Thursday 13 January 2011

Musim (tengkujuh) debat telah bermula!

Minggu ini para pembaca akhbar (dan yang menonton berita TV juga barangkali) tidak akan ter'miss' laporan mengenai cabaran debat di sana-sini.

Malas saya nak berikan pautan berita yang berkaitan, anda boleh 'google' saja, atau dapatkan di Arkib setiap penyedia akbar online untuk kisah lanjut.

Debat ini benda lama, tetapi sekali sekala muncul boleh menarik perhatian ramai. Siapa yang tidak suka melihat pemimpin dari dua parti berlawanan tampil di atas satu pentas, berhujah di atas topik yang sama, tetapi dari sudut pandang yang berbeza?

Jika debat ini begitu digalakkan di peringkat sekolah dan IPT, mengapakah pula di peringkat apabila sudah bergelar pemimpin, banyak yang tidak terlaksana?

Di bawah ini saya lakarkan (sementara berada di perpustakaan ini), sepanjang ingatan saya, kronologi cabaran debat ini bermula, hinggalah yang terkini.


Asal-usul (tidak salah saya) bermula setelah Konvensyen Pakatan di akhir tahun lalu menerbitkan Buku Jingga (saya telah mengulas mengenai hal ini), yang kemudiannya menerima pelbagai reaksi terutama daripada pimpinan kerajaan persekutuan (PM dan TPM).

Apa yang cuba 'dijanjikan' melalui Buku Jingga ini disifatkan oleh pimpinan BN/UMNO sebagai tidak lebih daripada pendekatan populis, tidak realistik dengan kemampuan kewangan dan cuba mengaburkan pertimbangan rakyat menjelang PRU yang akan datang.

Masing-masing berbalas hujah, di dalam media yang menjadi lidah rasmi parti masing-masing (Utusan pun?), ibarat berlawan pedang seorang diri.

Tidak lama kemudian, Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang telah melontarkan cabaran untuk berdebat dengan PM, Najib Razak.

Belumpun sejuk pelawaan yang dibuat, tampil seorang menteri kanan kerajaan, Nazri Aziz yang mencabar Anwar untuk berdebat mengenai tuduhan beliau sebelum ini yang mengaitkan 1Malaysia dengan APCO (penyebab Anwar digantung Parlimen 6 bulan).

DS Najib pula tampil dengan pernyataan untuk tidak terlibat dengan sebarang debat, serentak meminta agar rakyat sendiri untuk menilai tawaran 100 hari Pakatan itu.

Belumpun bermula komen balas terhadap PM, menantu bekas PM, saudara KJ (yang dalam fasa semi-retirement, kalau benar) tampil untuk mengambil 'spot' yang ditinggalkan Najib dengan melaungkan cabaran berdebat dengan Anwar.

Isu KJ ini kita boleh fahamlah.

Akan tetapi tiada ribut, tiada taufan, (tetapi ada peluang), dengan tidak semena-mena muncul pula seorang yang bernama Ummi Hafilda Ali (saudara TP PKR, Azmin Ali) menggunakan kehangatan sekarang ini untuk mencabar Anwar berdebat mengenai isu salah lakunya beberapa tahun dahulu (belum selesai lagi rupanya!).

Berbalik kepada KJ.

Baru sahaja nak mula panaskan mikrofon, KJ pula dicabar dari kiri dan kanan untuk berdebat, sebagai gantinya kepada Anwar iaitu masing-masing daripada Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hasan dan Ketua Angkatan Muda PKR, Shamsul Iskandar.

PAS, melalui pelawaannya meminta UMNO mengemukakan 2 calon untuk melawan 2 calon Pakatan iaitu Dr. Dzulkefli dan Tian Chua. AMK dicabar oleh ketuanya sendiri.

Senario debat-mendebat ini dilihat semakin hangat, tetapi mungkinkah akan menjadi sekadar 'hangat-hangat tahi ayam' sahaja?

Setakat ini, belum ada satupun cabaran disahut. Orang ramai masih tertunggu-tunggu. Saya juga menunggu. Bukan tunggu siapa-lawan siapa, tetapi menunggu benarkah perkara pokok iaitu Program 100 hari Pakatan itu akan diperdebatkan!

No comments: