(Berpinar mata)
Hari ini sudah berkurang. Semalam dan hari-hari sebelumnya, sekitar jam 3am sahaja, Mawaddah dan saya (orang rumah juga) akan terjaga dari tidur.
Turun ke tingkat bawah, buka tudung saji, panaskan lauk dan makan nasi.
Lepas itu, tengok TV, dan berdendang sampai subuh (6.ooam). Memanglah mata berpinar-pinar dan pedih.
Itulah 'penangan' musim sejuk. Agak mencabar untuk mengembalikan jadual kehidupan harian kepada waktu normal.
Patutlah musim sebegini banyak haiwan 'berhibernasi', sebab waktu 'rehatnya' panjang, termasuklah untuk kita orang Islam - rujuk waktu solat bulan ini.
Apa yang boleh dibuat? Pukul 4.oo pm sudah Maghrib dan 6.00 pm sudah Isya'.
(nota: dari sudut yang positif, inilah masa terbaik untuk sesiapa yang ingin berpuasa sunat dan mengganti puasa)
Lazimnya di tanah air, selepas Isya (sekitar 8.30pm), tidak banyak yang dibuat selain menonton berita (dan drama kalau ada yang menarik) dan kemudiannya masuk tidur.
Bayangkan jika jam 6 petang sudah selesai solat Isya', di luar hari telah lama gelap. Mulalah mata ini berpinar-pinar.
Outing
Enggan untuk terus 'berhibernasi', dan melayan kesan daripada waktu tidur yang tidak berapa teratur, semalam kami keluar ke bandar Oxford.
Sekalipun mula diserang demam dan selesema (saya dan Mawaddah), adalah kurang bijak untuk terus berkurung di dalam rumah. Bosan.
Kami ke sana jam 11.20 am. Memandangkan waktu solat Zohor dan Asar juga awal (sekitar jam 12 pm dan 1.50 pm) tiada banyak masa untuk dibazirkan.
Distinasi pertama, Argos - mendapatkan penutup kaki Mawaddah, sebelum bergerak ke Perfume Shop + Body Shop. Sekarang pun masih ada sale.
Harganya? Masih sedikit murah dan menarik berbanding yang kami lihat sewaktu singgah sebenar di Dubai baru-baru ini.
Kemudian kami ke kedai kasut Clarks. Memang saya berkehendakkan sepasang kasut kerja.
Sekalipun orang-orang Malaysia lebih gemar bershopping di Bicester Village, jualan murah dengan potongan 50% di kedai kasut di bandar pun masih menarik.
Alhamdulillah, dapatlah sepasang seorang dengan harga yang mampu beli.
Jual kasut dengan harga 2 kali potong (dari harga asal 50 pound/RM250, turun kepada 40 pound/RM200, kemudian dipotong lagi kepada 25 pound/RM125).
Teh
Musim sejuk-sejuk ini memang sedap kalau selepas makan nasi, dihidangkan pula teh panas.
Bersembang pasal teh, terlihatlah foto-foto adik saya dan isterinya bercuti di Cameron Highland.
Banyak juga foto yang mereka ambil di ladang teh Cameron, Bharat Tea.
Kisah Teh Bharat ni unik. Saya ada menonton satu dokumentari berkenaan pembuatan teh di saluran Discovery tidak lama dahulu.
Pembuat teh terkenal UK, Yorkshire Tea, sebenarnya telah mengimport teh Bharat untuk diadun sebagai salah satu daripada 'bahan resepi' syarikat itu.
Mencarilah saya akan Yorkshire Tea di pasaraya selepas itu.
Anda juga mungkin maklum bahawa meminum teh merupakan satu gaya hidup orang-orang 'puteh' di sini.
Dan hidup di tempat orang ini juga membuka peluang kepada kami melihat kepelbagaian budaya ini.
Berkesempatan jugalah kami mencuba dan merasa pelbagai jenis teh.
Sekalipun serasi dengan amalan minum teh dan rasanya yang pelbagai jenis itu, saya masih mengekalkan rasa kopi 'kampung' yang malangnya perlu diimport dari Malaysia.
Sebelum ini mencuba beberapa jenis kopi cap Kenco (Arabican, Peruvian, Costa Rican, Golden Roast, Brazil, etc), Korokahveci 1871 dari Turki dan sebagainya, masih belum berupaya menandingi rasa Kopi Hang Tuah dan terbaru, Kopi Cap Bukit, keluaran syarikat dari Kota Bharu, Kelantan.
Kepada rakan-rakan di Oxford yang terbaca posting ini dan ingin mendapatkan kasut, minyak wangi, DVD, sabun dan syampu dengan harga potongan, masih ada waktu untuk berkunjung ke premis-premis orang puteh yang masih rancak menjalankan sale itu.
Dan kepada siapa-siapa yang masih 'berhutang' puasa, ambillah kesempatan waktu Subuh jam 6.00 am dan Maghrib 4.30 ini untuk bayar segala hutang tersebut.
Sekian.
No comments:
Post a Comment