Tuesday, 2 March 2010

Apa kena dengan PKR ni?

Keluar parti

Sejak dua menjak ini, kelihatan awam mendung mula berarak melitupi suasana cerah dan aman di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Selepas kes liwat D.S. Anwar secara rasminya dibawa untuk perbicaraan di mahkamah, satu demi masalah timbul dalam PKR.

Paling ketara adalah tindakan keluar parti oleh ADUN dan AP mereka.

Biasa kita dengar apabila sahaja seseorang pemimpin, tidak kira ADUN, AP mahupun orang tiada berjawatan keluar parti, dua (2) pendapat akan bergema:

1- hilang kepercayaan terhadap pimpinan dan pengurusan parti (biasanya dihujahkan oleh si polan yang keluar parti).

2- sebahagian proses untuk membersihkan parti dari kudis-kudis dan daki mati (biasanya dihujahkan oleh pimpinan parti yang terbabit).

Inilah ayat-ayat 'standard' yang diutarakan kepada para penyokong khasnya dan masyarakat seperti saya ini umumnya.

(selain ayat seperti - ini tindakan orang yang kecewa, atau tindakan kerana gagal mendapat projek, gagal menjadi CEO, etc).

Tidak kurang berhijrah di atas dasar mempertahankan 'prinsip'. Prinsip yang sama dipertahan ketika si polan berhijrah dari UMNO ke PKR, dan kemudian dari PKR kembali semula kepada UMNO.

Menjadi yang bebas?

Saya pernah menulis sebelum ini berkaitan 'kebebasan seorang YB Bebas', yang pada hemat saya sebenarnya mereka ini tidaklah bebas.

Tiada orang politik yang ingin senang-senang keluar dari 'domain' (kedudukan dalam parti), menjadi YB bebas, yang belum tentu dapat menyumbang secara berkesan kepada para pengundi di kawasan yang mereka wakili.

Biarpun ada yang berhujah bahawa mereka boleh menjadi ADUN bebas kerana pengundi bukan memilih parti, tetapi memilih calon. Timbul pula hujah balas dimana, siapa yang menangkan calon itu? Ini kerana kemenangan atau kejayaan seseorang calon yang bertanding atas tiket sesebuah parti politik itu banyak bergantung kepada gerak kerja dan jentera pilihanraya parti tersebut.

Makanya, kejayaan calon bukanlah hak mutlak mereka, melainkan hasil usaha bersepadu jentera parti dan calon yang dipilih untuk bertanding mewakili parti.

Dan kini mereka keluar untuk menjadi wakil bebas. Adakah setelah diperbincangkan (jika tidak dengan pimpinan parti, adakah setidak-tidaknya mereka ini mengambilkira pengorbanan jentera kempen semasa pilihanraya?)

Menerima 'bekas' orang

Biarpun wujud kecenderungan dikalangan pemimpin PR yang keluar parti untuk kembali kepada BN (UMNO khususnya), atau setidaknya menjadi YB yang pro-BN, fenomena ini bukanlah sesuatu yang diterima bulat-bulat oleh UMNO.

Biarpun kembalinya mereka (bekas pemimpin PR) ke pangkuan UMNO sedikit-sebanyak memberikan kredit buat UMNO melalui kenyataan akhbar yang positif dan 'roadshow' tertentu, kesan kepada pemimpin sedia ada dalam parti wajar diambilkira.

Adalah sukar untuk membaca pemikiran orang. Ianya begitu subjektif. Adakah niat mereka benar-benar ikhlas untuk membantu bangsa Melayu, mendaulatkan agama Islam dan bersama memajukan negara?

Jarang sekali kita dengar komen dari 'orang dalam UMNO' berkenaan mereka yang 'bekas' orang ini, melainkan komen daripada pimpinan PR sendiri.

Ini kerana jika pemimpin PKR sendiri melabelkan mereka yang keluar ini sebagai membuang kudis / penyakit, apakah UMNO pula harus bergembira menerima 'penyakit' ini? Bukankah cukup dengan segala macam ragam pemimpin yang dah ada dalam parti?

Mungkin ianya suatu strategi/senjata politik. Yelah, selagi strategi/senjata tidak makan tuan...

Asas politik

Tidak dapat tidak, perlu diakui bahawa asas pembentukan parti siasah yang awal adalah berasaskan kaum (racial-based). UMNO dengan Melayunya, MCA untuk orang Cina, MIC dengan kaum Indianya dan banyak lagi contoh.

Selama lebih 50 tahun kita terdidik dengan metod ini. Biarpun muncul parti yang cuba meluaskan prinsip demokrasi di kalangan masyarakat majmuk seperti PKR, PAS, DAP, PPP, GERAKAN, PCM dan banyak lagi, hakikatnya, keterbukaan dan kesediaan masyarakat Malaysia ke arah parti berbilang kaum masih belum di tahap yang memuaskan.

Parti seperti Gerakan masih dilabel sebagai pro Cina, PPP pula dimonopoli India dan sebagainya.

Penubuhan PKR pada saya adalah percubaan yang baik ke arah menyatupadukan para pemimpin dan pengundi dari pelbagai kaum dan latar belakang.

Tambahan pula 'parti setahun jagung' seperti PKR terus menerima sokongan yang tinggi daripada para pengundi pada PRU-12 yang lalu, menjadikan kedudukan mereka dalam PR adalah signifikan.

Sokongan para pengundi berbilang kaum kepada PKR saya kira adalah baik. Namun kini, apakah yang tidak kena dengan para pemimpin PKR ini?

Masalah rumahtangga

Adakah pemimpin PKR yang ada masih ingin menafikan wujudnya masalah/koordinasi dalaman parti kepada masyarakat umum?

Contoh saya begini:

Dalam satu keluarga ni, ada seorang anak yang nakal, degil (memang bermasalah). Hubungan si anak memang tidak baik dengan si ayah. Si anak mintak itu-ini, si ayah tak nak bagi. Akhir sekali si anak ambil keputusan untuk lari dari rumah. Lari dan kemudian menumpang pula di rumah jiran yang memang musuh/menjadi 'rakan gaduh' si ayah.

Adakah si ayah boleh kata yang dia tidak langsung kisah si anak lari? Lagi awal dia lari, lagi bagus sebab aman sikit rumah ni. Atau setidak-tidaknya cuba mengenalpasti masalah di sebalik semua yang berlaku? Agar anak-anak yang lain tidak terpengaruh dan terjejas moral mereka.

Keluarga-keluarga yang lain di sekitar rumah si ayah (jiran yang baik atau jiran tidak baik) pastinya sedang melihat dan menilai sama ada si ayah itu 'ayah yang baik' atau 'ayah yang tidak baik', atau juga keluarga itu keluarga yang baik atau yang sedang porak-peranda?

Sebab pengundi atau peribadi?

Pokoknya, fenomena keluar-masuk parti bukanlah sesuatu yang sihat. Ini kerana si polan yang keluar parti bukanlah disebabkan para pengundi yang suruh mereka keluar, tetapi di atas dasar 'mempertahankan prinsip' sendiri.

Saya bercakap bukan sebab ianya melibatkan PKR semata, malah sama juga halnya jika berlaku di kem BN-UMNO.

Saya risau jika keluar-masuk ini berterusan dan tidak dibendung, menjelang PRU-13 kelak, janganlah kita hairan jika peratusan yang keluar mengundi hanya sekitar 30% hingga 40% sahaja.

Ini kerana akan tiba waktu di mana para pengundi, penyokong dan orang ramai menjadi semakin muak dan bosan dengan telatah dan gelagat di kalangan Yang Berhormat, yang seperti tidak menghor pilihan mereka (pengundi/rakyat) pada PRU yang lepas.

Sekian.

No comments: