Friday, 14 January 2011

Homestay - sudah mula berikan respon

Sebelum ini saya ada tulis satu artikel bertajuk "Homestay: satu lagi mangsa loose term?" (klik untuk baca lanjut).

Tidak perlu saya ulas lanjut dan tokok tambah lagi, cuma ingin memaparkan respon oleh Kementerian Pelancongan berkenaan isu ini, sebagaimana dipaparkan akhbar hari ini:

Nota: perkara yang saya tandakan 'bold' itu telah secara spesifik ditekankan pada artikel saya yang sebelum ini, perhatikan.

----------------------

Sumber: SINI

Inap desa palsu jejas industri pelancongan
2011/01/14

KOTA BAHARU: Inap desa palsu yang dikesan wujud di seluruh negara kini boleh menjejaskan industri pelancongan dan langkah segera akan diambil untuk mengatasi masalah itu, kata Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen.

Beliau berkata, bahagian penguatkuasa kementerian itu telah diarahkan untuk mengenal pasti terlebih dahulu jumlah inap desa palsu tersebut sebelum undang-undang tertentu dikuatkuasakan. 

"Mungkin apa yang boleh kementerian lakukan semua homestay (inap desa) yang ada perlu berdaftar dengan kementerian dan akan dijenamakan semula bagi membolehkan pelancong dapat mengenal pasti antara homestay palsu atau berdaftar selepas itu. 

"Buat masa sekarang tidak ada undang-undang khusus yang boleh kerajaan ambil tindakan terhadap homestay palsu itu tetapi ia perlu ditangani agar industri pelancongan terus berkembang maju," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan kakitangan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Kelantan dan Tourism Malaysia Kelantan di sini, hari ini.

Ng berkata, apa yang sudah kementerian lakukan, semua inap desa berdaftar itu mempunyai logo khusus bagi membolehkan pelancong menginap dan menikmati pakej sebenar pelancongan di tempat terbabit.


"Pelancong perlu tahu ciri homestay, tuan punya rumah itu perlu berada sekali bersama mereka di rumah tersebut dengan menyediakan pakej makanan serta akan dibawa melancong dan ia berbeza dengan homestay palsu apabila tuan rumah itu tidak tinggal bersama dan ini telah menyukarkan mereka," katanya.


Ng berkata, apa yang berlaku pelancong membuat aduan kononnya berlaku penipuan dan ada antara mereka mendakwa pakej yang ditawarkan tidak menepati kriteria.

Katanya, di Kelantan kini terdapat lapan kampung mengusahakan inap desa itu dengan menyediakan 194 buah bilik membabitkan 161 pemilik.

Beliau berkata, pada tahun lalu seramai 1,193 pelancong asing dan 1,148 pelancong domestik menginap di inap desa itu dengan pengusahanya berjaya mendapat pulangan hasil sebanyak RM1.17 juta.


Katanya, Kelantan berpotensi menarik lebih ramai pelancong untuk datang terutama dari Singapura dan untuk itu kementerian melancarkan inap desa berkeretapi sejak Oktober tahun lalu.


"Pusat Penerangan Pelancongan juga dikunjungi seramai 2,149 pelancong asing dari Jepun, China, Kanada, Australia, Belgium, Jerman dan United Kingdom dan ini menandakan minat pelancong itu mengetahui mengenai produk pelancongan Kelantan," katanya.


Selain itu, kementerian juga bercadang mewujudkan kursus pelancongan kepada 45 pengusaha syarikat pelancongan di Kelantan bagi mereka memahami dengan sejelas-jelasnya mengenai industri pelancongan itu. - BERNAMA. 

No comments: