Friday, 26 August 2011

Utamakan Sunnah sewaktu pulang/bermusafir ke kampung halaman

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menyeru umat Islam yang bermusafir pulang ke kampung halaman bagi menyambut perayaan Aidilfitri agar dapat mematuhi adab-adab semasa bermusafir.


Daripada apa yang saya pelajari sedikit-sebanyak, adalah menjadi keutamaan bagi seseorang Muslim itu mendahului amalan-amalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW (As-Sunnah) termasuklah semasa bermusafir.

Status sebagai seorang musafir adalah juga suatu khabar gembira kerana telah menjadi amalan Rasulullah untuk menggunakan sebaik mungkin keringanan (kelebihan atau sedekah) yang telah Allah Taala berikan apabila sewaktu bermusafir.

Perkara ini telah saya kupas sebelum ini dalam posting: Meng-Qasarkan solat dalam perjalanan

Saya petik sedikit posting berkenaan:

Meng-Qasarkan solat adalah sedekah  daripada Allah, sebagaimana firman-Nya di dalam Surah an-Nisa' ayat 101 yang bermaksud:

"Dan apabila kamu berpergian di muka bumi, maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu musuh yang nyata bagimu."

Dalam hal ini, terdapat satu riwayat dari Abu Ya'la bin Umayyah, di mana beliau menceritakan:

"Aku pernah bertanya kepada 'Umar bin Khathhab: (Allah berfirman) "maka tidaklah mengapa kamu meng-Qasar solatmu, jika kamu takut diserang orang-orang kafir." (Namun sekarang) masyarakat sekarang sudah berada dalam keadaan aman. 'Umar berkata: "Aku juga pernah merasa hairan sebagaimana engkau merasa hairan. Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai perkara tersebut. Baginda bersabda: "Ia suatu sedekah yang telah disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Oleh itu, terimalah sedekah Allah." (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Orang-Orang Yang Musafir, no. 686).

Bukan hanya keringanan untuk bersolat Qasar (pendekkan solat), malah bersolat jamak (himpun solat, sekalipun tidak semestinya dalam keadaan bermusafir).

Selain itu, dibolehkan juga ke atas seseorang musafir itu  berbuka puasa semasa dalam perjalanan. Dan kemudian wajib diganti semula. Ini kerana Rasul SAW sendiri telah menerima sepenuhnya "sedekah" kurniaan Allah Taala ini. 

Jikalau Rasulullah sendiri-pun tidak menyoal panjang mengapa Allah mengurniakan pelbagai kelebihan semasa bermusafir (seperti dinyatakan di dalam Hadis Riwayat Muslim di atas), siapalah kita "yang bukan maksum" ini untuk mempersoalkannya.

Sedihnya, masih ada sebilangan kita yang tidak mengerti  tuntutan bagi menuruti dan mencintai Sunnah. 

Dengan kata lain, lebih mendahulukan logik atau alasan akal berbanding menuruti Sunnah Rasul SAW.

Sekalipun perjalanan pulang ke kampung mungkin memakan masa 4-5 jam, dan secara "logiknya" tidaklah sehingga boleh menyebabkan kelaparan dan mengantuk serta memudaratkan pemanduan, tetapi suka saya tegaskan sekali lagi:

"Ia suatu sedekah yang telah disedekahkan oleh Allah kepada kamu. Oleh itu, terimalah sedekah Allah."

Malah, dalam perihal bersolat Qasar ini, Amdullah bin 'Umar r.a berkata:

"Aku pernah menemani Rasulullah SAW dalam perjalanannya dan baginda tidak pernah mengerjakan solat lebih dari 2 rakaat (bagi setiap solat). Demikian juga dengan Abu Bakar, 'Umar dan 'Usman r.anhum. (Hadis Riwayat Muslim, Kitab Solat Orang-Orang Yang Musafir, no. 689).

Menuruti Sunnah itu adalah lebih utama. Sebagai tanda kita ini umat yang cinta dan kasih kepada Muhammad SAW.

Selamat bermusafir, selamat dalam perjalanan!

No comments: