Friday 20 May 2011

Inilah hasilnya selepas usaha kami...anda bakal terbeban

Sekadar nak menceriakan hujung minggu anda:

Kenaikan harga: Bersedialah hadapi hakikat baru ekonomi 

2011/05/21 - Sumber: SINI

KUALA LUMPUR: Seluruh rakyat Malaysia kini perlu menerima hakikat sebenar mengenai keadaan ekonomi global dan lebih berhemat dalam berbelanja serta lebih fokus dalam memulihara sumber berharga seperti tenaga elektrik dan air, di samping tidak terlalu mengharapkan subsidi.

Pendekatan ini amat penting dalam menghadapi kenaikan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan berikutan kenaikan harga minyak di pasaran global serta kekurangan bekalan makanan akibat perubahan iklim.

Dalam perbualan dengan Bernama, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar ekonomi mengalu-alukan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis ketika beliau menyeru rakyat Malaysia supaya mempersiapkan mental masing-masing untuk menghadapi kenaikan harga pelbagai produk berikutan kenaikan harga minyak dan penurunan jumlah bekalan makanan yang diakibatkan oleh perubahan iklim sejagat.

Dalam kenyataan itu, Muhyiddin juga menasihati rakyat supaya mengawal perbelanjaan masing-masing serta berusaha meningkat bekalan makanan sendiri.

"Jika ini dilakukan, orang ramai tidak akan terlalu merasai bebannya apabila negara menghadapi kenaikan kos dan inflasi kelak," katanya.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Datuk N Marimuthu berkata, dalam menghadapi hakikat baru ekonomi ini, orang ramai perlu diberi kefahaman mengenai perkara penting dalam kehidupan mereka seperti kuasa pasaran, sistem dan mekanisme penetapan harga serta penyusunan semula subsidi.

"Secara umumnya, sejak 50 tahun lalu, kita katakan kita mampu menangani segalanya...tapi, dalam tempoh tiga tahun lalu, ternyata, kita tidak berupaya untuk menangani semua perkara. Orang ramai perlu disedarkan bahawa kita tidak boleh melarikan diri daripada kesan kenaikan harga minyak dan perubahan iklim, yang kesemuanya merupakan fenomena global," katanya.

Marimuthu berkata, oleh kerana faktor luaran mempunyai pengaruh yang amat besar terhadap harga, maka orang ramai perlu memainkan peranan masing-masing dalam menghadapi keadaan yang amat mencabar pada masa akan datang.

Pada waktu yang sama, beliau meminta kerajaan supaya terus berusaha melindungi golongan miskin, lebih-lebih lagi golongan yang teramat miskin, daripada menerima kesan buruk akibat kenaikan harga untuk memastikan mereka tidak tersisih daripada arus utama pembangunan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman pula berkata, beliau menerima hakikat bahawa memang bukan mudah untuk mengubah mentaliti orang ramai, tetapi beliau berharap mereka akan kurang membeli barangan yang tidak begitu diperlukan agar mereka mempunyai lebih banyak wang untuk membeli barangan keperluan. - BERNAMA 

------------
Nota kaki:

- "kepimpinan melalui tauladan". Pemimpin perlu mendahulukan amalan kesederhanaan.

- jika di negara yang bukan Islam, seperti Jepun, para menteri kabinetnya terlebih dahulu akan memotong gaji mereka sehingga beberapa puluh% sebagai tanda untuk "sama-sama merasa perit" dengan rakyatnya.

(bacaan tambahan: PM Jepun enggan terima gaji sehingga krisis selesai)

- di UK, Jerman dan kebanyakkan negara maju yang lain, pemimpinnya akan bersesak setiap pagi di dalam coach LRT, MRT, monorel untuk ke tempat kerja, bersama-sama dengan golongan pekerja, bukannya berkereta besar diiringi Polis ke serata tempat. 

- Lord Mayor of Oxford sendiri kelihatan berbasikal meninjau bandarnya!

- dari satu sudut, tindakan bertanggungjawab para menteri dari negara yang bukan Melayu dan bukan Islam itu juga adalah tanda "menanggung kegagalan" mereka  mensejahterakan kehidupan rakyat akibat urustadbir ekonomi yang kurang berkesan.

- pemimpin bukan sekadar mengeluarkan gesaan agar rakyat perlu bersedia menanggung kesusahan (akibat tindakan dan keputusan yang dibuat oleh "tangan-tangan pemerintah"), tetapi merekalah yang perlu mendahulukan teladan yang baik bagi ikutan rakyat.

- maaf katalah, andai inilah jawapan para pemimpin kita, terutama setelah digerakkan ETP + MEB + NKRA + SRI + KPI + bla..bla..bla.. = rakyat hampir pasti terbeban, ianya adalah sesuatu yang malang.

- orang ramai (a.k.a pembayar cukai) tidak menyanggah realiti peningkatan harga komoditi makanan global, tetapi mereka mempersoalkan mekanisme yang digunapakai pihak pemerintah untuk menguruskan konflik dan bebanan ini.

No comments: