Wednesday, 10 August 2011

Terbaik bulan ini - Calon PRU, menunggu transformasi politik Najib

Posting ini saya buat setelah membaca berita berikut yang disiar di akhbar portal theMalaysianInsider: PRU - Najib minta Umno jaga rumah tangga, calon biar pimpinan tentukan

Selepas membacanya, timbul empat (4) persoalan berikut di benak fikiran saya iaitu:

1) Adakah Najib benar-benar ada keberanian untuk mengarah setiap Cawangan dan Bahagian agar menyerahkan kepada pucuk pimpinan berkenaan hal penentuan dan pemilihan calon untuk PRU akan datang ini?

2) Adakah Najib mampu menunjukkan ketegasan beliau supaya gesaan ini dipatuhi oleh setiap ketua Cawangan, Bahagian sehinggalah kepada Ketua Perhubungan Negeri?

3) Jikalau pimpinan atasan yang bakal tentukan calon yang 'boleh menang' (setelah meneliti senarai 'boleh menang'), soalnya, siapa yang akan pilih dan cadangkan nama calon terbabit 'at the first place'? 

Dan siapa juga yang akan menilai di peringkat akar umbi (grassroot), sama ada calon yang disenaraikan itu disukai ahli, pengundi dan boleh menang? Adakah ianya akan dirujuk kepada ahli peringkat akar umbi? Atau diserah kepada ketua-ketua Cawangan? Atau diputuskan dengan persetujuan (endorsement) ketua Bahagian? Atau tidak dapat tidak, wujud campurtangan oleh Ketua Perhubungan Umno Negeri (lazimnya Menteri Besar) untuk memastikan "orang-orang dia" bakal diangkat sebagai calon?

4) Menyimpulkan ketiga-tiga soalan di atas, maka akhirnya nanti apakah akan wujud senarai calon "tak boleh menang" di mata akar umbi tetapi 'boleh menang" di mata pimpinan atasan Umno?

Transformasi

Sejak mengambilalih tampak pemerintahan daripada Pak Lah, Najib sebenarnya berhadapan dengan pelbagai cabaran besar, baik untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada Umno, mahupun untuk memenangani kembali sokongan bukan Melayu yang secara jelas beralih kepada pakatan pembangkang.

Justeru, gagasan mentransformasikan pelbagai bidang baik ekonomi (Pelan Transformasi Ekonomi), perkhidmatan kerajaan, sosial (1Malaysia) dan kini politik telah menjadi dasar utama pemerintahan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia ini.

Keadaan nampaknya tidak banyak memihak kepada Umno-BN setelah diperhalusi keputusan Pilihanraya Umum Negeri Sarawak baru-baru ini kerana bukan sahaja BN mengalami penurunan undi popular kepada pakatan pembangkang, malah trend pengundi bandar secara jelasnya telah menolak BN.

Ada juga menganalisis politik yang berpendapat, andainya Najib tidak memberikan 'janji' pengunduran Taib Mahmud selepas PRU tersebut, keputusannya akan lebih teruk lagi.

Namun, setelah BN menang selesa dengan mempertahankan majoriti 2/3, masih belum ada tanda-tanda bahawa Taib Mahmud akan tunduk kepada 'arahan' Presiden BN itu untuk segera meletakkan tarikh pengundurannya dari kerusi Ketua Menteri Sarawak.

(Nota: di sinilah saya timbulkan soalan no. 1 dan 2 - berkaitan keberanian dan ketegasan Najib).

Mentransformasikan sistem politik bagi parti siasah yang matang seperti Umno saya kira sebagai suatu usaha yang sungguh murni. Ini kerana zaman berubah dan masyarakatnya juga telah banyak berubah dan permintaan mereka mengenai sistem politik juga turut berubah.

Namun, perlu juga diakui bahawa mentransformasikan sistem politik di negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama ini bukanlah sesuatu yang mudah seperti makan biskut.

Saya tidak ingin sentuh hal-hal di luar Umno-BN seperti tuntutan membersihkan senarai pengundi dan tidak memberi mudah kad pengenalan kepada warga asing sepertimana dibongkarkan baru-baru ini, cukup hal dalam Umno ini sahaja.

Pengalaman saya menunjukkan sejarah selalunya berulang. Ianya dapat diperhatikan pada setiap PRU di mana Umno (tidak tahulah sama ada sedar atau tidak) akan meletakkan calon-calon 'recycle', muka-muka lama yang telah ditolak pengundi pada PRU sebelumnya, dan lebih parah lagi menampilkan semula calon-calon yang ada 'bad track record'.

Inilah masalah atau cabaran utama ke arah usaha transformasi politik kita: orang lama yang terbukti ditolak pengundi masih ingin bergayut dengan jawatan. Tidak terfikir untuk bersara dan memberi ruang untuk orang lebih muda mengetengahkan potensi mereka.

Masalah juga apabila calon yang tewas sebelum ini masih berkuasa sebagai ketua Cawangan dan Bahagian, dan seringkali mereka-mereka ini menggunakan kuasa sebagai ketua Cawangan dan Bahagian bagi menghalang peluang orang lain yang jauh lebih layak berbanding beliau.

Akhirnya timbullah pergeseran, perpecahan dan amalan berpuak-puak dalam parti di peringkat Cawangan mahupun Bahagian kerana calon yang tewas (tidak menang) masih bernafsu besar untuk kembali dipilih, dan calon yang lebih 'segar' juga merasakan masanya telah tiba untuk memimpin.

Mampukah Najib dan pimpinan atasan Umno menyelesaikan perkara ini sebelum ianya parah?

Pengaruh besar Perkasa

Pada awalnya saya sedikit terperanjat melihatkan ramai sekali ahli pertubuhan Perkasa terdiri daripada ahli-ahli Umno baik di peringkat Cawangan mahupun Bahagian.

Apakah yang menyebabkan mereka ini boleh berketuakan Ibrahim Ali, orang yang secara rasminya telah dipecat dari Umno sendiri. Sudahlah Ibrahim bukan ahli Umno, bertanding pula di atas logo Pas pada PRU yang lalu?

Itulah uniknya Perkasa. Tambahan pula pertubuhan ini nampak lebih vokal berbanding Umno sendiri di dalam memperkatakan perkara-perkara berkenaan hak orang Melayu apabila cuba disentuh orang bukan Melayu.

Maka tidak hairanlah ramai ahli Umno (terutama yang di bawah) lebih tertarik dengan ucapan para pemimpin Perkasa berbanding memegang kata-kata pemimpin Umno sendiri.

Keanggotaan dan penglibatan orang Umno di dalam Perkasa juga turut membuka ruang (pentas berkempen) terutamanya kepada pemimpin-pemimpin Umno yang tewas pada pemilihan di peringkat Bahagian membina semula kekuatan akar umbi agar mereka diberi sokongan untuk kembali menjadi calon.

Ianya bakal menyulitkan lagi keadaan semasa di Umno di peringkat Cawangan dan Bahagian. Malah jika isu ini gagal ditangani secara bijaksana, rasa tidak puas hati pastinya akan meluap dan dikhuatiri orang Umno+Perkasa ini akan menggunakan platform "calon Bebas" pada PRU ke-13 ini, seterusnya melawan calon Umno sendiri. 

Ini pasti menghadirkan mimpi ngeri buat Najib dan pelan transformasi politiknya.

Cakap mudah, tapi bagaimana nak buat supaya orang faham

Sebagai penutup, apa yang diucapkan Najib tidaklah semudah perlaksanaannya. 

Bahkan, silap haribulan, gesaan ini bakal menyemarakkan lagi perpecahan dan budaya berpuak-puak dalam Umno baik di peringkat Cawangan mahupun Bahagian.

Tambah parah lagi jika golongan yang tidak puas hati (kerana calon yang dicadangkan tidak dipilih oleh pimpinan atasan) bertindak memberi undi kepada calon lawan, memboikot perjalanan kempen atau tidak keluar mengundi.

Harapnya dengan komitmen Najib membawa agenda transformasi ini, rakyat dan para pengundi juga akan dapat melihat senarai calon yang lebih layak, lebih muda, lebih bersih dapat ditonjolkan pada PRU yang akan datang ini.

Rakyat ingin melihat apakah Najib ada keberanian dan ketegasan untuk "membersarakan" muka-muka "kiss ass", muka-muka lama yang telah ditolak rakyat sebelum ini, dan yang mempunyai "bad track record".

Jika ini dapat ditunjukkan Najib, saya percaya peluang Umno untuk mengekalkan Putrajaya masih cerah.

Soalnya, apakah Najib sendiri yakin beliau mampu melakukannya?

Sekian.
-----------------------

Nota: 

- sebahagian idea penulisan artikel ini merupakan refleksi pembacaan saya terhadap buku politik terhangat masa kini oleh Shahbudin Husin (2011) "Najib Perdana Menteri Terakhir...". Selangor. Special One Publication.

- Shahbudin Husin adalah ahli Umno Bahagian Wangsa Maju, WP Kuala Lumpur dan pernah memegang beberapa jawatan penting sejak aktif dalam parti pada 1994, dengan jawatan terakhir sebagai Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju serta AJK Pemuda Umno WP sesi 2004-2008.

No comments: