Tuesday 24 March 2009

Mau Gantung Ka Mau Saman?

Baru sebentar tadi membelek-belek (?) akhbar utusan malaysia online, tengok apa perkembangan terbaru yang berlaku di tanah air.

Biasalah apabila tinggal berjauhan ni, internet memainkan peranan cukup penting bagi menghubungkan saya dengan perkembangan mutakhir di tanah air.

Surat khabar online, blog, sms tidak dinafikan telah merubah (dan mencabar) pendekatan konvensional bagi penyampaian maklumat dan berita.

Hari ini, walau di manapun kita berada, segala maklumat terkini (dan sensasi) hanya terletak di hujung jari saja.

Gantung

Ini bukan kes remaja perempuan yang ditemui mati tergantung di pokok durian di Rawang semalam, tetapi berkenaan dengan tindakan pihak KDN menggantung sirkulasi 2 buah akhbar lidah rasmi parti pembangkang iaitu Harakah dan Suara Keadilan berkuat-kuasa semalam.

Menurut Perdana Menteri (PM), KDN pastinya mempunyai asas dan bukti yang kukuh sehingga tindakan menggantung tersebut dibuat.

Menurut menteri yang menjaga KDN pula, tindakan tersebut tidak dapat dielak memandangkan kedua-dua lidah rasmi tersebut telah bertanggungjawab di dalam penyaluran berita yang memutarbelit fakta, mengelirukan maklumat dan boleh menyuntik kebencian terhadap kerajaan dan pemimpin.

Sebagai rakyat bawahan yang tidak punya apa-apa kuasa dan pengaruh, sedikit sebanyak timbul pertanyaan di dalam hati. Mengapa tindakan ini (gantung) diambil di saat parti pemerintah bakal mengadakan perhimpunan agungnya (malam ini)? Atau sebagai usaha 'menyempitkan' pilihan maklumat kepada bakal pengundi di 2 bukit dan 1 batang bulan hadapan?

Atau mungkin juga saya tersilap atau terlalu berfikiran negatif mengenai perkara ini. Namun, harapnya tindakan KDN ini ada berlandaskan bukti dan asas yang benar, yang dapat diterima logiknya kelak.

Saman

Terfikir juga saya tadi. (Yelah, dalam membuat tesis ni saya digalakkan untuk mencabar idea dan isi kandungan setiap penulisan yang saya baca. Penyelia saya juga nasihatkan bahawa sedikit saja kandungan dalam buku rujukan yang boleh dipercayai, selebihnya 'boleh mengelirukan'.)

Jikalau 2 akhbar tadi begitu jelas tidak beramanah dengan etika media, mengapa tidak disaman saja. Sekurang-kurangnya dengan bukti yang ada, kerajaan dan KDN khasnya, mampu menang kes di mahkamah, justeru boleh menutup terus kedua-dua akhbar ini dan membatalkan permit pengeluarannya buat selama-lamanya.

Bukankah itu lebih straight forward serta lebih mudah difahami rakyat yang kini sentiasa mahukan penjelasan? Itu nak kena jelaskan, ini pun nak kena jelaskan, etc.

Imej

Mungkin idea menyaman bukanlah keutamaan sekarang ini. Namun, apakah dengan ketiadaan 2 lidah rasmi parti pembangkang ini akan membuka peluang yang lebih baik untuk kerajaan memulihkan imejnya: (1) dalam menawan semula kesemua kerusinya di dalam pilihan raya kecil di 3 tempat tersebut?, dan (2) dengan kehadiran bakal PM yang baru tidak lama lagi?

Saya sebagai seorang dalam 27 juta rakyat, hanya mampu tunggu, baca/lihat dan fikir /analisa saja apa yang bakal berlaku kelak.

Keamanan

Sebagai rakyat biasa, saya tidaklah menyatakan segala apa yang telah dibuat ini salah atau tidak betul. Cuma apa yang dikehendaki adalah pihak yang berwajib, wajiblah menyatakan sebab di sebalik sesuatu arahan mahupun tindakan itu, agar rakyat faham dan jelas mengenainya.

Jauh di sanubari, saya mengharapkan agar perkembangan geopolitik, sosial dan ekonomi tanah air akan beransur baik untuk bulan-bulan yang mendatang.

Dan harapnya, persidangan UMNO tahun ini akan dapat menghadirkan suatu titik perubahan dan kesedaran di kalangan pemimpin Melayu akan peri-pentingnya perubahan @ anjakan pemikiran (yang baru) bagi membawa orang-orang Melayu amnya (yang masih ramai miskin, terpinggir dan tidak dibantu sewajarnya) dan kaum Muslim khususnya, ke tahap yang lebih baik.

Tunaikan segala janji yang dibuat dengan penuh komitmen dan bijaksana. Semoga negaraku akan kekal aman dan kami rakyatnya dapat hidup dengan selesa.

Wassalam.

No comments: