Friday 19 March 2010

Politik Sarkas Malaysia: Ahli Parlimen dah jadi kera kena belacan

Kamikaze time!

Akhirnya Zahrain buka cerita dalam kelambu PKR. Dan gelanggang pembuka bicara yang beliau pilih pula bukanlah calang-calang, sidang parlimen (rujuk laporan Buletin Utama di atas).

Kehangatan sidang parlimen kali ini memaparkan kelainan di mana bukannya ahli-ahli YB BN yang angkat punggung, tetapi ketua pembangkang, Anwar Ibrahim sendiri yang keluar dewan.

Pada saya, inilah tindakan kamikaze daripada Zahrain, yang mungkin juga serangan terulung dan terakhir, (untuk menamatkan karier politik beliau secara bergaya?).

Saya sebenarnya berfikir, apakah faktor yang membuatkan Zahrain begitu berani sehingga yakin membuat pendedahan terbuka ini? Iyelah, bukan calang-calang tahap kesulitan maklumat yang telah beliau dedahkan.

Bukan sahaja telah 'menelanjangkan' pelan 16 September rencana Anwar yang telah gagal, malah secara terperinci beliau turut menamakan 8 orang Ahli Parlimen yang bakal berhijrah ke kem PR, bagi membolehkan kerajaan baru ditubuhkan, seterusnya mengambilalih Putrajaya.

Tambah hangat lagi, beliau turut mengaitkan peranan orang penting dalam angkatan tentera dan institusi raja sendiri di dalam proses penubuhan 'kerajaan baru' (yang tidak jadi kenyataan) tersebut.

Segalanya tambah buntu buat Zahrain. Saya misalkan situasi beliau kini sebagai:

- tidak boleh berpatah balik: buruk padah kerana para pengundi/penyokong yang bersimpati dengan PKR pasti akan 'melumatkan' Zahrain cukup-cukup.

- ada kumpulan 'dinasour' menunggu beliau di hadapan: bukan sahaja akan berdepan dengan serangan balas daripada Anwar dan PKR (dan PR), malah beliau telah 'mencipta musuh' dengan 8 AP yang beliau dedahkan (termasuk AP dari BN sendiri). Malah, perkhabaran terbaru (baca sini) (jawaban KuLi - sini) dilihat telah menambah kecaman terhadap Zahrain

- ini paling buruk: pihak Yang Dipertuan Agong dan Angkatan Tentera Malaysia yang beliau kaitkan dengan projek 16 Sept. pastinya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Zahrain ini.

Apapun, seperti kata pepatah "berani buat, berani tanggung". Zahrian pastinya sedar betapa dalamnya lautan yang beliau duga. Malah, beliau pastinya bersedia dilambung ombak kerana rumahnya kini di tepi pantai.

Pada saya, beliau pastinya mempunyai 'peluru' @ bukti yang cukup padu untuk mempertahankan dirinya dan di masa yang sama digunakan untuk menembak @ menyerang balas lawannya.

Sekarang ini, gelanggang pertarungan telahpun dibuka, tunggulah pula serangan balas daripada Anwar dan PKR. Sementara itu, rakyat/pengundi, AP BN, AP PR dan para pimpinan negara pastinya memerhatikan gelagat mereka-mereka ini dengan penuh minat dan sinis.

Orang Melayu memang mempunyai tradisi panjang dalam hal bergaduh sesama Melayu ni. Nak kata Melayu makin bergaduh, makin kuat pun tidak juga. Yang nampak, Orang Bukan Melayu tambah seronok dan makin nampak peluang-peluang meraih untung tu adalah.

Apapun, jika ingin dibandingkan kesan daripada isu ini di antara Zahrain dan Anwar, rasa saya kedua-duanya cedera, tetapi Anwarlah yang lebih parah.

Apabila orang kecil dedah pekung orang besar, itu lebih besar kesannya berbanding apabila orang besar dedah pekung orang kecil, kan?

Peluang BN tambah cerah?

Ini satu lagi elemen yang secara automatik akan berkait rentetan daripada perkembangan yang sedang berlaku.

Peluang BN boleh dilihat dari 2 aspek:

- dapatkah UMNO-BN menjadi bertambah kuat, dengan sokongan YB dan rakyat terbanyak?

- bertambah cerahkah peluang UMNO-BN untuk kembali berkuasa dengan majoriti 2/3 pada PRU ke-13 kelak?

Lain-lain sebab, pada saya mungkin boleh diletakkan di bawah dua keutamaan ini.

Adalah sukar, secara objektif, mengukur sejauh mana isu ini mampu memulihkan imej dan meningkatkan sokongan rakyat kepada UMNO-BN.

PKR terutamanya, pasti akan segera melaksanakan siri ceramah dan penerangan ke seluruh negara bagi menjawab dan merungkai isu ini.

Mungkin dengan tindakan Zahrain untuk 'mengantoikan' PKR ini nampak boleh berjaya menggoyahkan pemikiran rakyat terutama golongan pengundi berkecuali.

Namun, elemen seperti kemungkinan wujudnya 'sogokan' bagi mendorong Zahrain bertindak melakukan pendedahan ini secara terbuka, tidak dapat tidak, akan diketengahkan di dalam jawapan balas pimpinan PKR kelak.

Akhirnya, di sebalik serangan AP Bebas terhadap PKR, peluru yang sama mungkin juga turut terpesong kepada UMNO-BN dengan dakwaan 'pemain di sebalik tabir', 'sogokan' dan sebagainya.

Pendirian PAS

Boleh jadi panjang jika saya betul-betul ingin ulas berkenaan tajuk ini.

Jujurnya, apa yang dihadapi PKR, DAP mahupun UMNO* tidaklah menimbulkan kerisauan dan menjadi keutamaan kepada saya.

(pendapat saya, jika terasa benar-benar ingin memperjuangkan hak Melayu 'menurut perlembagaan', boleh saja mendaftar sebagai ahli PERKASA atau Majlis Permuafakatan Melayu atau bermacam lagi persatuan, yang dilihat lebih vokal berbanding UMNO - yang dilihat terikat dengan persefahaman rakan bukan Melayu di dalam BN)

Bagi saya, ini kerana apa yang ditawarkan PAS adalah lebih menarik (mungkin realistik, atau mungkin juga tidak). Bukan kerana saya ahli PAS (saya bukan orang PAS), tetapi sekadar seorang yang minat untuk "ambil tahu" beberapa perkara berkaitan politik tanah air, dari jauh/luar Malaysia.

Saya mempunyai dua persepsi terhadap PAS iaitu: 1) ketika itu PAS masih dicop sebagai Parti Orang Kampung, Parti Cikgu, Parti Lebai, namun banyak usaha dakwah dilakukan; dan 2) setelah PAS meneroka era baru dalam berpolitik, dengan banyak ceramah politik dilakukan.

Ringkasnya, PAS sebelum moden dan PAS moden.

Ada kalanya saya bertanya sendiri: apa perlunya PAS mentadbir Malaysia? Mampukah PAS melaksanakan sistem pemerintahan Islam (dan undang-undang syariah), menutup kasino, menutup kilang arak, pusat hiburan (berlesen atau tidak), rumah urut, kedai nombor ekor, adil dalam mengagihkan hak golongan miskin dan bukan Islam, etc.

Tangguh dahulu - Ada masa saya akan terbitkan artikel yang berasingan.

Implikasinya...

Bukan kecil implikasi daripada tindakan Zahrain ini, yang saya lihat bukan sahaja telah meletakkan karier politik beliau di hujung tanduk (dinasour), tetapi tempiasnya turut mencipta kerosakan imej buat 'rakan-rakan YB Bebas' yang bersama beliau di Parlimen.

Iyelah, sudahlah mereka-mereka yang bebas ini 'bergadai nyawa' keluar PKR (mujurlah Hj Tempirai tak (belum) terkena bala orang buat solat hajat), kini 'keikhlasan' mereka menyokong BN dicalarkan oleh tindakan si Zahrain - kerana turut 'menelanjangkan identiti' AP BN sendiri.

Nama-nama besar, seperti 'Bang Bung' dan orang lama serta berpengaruh seperti KuLi, Abd Ghapur Salleh, Anifah Aman, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan beberapa lagi pastinya 'terasa hati' dengan tindakan Zahrain ini - sebanyak sedikit.

Begitulah al-kisahnya...

No comments: