Berita Harian Online hari ini menerbitkan berita mengenai langkah kerajaan, melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mengurangkan (memberhentikan / menghapuskan) skim biasiswa atau tajaan kepada kira-kira 1,500 pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Sumber berita (sini) - "Pemberhentian biasiswa luar negara tanda universiti tempatan diiktiraf"
Mengapa pendidikan jadi sasaran?
Sumber berita (sini) - "Pemberhentian biasiswa luar negara tanda universiti tempatan diiktiraf"
Mengapa pendidikan jadi sasaran?
Seakan sudah tahu akan tibalah masanya, pabila sahaja kerajaan mengalami masalah kewangan, sektor pendidikan (terutama penyediaan biasiswa untuk beberapa kerat anak Melayu yang berbakatlah) akan menjadi mangsa kepada pelan 'perbelanjaan berhemah' ini.
Secara berperingkat juga, kerajaan yang dikatakan 'mendahulukan rakyat', akan merealisasikan penghapusah satu lagi 'hak istimewa orang Melayu' (iaitu menikmati biasiswa), dan kali ini bukan sahaja alasan bebanan kewangan digunakan, tetapi kerana 'telah terbukti' IPT tempatan kini telah terbukti amat-amatlah mampu untuk memenuhi keperluan para pelajar ini.
Untuk jangka panjang pula, langkah ini sebenarnya berita yang mengedihkan, bilamana semakin berkuranglah bakat-bakat Melayu (yang layak) lulusan luar negara.
Ini kerana jika kita ingin bersaing di atas 'lantai yang sama-rata' dengan rakan kaum lain (?), 'mereka' langsung tidak terjejas dengan langkah kerajaan kerana sekian lama mereka telah mampu menghantar anak-anak mereka belajar di tempat yang 'sepatutnya' di luar negara.
Malas saya nak ulas berkenaan prestij IPT kita. Cumanya, apakah kerajaan (KPT terutamanya) ada data dan fakta bagi menyokong 'pengiktirafan' ini?
Apakah ada universiti dari luar negara secara terbuka telah mengiktiraf IPT kita sebagai antara yang terbaik? (atau kita hanya 'syok sendiri' di dalam membuat pengiktirafan ini?)
Di mana Perkasa?
Pada saya, inilah antara isu yang paling signifikan bagi pertubuhan berkepentingan orang Melayu seperti Perkasa perjuangkan.
Lihatlah ia secara objektif berlandaskan semangat perlembagaan, bukan lagi melibatkan kepentingan politik mana-mana pihak semata.
Ia (isu ini) merupakan tanda aras kepada survival dan masa depan generasi muda yang berbakat dan berkelayakan untuk terus diberi peluang menikmati biasiswa ini.
Biarpun kerajaan masih membuka peluang bagi permohonan biasiswa ke universiti terkemuka seperti Oxford dan Cambridge, kita perlu juga realistik bahawa tidak semua kursus yang ditawarkan oleh universiti terkemuka ini yang terbaik.
Ini kerana banyak 'school' tertentu di universiti kurang ternama menduduki ranking lebih baik berbanding universiti-universiti elit terbabit.
Apakah Ibrahim Ali akan membuka mulut dan seterusnya memulakan suatu tindakan yang bermakna terhadap isu ini?
Jangan 'Gertak' saja, nanti lama-lama orang dah tak takut kena 'Gertak, malah sendiri kena 'Gelak' pula!
Arak dan rokok
Apakah setelah sekian lama biasiswa ini diberikan kepada mereka (anak-anak Melayu) yang layak, akhirnya kerajaan melihat usahanya ini sebagai sesuatu yang membebankan?
Saya tidak mengutuk graduan lulusan IPT tempatan, malah saya juga salah seorang daripadanya.
Namun, jika kita melihat daripada skop yang lebih luas, iaitu keupayaan memposisikan rakyat Malaysia di dalam syarikat atau konglomerat global, kelulusan 'oversea' tidak dapat tidak, menjadi salah satu kriteria yang dilihat semasa temuduga kerja.
Tidak perlu lihat jauh, GLC seperti Petronas juga dilihat menaruh minat yang lebih tinggi terhadap pelajar kita yang berkelulusan universiti luar, berbanding graduan tempatan.
Itu baru Petronas, GLC lain? Konglomerat global seperti Shell, Exxon-Mobil?
Sebenarnya ada lagi cara lain bagaimana untuk kerajaan 'merawat' sakit kewangan ini. Ada kaedah lain untuk menampung saku kewangan yang bocor ini.
Telah begitu ramai orang menulis bahawa perlunya kerajaan segera menangani ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan yang 'tidak perlu', projek yang membazir, menghapus rasuah dan salah tadbir wang rakyat dan sebagainya.
Saya hanya ingin menambah: agar kerajaan naikkan lagi cukai bagi arak dan rokok. Kalau boleh, naikkan hingga ke tahap yang paling maksimum.
Ini kerana selama ini pun apabila arak dan rokok dinaikkan cukainya, tiada orang pun yang boikot. Sekadar bising sebentar tu adalah. Lepas sebulan dua peminum tegar dan perokok tegar akan kembali dengan habit mereka.
Bukan ingin menggalakkan kerajaan menambah hasil daripada sumber tidak baik ini, setidak-tidaknya, apabila cukai arak dan rokok naik 'gila-gila' masyarakat Malaysia akan berhenti minum dan tidak merokok - kembali kepada gaya hidup sihat.
Jika tidak mendatangkan kesedaran juga, pendapatan yang berlipat kali ganda hasil kenaikan cukai ini, sekurang-kurangnya mampu menyelamatkan sektor pendidikan (dan kesihatan) daripada dimangsakan setiap kali kantung kerajaan 'bocor'.
Sekian.
1 comment:
saya suka post ini.
say pun penerima JPA dan saya masih rasa menuntut di tempat yang lebih maju dari lingkaran selesa diri sendiri memberi extra pengalaman.
Post a Comment