Thursday, 28 July 2011

Terkandasnya Harimau Malaya

Gigit jari lagi

Tiada apa yang boleh dibanggakan bilamana wisel penamat perlawanan timbal-balik dibunyikan sebentar tadi.

Kini, telah sah dan rasmi-lah yang cabaran skuad bola sepak negara ke kelayakan Olimpik 2014 berakhir, rentetan keputusan seri 1-1 yang dicatatkan sewaktu berdepan skuad jiran, Singa(pura).

Dengan bergayanya, Singapura telah kembali ke pentas persaingan komptetitif peringkat antarabangsa, bersama-sama sebuah lagi pasukan dari Asia Tenggara iaitu Indonesia (setelah membenam cabaran Turkmenistan dengan menang 5-4 secara agregat).

Harapan yang diletakkan oleh lebih 80,000 peminat Harimau yang hadir ke stadium malam tadi nampaknya masih belum cukup untuk menyuntik semangat dan memotivasikan para pemain negara agar "bermatian" mencari kemenangan, seterusnya melayakkan Harimau menyertai pentas pertandingan bola paling berprestij di dunia itu.

Entah apa lagi alasan yang bakal dihadirkan untuk "menggula-gulakan" para peminat. Jersi-pun telah biru. Stadium juga penuh dengan peminat yang hadir dan tanpa jemu memberikan sokongan.

Yang boleh membuatkan peminat mendabik dada mungkin persembahan konsisten "mesin gol" Harimau, Safee yang semakin matang dan meningkat prestasinya setelah "keluar kepompong" dan meneroka dunia baru di Liga Indonesia, dan juga persembahan oleh Apek.

Tak berubah, rebah!

Sebelum ini telah ada pihak dan pemerhati yang mendedahkan kelemahan skuad Harimau, setelah kekalahan besar 5-3 sewaktu di Stadium Jalan Besar.

Saya kira apa jua teguran dan pandangan (yang membina) wajar didengari dan respon sewajarnya perlu dihadirkan, demi kebaikan sukan bola sepak negara secara seluruhannya.

Namun, kini semuanya telah terlewat untuk dilakukan apa-apa. Rebah tetap rebah. Pahit kekalahan ini perlu ditelan dan diterima sebagai sebahagian asam-garam permainan bola sepak.

Untuk kembali dengan peluang seperti ini, dengan skuad umur muda seperti hari ini, ianya tidak berlaku setiap tahun, dan ia sememangnya disedari ramai.

Selepas Piala Dunia 2014 (3 tahun dari sekarang), kebanyakan pemain yang beraksi malam ini juga bakal dilabel "kuda tua".

Memandangkan kita orang yang bangga, penggunaan tenaga luar seperti amalan di Singapura dan Indonesia juga dilihat hampir mustahil.

Justeru, jika tiada peluang untuk "orang luar dibawa masuk", eloklah FAM dan skuad bola sepak negeri-negeri memberi galakan dan sokongan lebih kuat agar lebih ramai pemain berbakat tempatan "dieksport keluar" untuk menerima pendedahan luar dan beraksi di liga luar sekitar Asia seperti Liga Singapura, Indonesia dan Thailand.

Prestasi konsisten Safee dilihat sebagai hasil yang positif apabila "orang kita dibenarkan keluar". 

Adalah tidak mustahil jika langkah sama dituruti pemain lain, suatu hari nanti bukan sahaja skuad Harimau akan mempunyai penyerang yang prolifik, tetapi juga pemain sayap dan pertahanan yang kental, sehingga mampu menghadirkan kegerunan kepada lawan serantau yang dahulunya telah "men-sayurkan" skuad Harimau.

Fikir-fikirkan.

No comments: