Welcome to the club!
Rasanya semua telah maklum akan berita kemenangan parti pembangkang Thailand, yang pernah dipimpin bekas PM yang disingkirkan, T. Shinawatra.
Muka baru yang menjadi taruhan Parti Puea Thai, Yingluck yang juga merupakan adik perempuan kepada Thaksin sendiri, berjaya menumbangkan penyandang pemerintahan iaitu Parti Demokrat yang dipimpin Abhisit.
Tahniah, dan akhirnya Thailand telah menyertai beberapa negara jiran Asia Tenggara seperti Filipina dan Indonesia yang memiliki sejarah dipimpin oleh PM/Presiden wanita sebelum ini.
Namun, kegembiraan di sebalik sambutan kemenangan itu juga tidak wajar melalaikan mereka akan hakikat bahawa kemenangan tanpa majoriti solid (2/3), hanya sekadar meletakkan mereka pada landasan yang sama sebagaimana dilalui oleh Abhisit sebelum ini.
Di atas persamaan ini juga, Thailand kini menyertai Malaysia, jiran terdekatnya yang kini berterusan diuji dengan pelbagai isu disebabkan kehilangan solid majoriti (2/3) itu.
Elakkan sistem 2 parti, kalau boleh
Membaca keputusan PRU Thailand itu juga, saya dapati masih wujud kepelbagaian atau diversiti dari segi bilangan parti yang bertanding dan memenangi beberapa kerusi, dan ini adalah sesuatu yang positif.
Parti-parti lain seperti Bhumjai Thai, Chart Thai Pattana dan Chart Thai Pattana Phea Pandin masih mendapat dokongan rakyat dan membawa suara-suara untuk menyuburkan proses timbang-tara ke dalam pemerintahan kerajaan baru selepas ini.
Di sebalik keghairahan sesetengah orang untuk melihat kewujudan sistem 2 parti (di Britain pun tidak dua parti), saya secara peribadi merujuk pandangan ini dari perspektif yang berbeza.
Biar saya jelaskan dengan memberi contoh berikut:
Selalu juga saya dengar (atau anda juga, barangkali), orang Melayu hanya perlukan 1 parti, biarlah Umno dan Pas bergabung demi menjaga keutuhan politik orang Melayu dan Islam.
Persoalannya, majukah Melayu dan terbelakah Islam dengan Melayu Umno dan Pas bersatu dari segi fizikal (parti). Atau Melayu perlu dididik untuk bersatu dari segi aspirasi (memperjuang isu kepentingan bersama, tanpa perlu bubar mana-mana parti?)
Pada rajah di atas, inilah kemungkinan yang boleh berlaku dengan wujudnya sistem 2 parti di mana tidak ada pemenang yang akan mendapat solid 2/3 (mungkin sampai bila-bila) kerana undi pihak yang tewas juga cukup kuat, hingga hanya membenarkan majoriti mudah.
Kemudiannya:
Corak yang sama juga akan turut ditunjukkan sekiranya pihak yang tewas sebelum ini, menang pada pilihanraya selepas itu, iaitu hanya secara majoriti mudah, kerana pengaruh yang tewas juga masih kuat.
Corak ini akan berulang-ulang, sehinggalah rakyat atau pengundi naik muak kerana kerajaan tidak pernah kuat dan tiada inovasi baru ditonjolkan oleh sama ada Gabungan A mahupun B, namun apa boleh buat kerana rakyat tiada pilihan lain - itu sahaja yang ada.
Kemenangan tipis ini menyukarkan pembentukan dan perlaksanaan sesuatu polisi, dasar mahupun tindakan oleh mana-mana pihak yang membentuk kerajaan.
Untuk menang besar adalah sukar kerana penyokong kedua Gabungan A dan B adalah komited dengan pihak masing-masing, seterusnya tidak akan sewenang atau secara beramai-ramai memberikan sokongan untuk lawan.
Margin 1-2% sokongan mungkin ditentukan oleh mood pengundi "atas pagar" atau pihak "pemerhati berkecuali", atau andainya wujud isu besar yang mengubah asas sokongan majoriti sesuatu gabungan itu - menimbulkan ketidakpuas hatian ahli hingga berhijrah parti, etc.
Saya melihat secara jangka panjang, rakyat yang akan rugi kerana tanpa inovasi-pun salah satu gabungan tersebut akan dipilih memerintah dan akan banyak perkara akan "take for granted" oleh mereka.
Itulah pandangan saya dan mengapa saya melihat apa yang ada hari ini masih releven, cuma ianya perlukan inovasi dan inovasinya perlu berterusan agar rakyat atau pengundi "senang hati" melihat akan pilihan-pilihan yang ada buat mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment