Sunday, 16 January 2011

Rosmah sudah layak

Kebelakangan ini pelbagai pihak mula memperkatakan hal berkaitan isteri Perdana Menteri, D.S. Rosmah Mansor, yang semakin aktif membina reputasinya di dalam dan luar negara.

Apapun, tidak boleh salahkan juga orang yang berdiskusi dan 'mengata' kerana tindak-tanduk isteri PM yang ke-6 ini saya perhatikan amatlah berbeza sekali berbanding isteri-isteri mantan PM.

Tetapi, apakah kerajinan Rosmah memenuhi 'undangan rasmi' kepada kerajaan ini boleh dianggap suatu tindakan yang salah secara total?

Mungkin, atau mungkin tidak sepenuhnya.

Mungkin salah memandangkan sesetengah tugasan rasmi tersebut masih boleh dipenuhi fungsinya oleh seseorang daripada barisan kabinet seperti Menteri, Timbalan Menteri mahupun Setiausaha Kementerian.

Rakyat nampaknya semakin kabur tentang bagaimana sebenarnya kerajaan mentadbir ketika ini (dari segi hierarki) seandainya tiada penjelasan yang memuaskan diberikan.

Apakah mungkin juga selepas ini isteri-isteri Menteri, dan Timbalan Menteri turut layak untuk mewakili suami masing-masing memenuhi tugasan rasmi mereka?

Emm...I wonder la...

Dari suatu sudut pandang yang berbeza, apa yang telah diusahakan oleh Rosmah ini sebenarnya boleh mendatangkan kebaikan kepada dirinya, UMNO dan kerajaan sendiri. 

Bagaimana?

Ini pandangan saya sahaja, terpulanglah kepada penilaian anda sama ada untuk terima atau tidak.

Saya melihat apa yang 'diusahakan' oleh Rosmah selama 3 tahun D.S. Najib berkuasa sebagai PM ini adalah dengan 'memanfaatkan' kedudukan beliau (sebagai isteri PM) sebagai 'training ground' beliau menceburkan diri ke dunia politik secara serius.

Apa yang dipelajari dan dimahirkan sedikit demi sedikit bakal melayakkan beliau untuk mengintai kawasan, mengisi borang pencalonan, turun padang berkempen dan memenangi kerusi Parlimen.

Dan seterusnya melayakkan beliau dilantik menjawat jawatan Menteri yang membolehkan beliau menguruskan portfolio tertentu dan menjalankan 'tugasan rasmi' negara.

Adalah sesuatu yang merugikan sekiranya beliau tidak berani mara ke depan (dalam politik) dan mematikan cakap-cakap belakang yang begitu panas ketika ini.

Bahkan dengan menjadi orang politik (pemimpin politik seperti suaminya), kemungkinan cakap-cakap yang beliau sebagai 'lebih sudu dari kuah' mungkin dapat dikurangkan.

Ini kerana telah terbukti wujudnya gandingan pemimpin suami-isteri di negara kita ketika ini iaitu Anwar Ibrahim- Wan Azizah Ismail.

Malah telah wujud gandingan pimpinan Ayah-Ibu-Anak, juga dipegang oleh Anwar-Wan Azizah-Nurul Izzah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tambahan pula, sayap Wanita UMNO sendiri pastinya memerlukan nafas baru dengan pemimpin serba-boleh seperti Rosmah berpotensi memainkan peranan yang lebih berkesan.

Tambahan pula ketua Wanita UMNO sekarang inipun bukanlah Ahli Parlimen, melainkan Senator yang dilantik bagi membolehkan 'adanya' peratus wanita dalam kabinet dan melayakkan wakil wanita menyandang jawatan menteri.

Perancangan bertahun-tahun Rosmah juga pastinya tidak akan begitu memberikan risiko yang besar kepada beliau memandangkan hubungan rapatnya dengan pemimpin tertinggi negara termasuklah pihak Istana, di mana pelbagai anugerah tertinggi telah beliau terima. 

Tambahan pula, laporan mengenai aktiviti dan sumbangan beliau melalui Program Permata yang mendapat peruntukan khas RM111 juta dalam Bajet baru-baru ini, boleh memangkin imej baik beliau sendiri.

Dengan itu, saya secara peribadi menyifatkan sudah tiba masanya Rosmah untuk berkira-kira secara serius, terjun ke dunia politik dan membentuk gandingan mantap bersama Najib di dalam PRU ke-13 kelak.

Selamat!

(bunyi tidak macam sarkastik, kan?)

No comments: