Friday 26 March 2010

Masanya telah tiba bagi PKR: PRK Hulu Selangor

Di sebalik polimek berterusan (di dalam PKR mahupun pihak luar terhadap PKR) kebelakangan ini, PRK Hulu Selangor telah muncul sebagai medan terbaik buat semua pihak (rakyat, pengundi dan pemimpin kerajaan serta pembangkang) menilai dan mencongak kemampuan PKR khasnya dan PR keseluruhannya sama ada (mereka telah berjaya) bangkit dan seterusnya pulih daripada 'kecederaan' yang dialami.

Atau ia (PRK ini) mungkin boleh saja bertukar menjadi medan untuk para pengundi 'menghukum' (dalam erti kata yang lebih sopan, menegur) PKR dan pimpinannya di atas kecuaian menguruskan parti dan beberapa pemimpin dan Ahli Yang Berhormat - dengan memberi undi dan memenangkan calon lawan.

Dalam iklim politik Malaysia serba menarik, lucu dan kelakar hari ini, tiada apa yang mustahil boleh berlaku.

Tiada pihak yang boleh mendabik dada menyatakan mereka pasti menang. Rekod lampau menunjukkan keputusan yang bercampur-campur.

Ada kawasan yang sebelumnya dimenangi BN akhirnya dirampas PR, dan ada kawasan PR kembali dirampas oleh BN. Kung-kali-kung!

Keluar mengundi

Saya tidaklah begitu ghairah untuk meramal, mencadang mahupun memetik analisa bloggers lain mengenai siapakah calon yang bakal diketengahkan kedua-dua pihak.

PKR pastinya telah banyak 'makan garam' di dalam hal-hal berkenaan pemilihan calon ini.

Cumanya, mampukah Anwar dan PKR 'menjamin' calon mereka bagi kerusi Hulu Selangor ini bukanlah Hj Tempirai The-II? Ini yang menjadi persoalan nombor satu di benak para pengundi sekarang.

Yang menarik minat saya (apa yang saya nak perhatikan) adalah peratusan (%) yang akan keluar mengundi kelak.

- adakah politik caca-merba sejak kebelakangan ini mempengaruhi 'mood' / minat para pengundi?

- adakah % keluar mengundi akan jatuh bagi PRK ini? Dan jika ianya berlaku, apakah sebab yang mungkin?

- mungkinkah wujud tanggapan "tidak mahu BN berkuasa, tetapi tidak ingin PKR menang?" pada PRK ini?

Bersamalah kita menelitinya.

No comments: