Sunday 24 August 2008

APA NAK GADUH-GADUH

Kisah yang saya ingin paparkan adalah rekaan semata-mata. Tiada watak sebenar digunakan oleh saya kerana ingin menjimatkan kos dan tiada lagu tema akan didendangkan. Kisah ini bermula....

Di sebuah kampung di pinggir sebuah kota bernama Kampung Kaki. Kampung Kaki menurut riwayat telah wujud sejak beberapa tahun yang lampau. Di awal penubuhannya, penghuni kampung ini hidup aman damai dan dalam suasana berharmoni.

Masa yang beredar begitu pantas turut menuntut perubahan, dan Kampung Kaki tidaklah terkecuali daripada proses ini. Pucuk pimpinan tertinggi kampung mula diambil alih kelompok baru dan penghulu lama Kampung Kaki diberi persaraan dan diganti pula penghulu baru bernama Bisu.

Menurut cerita orang-orang tua di sini, Bisu adalah seorang yang baik, tetapi tidak cukup baik untuk menjadi pemimpin yang berkaliber. Buktinya, kebelakangan ini tiada sebarang aktiviti tahunan dan yang menarik direncana dan dicetuskan penghulu. Sudahnya, segala perancangan dan perencanaan aktiviti kampung berpindah kepada sebuah jawatankuasa induk kampung yang diberi nama JKKGBHS (Jawatankuasa Kampung Kaki Gaduh -pastu- Buat Hal Sendiri).

Tinggalkan sementara hal kampung.

Setahun yang lalu, Malas dan keluarga telah berhijrah dari bandar kelahirannya ke Kampung Kaki bagi mendalami ilmu persilatan daripada seorang pendekar terkenal kampung itu. Ilmu pendekar itu telah diakui mencapai tahap Prof. Emeritus di dalam dan luar negara.

Kehadiran Malas sekeluarga telah diterima dengan positif penduduk setempat dan tinggallah mereka aman damai di sebuah rumah kecil di pinggir Kampung Kaki itu. Semenjak tiba, kehidupan yang dilalui mereka begitu baik dan Malas berasa gembira kerana ilmu persilatannya kini meningkat melalui tunjuk ajar pendekar tersebut.

Di masa lapang, Malas dan isteri akan keluar berjalan di sekitar kampung dan berkenalan dengan penduduk lain. Mereka semua baik-baik orangya, mudah mesra dan tidak pula berkira di atas sesuatu pertolongan. Maka, semakin mesralah Malas dengan penduduk tempatan Kampung Kaki itu adanya.

"Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan dengan angin sejuk pula di tengah hari". Keharmonian Kampung Kaki yang dahulunya baik, kini mula menampakkan ribut dan kabut.

Keributan ini terbit dari perselisihan pendapat beberapa penduduk dan JKKGBHS mengenai penentuan hari mula menanam padi dan hari untuk menuai yang bakal tiba.

Memandangkan Malas dan keluarga merupakan anggota baru di kampung itu, tidak dia berkuasa nak campur tangan apatah lagi dengan JKKGBHS yang begitu berkuasa "mengumumkan keputusan" (sekali-sekala ada juga perbincangan) berkaitan halatuju kampung itu.

Biasalah, hidup bermasyarakat akan ada juga pasang-surutnya. Ada perkara hanya perlu dibincang secara tertutup, dan ada yang patut secara terbuka. Ada perlu campur tangan semua, ada yang cukup setakat diputus di peringkat yang pakar dan mahir. Kerana majoriti penduduk pasti akan mengikut "keputusan bersama" ini dengan lapang dada.

Malas sebenarnya bukan kali pertama berdepan situasi kelam-kelibut, kabut dan serabut ini. Objektif Malas adalah jelas untuk menuntut ilmu sampai selesai dan pulang semula ke tempat kelahirannya dengan segulung ijazah.

Tidak begitu berminat dia untuk campur tangan dengan masalah yang berlaku. Untuk berpindah adalah mustahil kerana Malas dalam apa jua situasi perlu menamatkan perguruannya. Apapun, jika perlu Malas akan menjarakkan diri dari terjerumus di dalam hal ini.

"Biarlah apa orang nak kata, pejam-celik aku dah 6 bulan kat sini. Pejam lagi dah jadi 1 tahun, pastu pejam lagi aku dah selamat habiskan perguruan di kampung ni dengan jayanya", bisik hatinya.

Bunyinya semacam Malas ni seorang yang pentingkan diri sendiri, namun sebelum terbakar sebab main api, lebih baik awal-awal lagi jangan simpan mancis. Tapi sebarang aktiviti selain dari penentuan hari menanam dan menuai itu, Malas tidak keberatan untuk terlibat, menyokong dan membantu aktiviti atau kegiatan yang mana patut.

Di zaman mudanya, Malas bukanlah seorang yang mesra pengguna. Oleh kerana sifat ini, beliau mempunyai rakan yang sedikit, namun bilangan yang sedikit ini cuba dipastikan beliau agar yang menjadi kawannya akan dijaga dengan hormat kerana baginya pilih kawan kerana kualiti, bukan kuantiti.

Akan tetapi, takdir Allah tiada siapa yang tahu. Jika keadaan semakin melarat dan berlarutan sehingga menimbulkan perpecahan di kalangan penduduk (harap dihindarkan dari terjadi!), Malas akan campur tangan dan memainkan peranan demi membantu mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan yang dikecapi bersama selama ini.

Pendapat telah dilontarkan, perbincangan hangat dan hingar-bingar, dan penyelesaian sebenarnya sudah di depan mata, tinggal kepada kebijaksanaan Tok Penghulu Bisu untuk membuat keputusan berpandukan penilaian berasaskan hujah-hujah dari kedua-dua JKKGBHS dan penduduk itu.

Ini kerana keputusan individu tidak boleh dipaksa untuk diterima majoriti, begitu juga keputusan (bukan pakar) oleh sekelompok AJK Kampung Kaki.

Harapan Malas nanti tiada orang yang akan "terkorban" dengan keputusan yang bakal dicapai. Peliharalah keharmonian sesama kita, berfikir dulu sebelum berhujah dan hormatilah pendapat orang lain kerana mereka juga berfungsi membentuk komuniti Kampung Kaki ini.

Tamat.......

AMARAN: Segala watak/gelaran dan isu merupakan rekaan semata-mata. Tiada kaitan secara jelas dengan apa jua kejadian atau peristiwa di dunia sebenar.

2 comments:

afidalina said...

ehem2.. ehehe.. paham2... dgr dgn mata hati kot.. yg penting, kita jaga akhlak sebagai seorang Muslim. it has been a great challenge for me so far..=D

Dr. Sepet said...

ehem2..rekaan jela..ehem2..tapi rasanya sume tu dah selesai dan alhamdulillah tiada perpecahan berlaku. itu yang penting.. same2lah kita jadi org baik kan?