Wednesday 23 November 2011

Kawajaran Pilihan Raya Serentak & Bahaskan Kandungan BUKU JINGGA

Jangan diperkecil "orang lama" 

Syukurlah, setelah beberapa minggu polimek mengenai "apakah wajar pilihan raya dijalankan secara serentak atau tidak perlu serentak di peringkat Pusat dan Negeri?" terus diperdebat oleh pelbagai pihak, akhirnya hari ini, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) tampil dengan pendirian berhikmah seperti berikut, yang pada saya, adalah tepat dan responsif dengan perkembangan semasa.

 TGNA - sumber foto (sini)

Saya awal-awal lagi telah berpandangan seperti TGNA mengenai perkara ini. 

Tetapi apalah sangat pandangan orang biasa seperti saya (yang tiada weightage), melainkan jika ianya dibangkit dan dijawab oleh pemimpin besar seperti TGNA.

Berikut adalah sebahagian petikan beliau yang saya ambil:

".....banyak masalah akan timbul jika pembubaran Parlimen dan negeri dibuat berasingan. Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am Pas, berkata tiada keperluan bagi Kelantan untuk mengadakan pilihan raya berasingan dengan pilihan raya umum. 

"Ini kerana jika Kelantan berbuat demikian ia memberi peluang kepada pihak parti lawan memberi tumpuan kepada negeri ini." - sumber: Nik Aziz tolak pilihan raya berasingan

Jangan diperkecil "kuasa" media

Tepat sekali alasan yang diberi oleh TGNA iaitu parti lawan akan memberi tumpuan kepada negeri ini (Kelantan).

Tentunya,  PAS dan parti-parti gabungannya di dalam Pakatan bukanlah kali pertama terlibat dan merasa "peritnya" bertanding di dalam PRU. 

Logiknya juga, PAS-Pakatan tentunya telah "masak" dengan maksud perumpamaan berikut:

"Harimau susah nak membaham kambing jika ia bersama dengan kawanannya. Tetapi apabila ia dibiar seekor, maka mudahlah sang harimau menyerang dan membahamnya."

Hikmahnya, pernyataan TGNA muncul [barangkali] setelah menyorot kembali sejarah yang dilalui PAS Kelantan semasa menghadapi beberapa siri PRK (Pilihanraya Kecil) selepas PRU-12.

Keperitan yang ditanggung PAS sewaktu menang tipis "65 undi" pada PRK DUN Manek Urai (2009) dan tewas di DUN Galas (2010, dengan majoriti 1,190 undi - setelah menang pada 2008 dengan 646 undi), [mungkin] banyak mengajar kerajaan negeri betapa berperanannya media termasuklah TV, akhbar dan internet yang pro-kerajaan Pusat (terhadap masyarakat luar bandar) di sepanjang tempoh berkempen setelah tibanya musim pilihan raya.

 Berita kemenangan BN di beberapa siri PRK - sumber foto (sini)

Inilah yang saya perhatikan (dan telah saya kupas panjang lebar pada posting sebelum ini) mengenai betapa berkesannya media arus perdana mendoktrinkan masyarakat di Pulau Pinang sehingga berupaya menyemaikan persepsi bahawa pemimpin Cina telah diterima untuk mentadbir PP dan UMNO pula banyak menjuarai isu-isu yang berkepentingan Melayu dan Islam di negeri itu. 

Di masa yang sama, media yang sama juga berterusan menggambarkan peranan PAS (sebagai sekutu DAP dalam Pakatan) sebagai lemah dan tidak cergas berperanan.

Dan seandainya PAS PP tidak segera bangkit dari lamunan, DAP barangkali berpeluang menang lebih besar, manakala UMNO pula dilihat mampu mengekalkan kerusi mereka di kawasan Melayu-Islam dan mungkin menukar sokongan orang PAS kepada UMNO. Sedangkan PAS pula berkemungkinan "melukut di tepi gantang" (jika tidak segera bertindak). Maaf andai terasa.

Jangan diperkecil kuasa "wait and see voters"

Sekiranya Pakatan masih bermain-main dengan isu ini, tiada jaminan bahawa mereka mampu untuk mengekalkan momentum kemenangan yang telah dikecapi pada PRU 2008.

Bahkan, sekiranya ditakdirkan BN menang lebih besar (2/3 majoriti) negeri-negeri yang mengadakan PRU serentak dengan Pusat, sudah pasti ianya bakal menyuntik motivasi yang tinggi buat jentera pilihan raya BN untuk "menyerang dan membaham" calon-calon Pakatan yang bertanding di negeri-negeri yang mengadakan pilihan raya berasingan.

Inilah logik yang dapat saya fikirkan. Anda pula bagaimana?

Perkara ini bukanlah sukar dilakukan oleh UMNO-BN kerana mereka juga tidak pernah gagal untuk terbabit di dalam proses pilihan raya.

Caranya mudah sahaja. Alihkan segala jentera kerajaan, kekuatan media-media arus perdana (semua stesen TV dan akhbar) serta internet ke negeri Kelatan, Kedah, PP dan Selangor dan buatlah laporan dan pendedahan 24 jam sehari akan segala "kisah dalam kain" dan kelemahan negeri-negeri yang ditadbir Pakatan.

Keluarlah berita penebangan hutan dan kontrak balak, kemiskinan dan kurangnya 'kebajikan', penularan penyakit sosial dan jenayah, pengangguran, serta mungkin dilaga-lagakan barisan pemimpin dalam kerajaan negeri dan sebagainya.

Setelah menang di negeri-negeri lain, pimpinan tertinggi BN juga pastinya akan menyiapkan jadual yang padat dengan road-shows ke negeri-negeri Pakatan.

Tentunya curahan projek-projek mee segera akan dibuat dan dihebahkan di segala media, pemberian bantuan kewangan, projek infrastruktur dan sebagainya. 

Sedangkan segala berita dan gerak kerja kerajaan negeri yang dipimpin PAS, DAP dan PKR akan disorokkan (disenyapkan).

Sekalipun isu ketelusan (dan persoalan mengenai kejujuran PM membubarkan Parlimen) menjadi modal Pakatan untuk tidak menurut langkah bagi membubarkan DUN (seterusnya membenarkan pilihan raya dibuat di peringkat negeri), tidakkah ini (dalam suatu keadaan) dilihat seperti ingin menafikan hak/kehendak sebilangan rakyat yang saya istilahkan sebagai "wait and see voters".

Barangkali, sikap berdalih kerajaan negeri boleh membawa kepada bertambahnya rasa muak dan "wait and see voters" ini menyimpulkan yang kerajaan Pakatan juga tidak jauh beza dengan BN, 2 x 5 sahaja (sayang dengan kuasa).

Mungkin juga apabila media giat memainkan propaganda kemenangan bergaya BN di negeri lain, maka akan terbitlah "feel good factors" sehingga dilihat oleh kelompok "wait and see voters" bahawa BN "ada harapan" untuk membentuk kerajaan lebih kuat (majoriti 2/3) pada PRU-13 nanti.

Maka, tidaklah mustahil mandat lebih besar bakal diberikan kepada BN-UMNO pada PRU-13 kelak.

 Komitmen yang ditunjukkan Najib melalui program transformasinya, mampu pengaruhi keputusan saat akhir para "wait and see voters" - sumber foto (sini)

Seandainya ini yang berlaku, maka ia suatu tamparan yang amat hebat buat pimpinan Pakatan

Saya bukanlah ahli nujum, namun kemungkinan untuk perkara ini berlaku juga tidaklah mustahil.

Bahaskan kandungan Buku Jingga

Daripada apa yang saya lihat, "Pakatan yang menerbitkan Buku Jingga, tetapi UMNO-BN yang laksanakan syor-syor di dalam Buku Jingga".

Nak ubah kenalah faham dulu apa yang nak diubah - sumber foto (sini)

Namun, hendak dipersalahkan BN* pun tidak boleh juga memandangkan para pendokong Pakatan-PAS sendiri tidak ramai yang benar-benar jelas dan faham akan aspirasi/kandungan yang cuba dibawa melalui Buku Jingga.

(*selain BN turut kuasai media dan jentera kerajaan)

Ini mungkin disebabkan, selepas buku ini diterbitkan, ianya disimpan untuk rujukan dan kalau-kalau ditanya orang, dapatlah ia dikeluarkan sebagai modal bagi menjawab soalan - "ini di tangan saya ada Buku Jingga yang boleh menjawab persoalan anda". Ini contoh sahaja.

Pada pandangan saya, adalah lebih baik daripada Pemuda PAS, daripada merancang untuk berhimpun sehingga puluhan ribu orang itu, meletakkan keutamaan untuk menggerakkan terlebih dahulu program membahaskan kandungan Buku Jingga.

Anda yang belajar kitab agama, dan yang nak faham kandungan kitab juga pasti maklum dengan ayat "membahaskan kandungan kitab karangan  Si Polan Bin Si Polan", kan?

Samalah juga dengan Buku Jingga. Aspirasi dan matlamat yang ingin disampaikan oleh buku ini tidak akan dapat difahami dan diterima sepenuhnya rakyat [dan pengundi] tanpa ianya dibahas dan difahami secara terperinci akan isi kandungannya!

Daripada diluangkan masa untuk "menunjuk perasaan", eloklah dibahaskan dahulu Buku Jingga biar masyarakat faham dan bezakan yang program bawaan Buku Jingga itu adalah lebih baik berbanding apa yang telah "ditiru" oleh BN-UMNO sekarang ini.

Itulah pada hemat saya.

 Kalau nak menang, kena tarik minat yang bukan ahli juga - sumber foto (sini)

Bagaimana nak bahaskan Buku Jingga? Anda orang politik mungkin lebih maklum dan bijak.

Cara: Kalau saya-lah

Kalau mengikut cara saya, PAS/DAP/PKR perlu "create one issue every week regarding the content of Buku Jingga" dan biarkan isu ini dimainkan di media arus perdana selama...katakan 1 minggu bagi setiap isu.

Contohnya, isu melibatkan pendidikan dan kebajikan guru-guru. PAS "tolong" create issue tersebut dan biar media sebarkan/sensasikan. 

Pas kena kutuk pun tidak mengapa, janji liputan terhadap isu diberi oleh media arus perdana (sebab sukar PAS masuk TV secara 'baik' dan biar ramai orang terdedah dengan isu ini).

Apabila tiba hujung minggu (setelah 7 hari), maka pihak Pakatan tampil-lah dengan mengangkat Buku Jingga dan berkata "jawapan terhadap isu kebajikan guru-guru telah dijawab di dalam Buku Jingga"!

Jadinya semua pihak (kerajaan, pembangkang, atas pagar, etc) akan mula mencari dan meneliti Buku Jingga!

Kalau perkara ini mampu dilaksanakan oleh pimpinan di dalam Pakatan, saya jamin dalam masa 3 bulan (12 minggu = 12 isu besar) dapat dimainkan oleh media dan semuanya dapat dijawab melalui rujukan masyarakat terhadap Buku Jingga yang anda semua dok sibuk perkatakan itu!

Sekian.

2 comments:

encik alang said...

suatu komentar yang sangat bagus. saya telah emelkan kepada Ketua DPPP. mungkin ustaz nas tantawi boleh lihat dgn lebih objektif pandangan dan komentar saudara.

Dr Sepet said...

Berbanyak terima En Alang. Bukanlah kecil pertolongan yang saudara hulurkan itu.