Jumpa kereta
"Hello, saya Sarjan xxxxx dari Balai Polis Sungai Way. Kereta anda telah dijumpai, boleh hadir ke balai?" - begitulah lebih kurang bunyinya panggilan telefon yang diterima orang rumah, sewaktu kepulangan singkat kami ke tanah air 3 minggu lepas.
Setelah hampir sebulan dicuri, rezeki dan jodoh kami dengan Toyota Rush itu masih panjang (insyaAllah), berjaya diambil semula pihak polis dari dalam kontena di Pulau Indah, Pelabuhan Klang, bersama-sama 98 buah kereta curi lain, yang sedang bersedia untuk dimuat ke dalam kapal yang akan belayar ke Dubai.
Sebaik tiba di balai, berbaris lebih kurang 9 buah kereta yang dilapor hilang di Balai Sungai Way (Police Report Sungai Way).
Sebuah Honda CRV, 7 Honda City dan sebuah Toyota tidak ber'hut' di sudut paling hujung - macam kenal je kereta ni!!
Operasi yang dilakukan oleh D4 dan Polis Selangor telah berjaya menumpaskan sindiket "Black Water" melalui rampasan sejumlah 98 buah kenderaan dan tertangkapnya 4 penjenayah (berbangsa Cina) di sebuah gudang di Klang.
Menurut pegawai Polis yang saya dok bersembang itu, kesemua kontena yang mengandungi kereta curi, sama ada yang telah belayar, mahupun yang berjaya dirampas kembali semasa operasi tempoh hari, telah diisytihar sebagai perabot.
Sekalipun operasi yang dilancarkan (sebagaimana dilapor akhbar) dianggap berjaya kerana sejumlah besar kereta curi berjaya dirampas, selain melibatkan tangkapan, kisah mengenai 180 buah kontena yang telah "selamat" ke Dubai itu masih belum dapat dipastikan.
nota: 180 kontena x 3 kereta/kontena = 540 buah kereta.
Tambah pegawai berkenaan juga, kontena yang transit ke Dubai kemudian akan meneruskan perjalanannya ke Sudan di mana di sana ianya akan dijual (ada yang kata hanya sekitar USD5,000/kereta).
nota: bayangkan harga Honda City "curi" hanya berharga USD 5,000 di Sudan. Pemilik di Malaysia pula beli dan bayar berapa setiap bulan?
Baik hilang terus
Ada orang berkata pada saya, kalau kereta hilang, baik hilang terus. Senang nak claim insuran dan beli kereta baru.
Tapi kalau jodoh masih panjang, kenalah terima hakikat.
Inilah kali pertama saya berurusan di Balai Polis dan bukan mudah proses untuk "mengeluarkan" kereta itu dari balai. Ini kerana ianya "kes curi yang melibatkan tangkapan".
Justeru, pengeluaran kenderaan curi perlu diusulkan melalui bon mahkamah dengan syarat-syarat yang ketat, dan sebagai "barang bukti", ianya tertakluk kepada perintah mahkamah iaitu bila-bila sahaja ianya diperlukan untuk dibawa ke mahkamah sebagai barang bukti kes apabila penjenayah itu dibicarakan kelak perlu dituruti si pemilik.
Sayangnya, 4 orang yang ditangkap itu hanyalah "pemandu" yang mengambil kereta curi itu di 1 tempat untuk dibawa ke gudang di Klang, manakala si pencuri yang "pecah kereta" di parking LRT dan sebagainya, masih belum dapat ditangkap.
nota: hasil risikan pihak Polis, dianggarkan 8-10 buah kereta curi akan dipandu masuk ke gudang setiap hari. Dengan jumlah ini, saya pasti tangan si pencuri sudah "arif" dengan sistem penggera dan immobilizer kereta!
Setelah ke mahkamah, menandatangani dokumen tertentu dan bon berjaya diperoleh, pihak Balai kemudian akan keluarkan satu surat untuk membenarkan kereta terbabit dikeluar untuk dihantar ke bengkel.
Berbanding dengan kenderaan lain yang tersadai di balai, kereta kami-lah yang paling sedih. Hut depan dicabut, begitu juga tempat tayar spare dan keduanya disumbat ke dalam but belakang.
nota: enjin terdedah dengan penutup minyak brek hilang + masuk air hujan, sensor-cam VTT-i patah, wayar immobilizer dipotong, dan bateri, yang kemudiannya "hilang" semasa visit ke-2 ke balai - siapa rembat kat dalam kawasan balai pun saya tak pasti. Juga terdapat 1 CD lagu Cina kat dalam dashboard - dah bakar pun!
Merasakan kos baikinya masih mampu ditampung (dan dikongsi), kami tidak claim insuran (supaya tidak effect NCB).
Ditunda kereta ke Playhouse Garage USJ1 - bengkel milik orang Melayu (muda - Rahmat) yang khusus dalam restoration kereta antik (oldschool, rare and classic cars), mengambil masa 1 minggu untuk pasang, baiki, upgrade alarm, re-wiring, VVT-i baru, internal wash, etc dan dipandu uji.
nota: Rahmat sempat bagi tutorial kepada saya bagaimana si pencuri pecah masuk, potong alarm, nyahaktif immobilizer dan "kopak" bawah stereng untuk hidupkan enjin. Memang kerja pakar dan kalau 1 hari sampai 10 buah kereta boleh curi, tentu tangannya dah macam tangan Tok Bidan - rasa sahaja sudah tahu!
Kerja yang beliau buat memang cermat dan di sini saya ingin promote bengkel beliau kepada pemilik-pemilik kereta antik yang ingin buat body kereta anda, memang cermat hasil kerja pekerja di bengkel tu.
Kurang rancak
Hasil perbualan dengan Polis, menurutnya selepas serbuan tersebut, aktiviti curi kereta sedikit berkurangan. Mungkin "si pakar" masih bersembunyi.
Di pihak Polis pula, akan sangkut Seksyen yang "paling kena" dengan kesalahan penjenayah itu, untuk sekurang-kurangnya 20 tahun atau "disimpan" di Simpang Renggam.
Ini kerana telah biasa bagi kes-kes yang dibenarkan ikat jamin, si penjenayah akan "hilang terus" setelah keluar balai.
Satu lagi input yang berguna yang saya dapat adalah apabila pegawai terbabit bacakan senarai kenderaan rampasan, di mana hanya 6 buah Toyota Rush, dengan Honda City sebanyak 59 buah!
Makanya, pemilik Honda City, perlulah lebih beringat dan tingkatkan sistem alarm dan second-lock kerana malang tidak berbau.
Sekian.
No comments:
Post a Comment