Tuesday, 12 August 2008

Pro dan Kontra - UiTM

Bertemu kembali,

Hari ini Utusan Malaysia ada menyiarkan perihal bantahan kira-kira 5000 mahasiswa UiTM berkenaan saranan Menteri Besar Selangor supaya UiTM dibuka kepada non-bumiputra. Nampak bersemangat semua mahasiswa yang sanggup berarak lebih 2km ke bangunan SSAAS.

Sebagai orang islam dan melayu, saya terpanggil untuk berkongsi pendapat dan apa yang tertulis di bawah ini merupakan pandangan peribadi saya sahaja.

Isu

Kita tinjau apa point Menteri Besar - untuk membolehkan UiTM bersaing di peringkat antarabangsa atau menjadi "World Class University", kriteria seperti jumlah pelajar asing / antarabangsa perlu diwujudkan.

Universiti awam (IPTA) lain termasuklah UTM sendiri telah lama dibuka kepada non-bumi dan international students dengan harapan pelajar tempatan akan bersaing secara sihat dan universiti menerima penarafan antarabangsa. Tetapi dalam hal ini, perlembagaan UiTM mungkin berbeza selari dengan dasar penubuhan awal ITM yang khusus membantu kaum Bumi atau Melayu dalam bidang pendidikan tinggi.

Kouta Non-Bumi

Kita lihat lagi ke belakang - kouta khas untuk non-bumi sebelum ini telah dibuka kepada MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan Matrikulasi (sebanyak 10%) dan mengikut pengalaman sendiri sebagai bekas pelajar MRSM, saya melihat tiada sebarang konflik 'hilang hak dan keistimewaan' yang timbul. Ini kerana jumlah 10% non-bumi yang terpilih ke MRSM adalah dikawal ketat dan terdiri daripada calon-calon yang terbaik sahaja (bukannya tangkap muat atas dasar kaum sahaja).

Kesan dari adanya 'kelibat' kawan-kawan Cina dan India di kalangan majoriti Melayu boleh saya katakan yang mereka ini yang perlu melakukan penyesuaian hidup, dan bukan kita. Apapun bagi pelajar melayu yang datang dari sekolah yang tiada kaum lain, situasi ini telah merubah suasana pembelajaran di sekolah; di mana pelajar melayu tidak lagi bersungguh-sungguh untuk bersaing sesama melayu, tetapi mengambil inspirasi untuk bersaing dengan Cina dan India + pelajar Sabah/Serawak. Kesan yang nampak ialah pencapaian MRSM telah diiktiraf sebagai antara yang terbaik di negara ini.

Kontra (yang negatif)

Sebagai orang melayu yang tinggal dan belajar di negara yang kini sedang menghadapi pelbagai cabaran (Politik, Ekonomi, Sosial etc), pastinya orang melayu merasakan kenyataaan oleh Menteri Besar itu sebagai usaha untuk menghakis hak orang melayu yang mana selama ini telah banyak hak mereka (Melayu) ini dikompromikan untuk bukan melayu.

Pelajar dan bekas pelajar UiTM pastinya menentang keras dan mengutuk usaha untuk membuka pintu kepada non-bumi untuk masuk ke UiTM (benteng Melayu terakhir di IPTA). Saya sebagai orang luar tidak berkelayakan untuk mengupas isu-isu dalaman yang berlaku di UiTM, tetapi kita boleh memahami 'konteks' isu tersebut apabila:

1. Bagaimana kemampuan untuk 'adaptasi' para pelajar diploma UiTM ketika menyambung Ijazah di universiti ramai Cina dan India (contoh, UPM dan UM). Adakah 'keselesaan' belajar di kalangan melayu sahaja seperti di UiTM dapat dirasai lagi?

2. Apabila tamat dari UiTM, adakah rasa bangga dengan ramainya orang Melayu di kalangan rakan sekelas dapat dikongsi untuk mendapatkan pekerjaan terutama di sektor industri yang kini banyak dikuasai/majikannya orang Cina dan orang luar?

3. Pemain industri yang rata-rata terdiri dari orang non-bumi (ini dapat dilihat dengan mata kasar kita sendiri) telah lama minda mereka diberitahu bahawa UiTM adalah untuk graduan Melayu. Kita perlu ingat bahawa perjuangan sebenar ialah apabila keluar untuk mendapatkan kerja.

4. Ijazah dan ilmu tidak akan memberi apa-apa manfaat jika menjadi 'graduan menganggur'. Jika terlalu lama dan menebal sudah rasa bangga dengan bangsa, mampukah kita mengikut telunjuk majikan yang non-bumi nanti? Takkan kita rela tidak bekerja jika tidak dengan taukeh Melayu juga? Ini kena rasional.

Pro (yang positif)

Pertamanya, saya tiada hak untuk menyentuh keputusan dan dasar yang ditetapkan kerajaan. Tetapi di dalam menghadapi cabaran globalisasi ilmu dan kepakaran, Melayu mahu atau tidak perlu membuka mata dan persiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran untuk bersaing!

Jangan nanti kita salahkan pula pentadbir universiti dan kerajaan sebab tidak menjadikan orang melayu bangsa yang kuat dan mampu bersaing (hanya menjadi jaguh sesama kaum sahaja). Masa itu dah terlambat. Justeru, cadangan:

1. JIKA buat masa ini kerajaan memikirkan tidak perlu isu kouta ini ditimbulkan, KPT perlu segera mengeluarkan kenyataan dengan segera supaya isu ini tidak berlarutan.

2. JIKA kerajaan merasakan perlunya kouta UiTM dibuka kepada non-bumi, pastikan ianya diperuntukkan dalam jumlah yang kecil (seperti kes MRSM dan Matrikulasi) supaya tidak membangkitkan masalah pengelompokkan pelajar (polarisasi) bumi-non bumi.

3. Seperti kes MRSM, kerajaan dan pentadbir universiti perlu secara tegas memastikan wujudnya kawalan terhadap kouta! Kalau kouta yang dibuka adalah kecil dan daripada itu hanya untuk mereka yang terbaik sahaja, tidak perlu pelajar melayu berasa risau atau tergugat.

Kesimpulan

Saya bukan menyokong non-bumi, tetapi saya mahu orang Melayu bersiap-sedia untuk menghadapi cabaran masa depan (ini hasil pengalaman hidup di UK).

Telah lama dipendam dalam hati dan pemikiran saya bahawa perkara pokok yang paling penting tetapi tidak mahasiswa/pihak berkenaan bangkitkan iaitu HAK SETIAP ANAK MELAYU UNTUK DIBERI BIASISWA, DAN BUKANNYA PINJAMAN SEPERTI PTPTN (sepertimana amalan semasa!). Itu baru kita katakan HAL KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU yang wajar kita pertahankan. Peluang untuk belajar/menuntut ilmu tidak boleh kita nafikan kepada orang lain kerana ilmu Allah adalah untuk semua.

Tambahan pula, dengan adanya biasiswa ia dapat membantu keluarga Melayu miskin di luar bandar (ramai sebenarnya) yang hendak menghantar anak pintar ini ke menara gading. Ada kes anak pintar ini terpaksa berkorban dengan menolak tawaran belajar di IPT kerana tahu keluarga tidak mampu menyediakan kos awal belajar, pastu sampai kerja 10 tahun masih tak habis bayar hutang PTPTN (macam saya).

Situasi ini telah lama nampak di UK, di mana orang Biritish diberi hak dan keistimewaan terhadap kos belajar dan peruntukan biasiswa, namun di masa yang sama peluang untuk orang luar untuk belajar (termasuklah saya di sini) tidak diabaikan, cuma kenalah bayar lebih dari kadar local students. Tiada masalah yang timbul, UK masih negara maju dan kehadiran pelajar asing tidak menggugat peluang pelajar local, malah ranking dan pencapaian universitinya telah meningkat.

Apa yang saya lontarkan ini tidak bertujuan memburukkan kaum sendiri atau mengkritik kelemahan kerajaan, dan harapan kepada yang membaca buatlah penilaian yang rasional.

Wassalam

No comments: