Saturday, 13 August 2011

Restoran halal+haram

Sepanjang Ramadhan ini, seronok rasanya apabila menatap FB rakan-rakan di Malaysia. Ramai yang update setiap hari apakah juadah dan tempat di mana mereka berbuka puasa.

Melihatkan "mewahnya makan" rakan-rakan di sana (berdasarkan foto-foto lauk-pauk dipaparkan), menjadikan saya tidak nampak yang rakyat Malaysia kini dihimpit kemelut. Makan tetap mewah. Justeru, persoalan "merasai bagaimana orang miskin rasa" itu nampaknya perlu saya tinggalkan buat sementara.

Dari satu sudut yang lain pula, saya kira Alhamdulillah, rezeki dan nikmat kurniaan Allah Taala kepada kita sebenarnya terlalu banyak. Bukan sahaja nikmat wang yang dibelanjakan untuk makan, malah nikmat makan itu sendiri (merasai enaknya makanan).

Namun sedikit sayang kerana di sebalik keghairahan sesetengah kita (bukan semua) mengeluarkan belanja untuk makanan yang sedap dan enak, ada kalanya kita (bukan semua) kurang sensitif atau peka di dalam pemilihan tempat (restoran) kita makan.

Bukanlah niat saya untuk mengata dan merendahkan sesiapa (mahupun memalukan diri sendiri), tetapi biarlah perkara ini menjadi pengajaran buat diri saya dan anda yang membacanya.

Sewaktu pulang ke tanah air baru-baru ini, saya keluar (dibelanja, lebih tepat) makan di restoran makanan barat yang terkenal di OneUtama. Awalnya, tidak terlintas bagaimana rupanya restoran itu melainkan diwar-warkan yang makanannya memang sedap dan berbaloi.

Sebaik tiba dan memasuki kedai itu, barulah saya sedar bahawa ianya restoran "halal+haram". Konsep yang lumrah saya perhati sejak menetap beberapa tahun di Oxford ini. Iaitu restoran yang menyajikan makanan halal dan di premis yang sama turut menyajikan arak.

 Foto hiasan

Bezanya di sini, ianya bukan negara orang Islam dan tiada undang-undang dan pihak secara khusus untuk menguatkuasakan larangan/sekatan penjualan arak oleh pengusaha restoran yang Muslim.

Namun amat sayang sekali jika di Malaysia, negara yang ditadbir orang Islam, seakan-akan telah menjadi satu trend yang diterima umum, kewujudan restoran-restoran berkonsepkan "halal+haram" ini, seterusnya berkembang "bak cendawan tumbuh selepas hujan", terutama di pusat-pusat membeli-belah.

Apa yang membimbangkan saya ialah restoran ini bukan sahaja menyajikan makanan "halal yang sedap" (dan agak mahal) kepada pelanggannya yang Islam, malah di premis yang sama, di meja bersebelahan, turut menyajikan arak kepada pelanggan bukan Islam.

Akibat sikap toleransi berlebihan (kurang kesedaran mengenai halal-haram dan syubhah) sesetengah kita pula, maka kedengaranlah komen-komen seperti berikut:

1) "Semua makanan kat sini sedap. Hal saji arak tu kami tak campur selagi makanan yang lainnya halal".

2) "Yelah, dah hakikat hari ini dan tak boleh kita lari iaitu semua restoran berkonsepkan sebegini (ala barat) memang sajikan arak, sebab pelanggan dia pun ramai yang bukan Islam".

3) "Aku datang makan sini sebab makanan dia sedap. Itu aje, bukannya aku minum (arak)".

Saya menulis ini bukanlah ingin menunjukkan yang saya alim ataupun warak kerana saya sendiripun ada makan di tempat-tempat sebegini sebelum ini, baik di sini mahupun di Malaysia.

Bahkan, bukan kali pertama saya mengambil sikap "tutup mata" sekalipun melihat begitu banyak botol-botol wain, wain coolers, beer yang tersusun di atas rak berdekatan tempat penyediaan air.

Bahkan bukan sekali-dua saya buat "keras hati" melihat pekerja yang serve makanan kepada meja saya dan arak untuk pelanggan meja sebelah saya adalah terdiri daripada anak Melayu yang tentunya Islam.

Akhir kata, saya ingin menasihatkan kepada semua rakan di luar sana, bersempena Ramadhan yang masih berbaki ini, adalah tidak salah untuk kita dan keluarga berbuka puasa di restoran yang fancy dan mewah, tetapi di masa yang sama hendaklah kita beringat bahawa adalah menjadi kewajiban sebagai orang Islam untuk sedaya mungkin mengelakkan diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang "syubhah", apatah lagi jika yang haram itu jelas terpampang di depan mata kita.

Moga Allah Taala maafkan silap dan keterlanjuran saya sebelum ini dan kurniakan kekuatan untuk mencari makanan yang halal, sekalipun kelihatannya yang "halal+haram" itu amat sedap sekali.

Wassalam.

No comments: