Thursday, 5 March 2009

Ke Pokok Sudahnya...

Setelah krisis kepimpinan di negeri Perak berlarutan lebih sebulan, pelbagai kejadian pelik tapi benar telah berlaku (atau mungkin ada lagi yang bakal terjadi?).

Krisis ini telah diulas oleh terlalu ramai 'penganalisa tidak berdaftar' di blog-blog, ruangan di surat khabar, forum maya, di pentas-pentas ceramah, TV dan radio etc. Sebabnya, ulasan pihak 'yang berdaftar' gagal memuaskan hati dan kehendak ingin tahu para rakyat terhadap isu ini.

Seperti biasa, tipikal media arus perdana di Malaysia yang sukar kita dengar berita berimbang (ada sekejap, selepas PRU-12), semua paparan berita menampakkan dacing senget, walhal Malaysia yang masih diperintah BN, berlambangkan daging seimbang.

Berbalik kita kepada topik asal. Krisis di Perak ini saya anggap sesuatu yang besar, akan tetapi isunya sedikit saja. Puncanya ada pihak yang tidak sabar dengan keadaan semasa dan kedudukan mereka dalam hierarki kuasa, namun mereka ini juga gagal mengemukakan justifikasi yang konkrit kepada rakyat disebalik tindakan mereka yang bersifat terburu-buru mengambil alih kerajaan sedia ada itu.

Apabila kuasa yang sudah berpuluh tahun dipegang terlepas kepada tangan orang lain, sudah tentulah pelbagai agenda dan pelan pembangunan yang dirancang dan dipersetujui sebelum PRU12 akan tergendala (atau terbatal) dan ini merugikan 'mereka'.

Pertikaian yang menjadi titik tumpu krisis ini juga sedikit saja. Seperti pendapat Kazrat, perdebatan dan rujukan ke mahkamah hanya berkaitan Fasal 16(6), 16(7), 18(2)(a), 18(2)(b), 36A(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Peristiwa bersejarah dewan bersidang di bawah pokok mungkin hanya sebahagian kecil dari implikasi yang timbul, dan tidak mustahil selepas ini mereka akan panjat pokok pula untuk bersidang sebab kat bawah dah kena 'mangga' dengan pihak berkuasa.

Krisis ini terpaksa kita semua akui hanya akan merugikan semua pihak. Tidak boleh diterima akal jika ada yang menyatakan krisis ini tidak menjejaskan sesiapa. Tak payahlah nak diulas kesan terhadap FDI (Foreign Direct Investment), pengurusan hasil bumi oleh agensi kerajaan negeri, keharmonian antara kaum etc. yang tentunya lebih merumitkan minda.

Cukuplah sekadar mengharapkan BN, PR dan Istana segera mencari kata sepakat untuk sama-sama menamatkan krisis yang berlaku ini.

Yang akan menambahkan buruknya ialah, krisis ini akan panjang dan terus berlarutan jika semua pihak ini terus angkuh terhadap undang-undang dan takut kepada undi rakyat.

Jika masing-masing begitu yakin dan percaya bahawa sokongan rakyat masih utuh bersama mereka, bubarkan DUN dan bersama turun bertarung di gelanggang pilihanraya.

Ayuh kita lihat siapa yang jantan!

No comments: