat masih meletakkan aspek lain seperti keselamatan, ekonomi, masa depan anak-anak mendahului agenda politik.

Tidak salah untuk menuntut perubahan dan peralihan kepimpinan, cuma pilihlah yang betul, dengan kaedah yang betul dan orang yang betul.

Kita perlu belajar politik matang, kedua-dua pihak ini. Jika tidak, di manakah kesudahan kepada politik dendam-mendendam dan taa'sub ini?

Unknown said...

Salam DrSepet

Saya suka kupasan yang diberikan. Perubahan yang diminta boleh dibuat dengan pelbagai cara tp saya sama sekali menolak politik jalanan. Bersesak, berkerumun, melaung , berpidato dan akhirnya...menerjah + merusuh. Negara yang aman tidak sepatutnya dipropagandakan demi kepentingan politik yang membuta tuli. Melihat keadaan negara yang dilanda peperangan , kemiskinan, dek kecelaruan politik...membuatkan saya sering bertanya..kenapa kedamaian negara perlu dikorbankan demi rakusnya kehendak hati sesetengah pihak yang tidak pernah berpuas hati dengan apa yang dinikmati!