Tuesday 6 April 2010

Jika benar: Dr Asri dan parti politik baru

Sumber: Asri mahu tubuhkan parti politik?

Apo nak dikato....

Belumpun habis seronok bersembang (kosong) mengenai cadangan penubuhan Parkasa UK baru-baru ini, kini timbul pula perkhabaran sensasi daripada Harakahdaily (rujuk sumber) berkenaan hasrat bekas mufti negeri Perlis, Dr. Asri (a.k.a MAZA) menubuhkan parti politiknya sendiri bagi membolehkan beliau dan rakan-rakannya menyertai pilihanraya.

Mengarus perdanakan Wahabi

Sama ada sedar atau tidak, sama ada setuju atau tidak, Asri umumnya dilabelkan sebagai 'Ustaz Wahabi' - lihat ulasan oleh pihak akhbar Utusan pada sumber yang dinyatakan.

Justeru, penubuhan parti politik (jika tepat dengan apa yang telah dilaporkan), ianya merupakan suatu usaha berani dan terbuka ke arah 'mengarus perdanakan' fahaman Wahabi di Malaysia.

Ini kerana pastinya ahli parti dan calon-calon yang bakal bertanding (jika mereka menyertai pilihanraya) kelak, adalah dari kalangan pengikut fahaman Wahabi juga.

Tindakan membawa Dr Asri dan para pengikutnya kepada arus perdana boleh juga digambarkan sebagai tindakan dakwah secara lebih total, memandangkan kaedah sebelum ini seperti kuliah agama di premis kediaman, sering disulitkan dengan tindakan Pejabat Agama Islam negeri dengan menahan mereka-mereka ini atas alasan ketiadaan 'lesen' (tauliah).

Alasan 'tiada tauliah' merupakan cara yang 'sah' di sisi undang-undang untuk menghalang caramah dan kuliah mereka. Namun, pernahkan kita dengar apa yang dikuliah/diceramahkan itu haram? Tidak.

Biarpun ada usaha (dengar kata hingga 7 kali) dibuat bagi mengharamkan Wahabi, ianya tidak berjaya - kerana tiada sebab yang kuat boleh dijadikan asas mengharamkannya.

Ini kerana Wahabi berpegang kepada hujjah yang bersumberkan Qur'an dan Hadith - cuma menolak pendapat 'orang' berkenaan sesuatu isu, jika isu itu jelas telah diterangkan pada 2 sumber tersebut.

Justeru, adalah besar harapan setelah mendapat 'lesen' melalui parti politik yang berdaftar, penerangan dan kuliah agama akan dapat dijalankan tanpa ada lagi sebarang gangguan daripada Jabatan Agama Islam dan lain-lain agensi yang berkaitan.

Ketuk kalau degil sangat

Setelah banyak teguran yang dibuat MAZA terhadap badan yang menjaga agama Islam berakhir dengan 'mencangkul angin', atau 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri', penubuhan parti sendiri boleh jadi jalan paling cocok untuk "menegur" pihak-pihak yang sukar ditegur sebelum ini - rasa sayalah.

Jika dahulunya banyak kerenah dan birokrasi selain tertib perlu dijaga (beliau sendiri kakitangan kerajaan di USM), jika direalisasikan penubuhan parti ini, dapatlah suara beliau didengar dengan lebih lantang dan harapnya mengetuk pintu-pintu hati dan gegendang telinga pemimpin-pemimpin atasan yang masih terlena.

Pecah undi Melayu, pecah undi Islam?

Buat masa ini masih sukar untuk meramalkan sejauh mana impak yang bakal dibawa oleh 'parti baru' ini (jika menjadi kenyataan) terhadap undi orang Melayu dan orang Islam.

Ini kerana masyarakat masih menunggu-munggu untuk melihat bentuk, corak dan aspirasi yang bakal diketengahkan parti baru ini.

Namun, jika ianya menjadi kenyataan (tertubuh), kelak akan berlaku pemecahan undi di kalangan kumpulan pengundi Melayu dan Islam.

Tidak cukup dengan pemecahan undi orang Melayu dan Islam kepada UMNO dan PAS secara tradisi sebelum ini, kini (bakal) wujud 'tawaran' baru oleh parti yang baru ini.

Mungkin parti-parti besar yang ahlinya berjuta (ahli tidak semestinya mendaftar sebagai pengundi) seperti UMNO dan PAS tidaklah begitu terjejas atau mengalami kejutan budaya, namun 'cabarannya tetap ada'.

Pro mana?

Persoalan ini juga menarik perhatian saya.

Adakah (nanti) parti Asri ini akan pro/condong kepada mana-mana pihak secara khusus? (seperti Perkasa?...hmmm)

Atau sanggup 'bersendirian' di dalam membawa dan memperjuangkan ideologi mereka?

Lihat begini: Jika Perkasa ditubuhkan untuk 'mengetuk' kerajaan dalam hal berkaitan hak-hak orang Melayu, apakah parti Asri ini kelak akan 'mengetuk' kerajaan juga, tetapi dalam hal berkaitan agama Islam pula?

Entah, saya tiada jawapannya kerana apa yang dilaporkan (parti baru) itu masih belum direalisasikan. Mungkin (penubuhan itu) jadi, mungkin juga bakal menjadi sebahagian daripada sejarah yang tidak menjadi....

Kita lihat dulu, dan jangan lupa, rajin-rajinlah membaca.

1 comment:

dranuarjb said...

Salam ukhwah untuk Dr K Hisham,
Gembira melayari blog dr sepet menulis - Banyak information membuka minda. Well done..masih di UK? Saya doakan semuga berjaya dan sehat walafiat bersama keluarga.