Tuesday 3 May 2011

KuLi: Melayu boleh bersatu

Ku Li yakin Melayu boleh bersatu
 

Oleh Nahar Tajri - Sumber

2011/05/03

Ahli Parlimen Gua Musang percaya perpaduan tercapai jika kedudukan tergugat

ALOR SETAR: Penyatuan secara menyeluruh orang Melayu yang kelihatan agak sukar berikutan perbezaan fahaman  politik ketika ini boleh berlaku jika ada isu besar yang menggugat kedudukan mereka, kata Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaliegh Hamzah.

Katanya, beliau yakin orang Melayu boleh bersatu tetapi mesti ada sebab serta isu yang sesuai dan ia tidak harus lahir atas dasar konflik dengan kaum lain, tetapi lebih kepada jati diri mereka sendiri. 
 
“Orang Melayu hari ini nampaknya macam tidak bersatu kerana masing-masing dengan pandangan dan fahaman mereka sendiri, namun jika ada isu yang menggugat kedudukan mereka, ia (penyatuan) akan berlaku. 
 
“Jika ini berlaku, barulah orang Melayu akan balik cari pemimpin mereka untuk berjuang. Sekarang mereka nampak macam tidak menghiraukan pemimpin,” katanya yang menyuarakan pandangan mengenai perlunya orang Melayu segera bersatu demi masa depan generasi akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Veteran UMNO Kedah yang bertemakan 'Memantapkan Perpaduan Melayu' di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Othman Aziz; Timbalan Pengerusi Veteran UMNO Kedah, Abdul Aziz Ahmad dan Setiausaha Veteran UMNO Kedah, Basharon Hanafiah.

Sementara itu, Othman berkata, UMNO negeri tidak pernah meminggirkan veteran parti itu kerana sedar jasa serta perjuangan mereka yang amat besar dalam arena politik negara sebelum ini.

Katanya, peranan veteran amat penting kepada parti kerana mereka adalah pejuang sejati yang sentiasa teguh dengan UMNO walau dalam apa jua keadaan.

Beliau berkata, mengikut perangkaan, pengundi berusia 60 tahun menguasai suku daripada keseluruhan 887,107 pengundi di negeri ini dan jumlah itu amat besar serta boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya.

“Daripada jumlah itu, 72 peratus atau 143,962 adalah Melayu dan ia menunjukkan peranan serta pengaruh veteran amat besar dan UMNO sentiasa menyedari hakikat itu.

“Oleh itu, saya berharap janganlah ada yang berasa jauh hati dan menganggap UMNO meminggirkan veteran kerana ia tidak betul. Jika ada apa-apa yang perlu datanglah berjumpa kami dan kita akan bantu mengikut kemampuan yang ada,” katanya

----------------
tiada nota kaki

No comments: