Sunday 16 January 2011

Ianya tidak boleh 'saya fikir'

"Saya fikir kita patut memilih dan menentukan apa yang patut kita pakai (tutup aurat atau tidak), yang patut kita makan (halal atau haram), bukannya ditentukan oleh peraturan-peraturan (agama)".

"Saya fikir wanita perlu diberikan ruang yang lebih untuk menikmati kesaksamaan".

"Saya fikir tidak perlu mencari di dalam agama untuk mendapatkan struktur (aturan hidup), kerana kita boleh membuat keputusan sendiri (terhadap mana yang betul dan mana yang salah)".

Begitulah contoh cebisan pendapat beberapa ahli diskusi pro-feminist (bukan Islam) di dalam rancangan The Big Questions terbitan BBC1 pagi Ahad tadi.

Rancangan yang sentiasa panas dengan perbincangan berkaitan isu-isu semasa hari ini mengupas 3 isu iaitu:

- Adakah ahli bank (bankers) akan masuk syurga?
- Adakah perjanjian sebelum kahwin (pre-nups) akan merendahkan martabat perkahwinan?
- Adakah Islam garis panduan hidup yang lebih baik?


Saya tidak begitu mengikuti isu pertama kerana tidak begitu bersangkutan dengan hidup saya di UK ini. Begitu juga dengan isu kedua kerana fokus adalah di antara panel Kristian, gereja, persatuan ibu tunggal dan panel kajian kekeluargaan.

Isu ke-2 ini saya kira tidak begitu ketara di kalangan masyarakat Islam kerana dalam Islam 'kontrak' perkahwinan ini sudah jelas dengan perundangan Syariah dan keluarga Islam yang ada. Selain perkahwinan, Islam juga turut jelas dengan aspek penceraian, hak pasangan selepas berlaku penceraian, pembahagian harta, Faraid dan wasiat. 

Alhamdulillah, kita selesai tetapi rakan Kristian masih memperbincangkan perihal 'kontrak' ini - jelasnya ada yang menyokong, ada yang menentang dengan alasan saya fikir, (I think) dan bukannya "ini yang agama kata".

Isu ke-3 paling menarik (lazimnya diletakkan pada bahagian akhir debat/perbincangan). 


Islam adalah agama yang berkembang paling pesat di UK tahun 2010 yang lalu di mana lebih 5,000 orang Kristian telah menukar agama kepada Islam (60% orang kulit putih).

(celahan: apakah di Malaysia orang berebut-rebut ingin masuk Islam, atau beratur untuk keluar?)

Berbeza dengan Melayu, yang mendapat Islam secara keturunan (seperti Kristian Koptik di Mesir), golongan 'saudara baru' ini menerima sinar hidayah secara susah-payah dan setelah menjalankan penyelidikan, kajian, pemerhatian dan perbandingan secara mendalam, sebelum membuat keputusan untuk memeluk Islam.

Bukan sahaja menjadi agama yang paling pesat berkembang, statistik pembinaan/pengwujudan Masjid juga turut bertambah saban tahun, di kala bilangan gereja yang ditutup semakin meningkat saban tahun.

Di sini-sana, ada sahaja bar dan pub yang telah dibeli oleh orang Islam, dan ditukar guna kepada Masjid dan pusat pendidikan dan sebaran Islam.

Manakala, para penganut Kritian yang berpegang kepada falsafah saya fikir pula semakin "memilih" untuk menjauhi gereja mereka sehingga ke satu tahap ianya membimbangkan.

Di dalam rancangan The Big Question sebelum ini turut dikupas isu bagaimana untuk mempopularkan semula gereja Kristian (UK) yang semakin terpinggir, sedangkan gereja Caribean dan Afrika semakin mendapat sambutan.

Perbincangan ke arah menjadikan "gereja lebih menarik" saya amati banyak berlandaskan pernyataan saya fikir.

Saya fikir kita patut buat itu...saya fikir pihak gereja patut ubah itu dan ini...saya fikir!

Dalam hal agama tidak boleh saya fikir.

Berbalik kepada topik asal (isu ke-3), ada seorang peserta yang pro-feminist dari London yang menyanggah pegangan bahawa Islam menawarkan struktur aturan hidup yang terbaik. Katanya:

"Saya fikir Islam tidak seharusnya melihat isu Gay secara sedemikian, begitu juga di dalam hal poligami".

Sedangkan apabila beliau ditanya dengan satu soalan mudah - pernahkah anda membaca Al-Quran, sebelum mengeluarkan pernyataan yang melulu sedemikian?

Hanya tersenyum dan mati hujah.


Ianya tidak boleh mengenai saya fikir. Ianya mengenai 'apa yang agama kata'.

Kalau berterusan berpegang kepada saya fikir, tidak akan ada penyelesaian dan pematuhan di dalam kehidupan ini kerana setiap orang berfikir tidak sama dan tidak dapat menentukan apa yang difikirkan sebagai yang terbaik untuk dirinya dan diri orang lain juga.

Saya fikir kata kita wajib rujuk kepada apa yang agama (Quran dan Hadith) kata!

No comments: