Sunday 30 May 2010

Kesian mereka: kisah kasut CROC

Dangkal

Pernahkah anda terlintas dan terbaca di kotak email, mahupun di blog-blog kebelakangan ini yang memaparkan kisah berkenaan bagaimana logo selipar / kasut CROC 'sebenarnya' telah menghina nama Allah?

Seperti foto di bawah:

Kasihan. Bukan saya kasihan kepada syarikat yang mengeluarkan kasut Croc ini, tetapi kepada manusia yang mengukirkan nama Allah menggunakan pen hitam pada logo kasut Croc tersebut!

Apa rasionalnya si pencetus kacau-bilau dalam jiwa orang Islam ini sehingga sanggup bersusah-payah, mencari-cari, memusing-musingkan logo hingga senget-benget dengan niat untuk membuktikan akhirnya boleh dilukis nama Allah pada logo tersebut?

Mengapa begitu kreatif sekali si polan ini dalam merendah-rendahkan kesucian nama Allah?

Apakah motif dan niatnya? Dan mengapa ingin 'diracunkan' minda para pembaca Muslim dengan perkara yang samar sebegini?

Sesungguhnya di dalam Islam itu, perkara yang halal itu jelas, dan perkara yang haram itu juga jelas.

Apakah ada pengakuan dari syarikat ini yang jelas kita tahu mempersendakan nama Allah? - Sedangkan pengakuan yang jelas dinyatakan oleh jenama terkenal Nike yang mengambil nama Tuhan Purba Greek (klik).

Itupun masih berbondong-bondong masyarakat Islam membeli dan memperagakan pakaian Nike!

Tolong

Kepada yang memulakan kerja-kerja ke arah meracun minda dan akidah masyarakat Islam, saya minta - tolong hentikannya sekarang!

Betapa besarnya dosa orang yang mencipta sesuatu isu tanpa ada bukti (dalam kes ini sendiri cipta bukti - come on laa...).

Sepatutnya rungkailah permasalahan yang lebih besar, dan yang lebih nyata melanda masyarakat Islam ketika ini, seperti tindakan pemerintah 'menghalalkan' perjudian bola sepak Piala Dunia 2010 baru-baru ini.

Bukankah itu lebih mendatangkan manfaat kepada diri dan masyarakat?

Yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Dan yang tidak jelas di antara kedua-duanya maka beratkanlah untuk tidak mengambilnya.

nota: jika tidak yakin benda yang ingin disebarkan itu jelas atau kabur, jangan sebarkan kerana jika ianya menjadi fitnah di kemudian hari, bayangkan kerosakan 'minda dan akidah' yang telah anda timbulkan!

Wassalam.

No comments: