Saturday 28 February 2009

R.U

P's

Pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Begitulah prinsip 5P yang saya ingat, yang perlu dipegang setiap masa selagi mahu bergelar pendidik.

Mungkin saya agak ketinggalan zaman kerana rasanya bilangan P tersebut telah ditambah. Namun berapa banyakpun P yang ditambah, 5 yang awal ini perlu sekurang-kurangnya dipenuhi terlebih dahulu.

Barangkali bagi kebanyakan pendidik, mencapai setiap P bukanlah tugas yang mudah sebagaimana tertulis. Saya secara pribadi pun masih belum lengkap keseluruhan P, namun berkehendak untuk memenuhinya kelak, insya-Allah.

Pengajaran - perkara yang terus terlintas di kepala adalah mengajar subjek-subjek tertentu di bilik kuliah. Benar, namun tidak sepenuhnya.

Pengajaran turut merangkumi usaha bagi menambahbaik teknik pengajaran (menghadiri bengkel, seminar/kursus etc), usaha menambahbaik pengetahuan menggunakan teknologi dalam bilik kuliah (menghasilkan slide power point yang interaktif, mengendalikan komputer, perisian versi terkini, set-up LCD etc).

Justeru, pengajaran sekarang ini perlu difahami dari skop yang lebih luas.

Penyelidikan - komponen yang menjadi keghairahan bagi sesetengah pendidik, dan tidak dinafikan juga menjadi bebanan/mimpi ngeri sesetengah yang lain. Bagi yang benar-benar ingin menyumbang kepada kesejahteraan hidup manusia, aspek penyelidikan amatlah penting.

Melaluinya, pelbagai kajian dan penemuan penting terhasil sebagai contoh, saintis menemui penawar bagi sesetengah jenis penyakit, kaedah berkesan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, kawalan serangga perosak di ladang, meyediakan pelan pembangunan bagi menyelesaikan masalah penduduk di sesuatu tempat etc.

Namun tidak kurang yang berpendapat penyelidikan sebagai sesuatu yang memerlukan tumpuan atau komitmen yang berterusan dan juga proses yang memakan banyak masa, yang mungkin mewujudkan konflik dengan komitmen semasa terhadap anak-anak dan keluarga (meluangkan masa yang berkualiti), penyediaan dan persiapan ke kuliah etc. yang mana semua ini perlu diambilkira dengan serius.

Penerbitan - kita kurang menulis, dan kurang buat penerbitan. Pernah juga terdengar "saya dah habiskan banyak masa membuat penyelidikan dan produknya juga berjaya, sehingga saya terlalu penat untuk membuat penerbitan" atau "proses penerbitan terlalu leceh, banyak prosedur dan time-consuming. Saya pakar dalam bidang saya, dah setiap kali hantar draf manuskrip, ada saja yang kena perbetul dan update, apa yang mereka tahu tentang bidang ni? malasla macam ni", etc.

Ada perkara yang kita tidak nampak di sini. Bilangan penerbitan ilmiah dalam bidang-bidang tertentu adalah amat penting bagi menentukan sumber kepakaran itu datang dan kekuatan sesebuah jabatan atau fakulti di dalam bidang tersebut.

Contoh mudah: jika John A yang banyak menulis buku/jurnal berkaitan subjek A, dan dia masih berkhidmat di University A, maka dengan mudah kita dapat kenalpasti bahawa Universiti A mempunyai tenaga yang pakar dalam subjek A. Justeru, lebih mudah untuk kita menghantar Staf buat PhD dengan John A, mengenai subjek A, di sana pada masa depan.

Samalah jika di universiti tempat kita bekerja, jika kita banyak melakukan penerbitan buku/jurnal, kita sebenarnya membina kekuatan diri, kekuatan ilmu dan lama-kelamaan kita akan menjadi titik fokus subjek tersebut, dan secara langsung menarik kemasukan pelajar lepasan ijazah ke fakulti/jabatan kita untuk mendalami subjek tersebut.

Namun, seperti penyelidikan juga, aspek penerbitan merupakan kerja berat (leceh barangkali juga) kerana memerlukan tumpuan untuk menulis dan pastinya 'a very time-consuming process'.

Bagi sesetengah kita, mungkin masih boleh bersabar dengan kerenah birokrasi dan 'kena reject-kena repair', tapi untuk betul-betul duduk depan komputer dan menulis buku/jurnal, itu yang payah nak buat. Ada hari banyak idea dan laju kerja, dan hari yang lain, sebaliknya.

Yang paling senak ialah bila 'date-line' dah terlalu hampir, padahal masa tu banyak lagi benda belum ditulis!

Perundingan - memang diminati sebahagian besar pendidik, sebab banyak cover perbelanjaan kewangan. Tidak hairan bilamana ada pendidik yang lebih berminat dengan kerja-kerja perundingan daripada mengajar, hingga ada yang ponteng kelas sebab banyak projek 'tengah berjalan'.

Waktu belajar dulu, saya sempat juga merasa jadi RA dan waktu itulah merasa pengalaman pertama naik-turun kapal terbang (sewaktu buat kerja perundingan dengan FELCRA Sarawak). Kerja-kerja perundingan ni membawa penyelidik ke pelbagai tempat dan semuanya ditanggung dan khidmat profesional kita juga dibayar.

Tidak hairan juga apabila melihat CV pensyarah-pensyarah, di bahagian perundingan memang tak cukup ruang nak tulis, tapi 'lompong' besar di bahagian penerbitan.

Perkhidmatan kepada masyarakat - pada awalnya saya tidak dapat faham bagaimana pendidik yang hampir kebanyakan masanya dihabiskan di kampus, dapat berkhidmat kepada komuniti?

Apa bentuk perkhidmatan kepada komuniti yang boleh kita sumbangkan?

Setelah beberapa ketika, saya dapati sebagai insan yang Allah kurniakan dengan ilmu yang 'lebih sikit' dan pribadi yang baik sebagai pendidik, segala 'pinjaman' Allah ini hendaklah kita kembalikan kepada komuniti dalam bentuk khidmat (ilmu, tenaga, masa, wang etc).

Justeru, ada rakan yang menjadi pengerusi PIBG di sekolah anak dia, jadi pengerusi masjid taman perumahan tempat dia tinggal, bergiat dengan NGOs seperti MERCY, ABIM etc, menjadi felo kediaman pelajar dan ikut aktiviti bakti siswa, etc.

Pokoknya, tanggungjawab menjadi pendidik bukan hanya di kuliah dan di rumah, tetapi menjadi fardhu kifayah kepada kita untuk membantu komuniti di sekitar kita, mana yang termampu.

R.U

Agenda berkenaan RU (Research University) ini telah agak lama berlegar di corong telinga saya. Tahun sudah, beberapa universiti tempatan telah terpilih menjadi RU dan 1 universiti APEX (unggul). Tahniah kepada yang berjaya!

Maka terkial-kial lah beberapa universiti premiar yang sepatutnya juga diiktiraf dengan status RU, kerana selama ini gah dengan subjek kejuruteraan dan teknologinya.

Lantas, pelbagai langkah proaktif telah diambil pihak pentadbir. Senarai KPI telah dikeluarkan, dan ianya perlu segera dipenuhi bagi menjamin kejayaan status RU.

Maka, berlumba-lumbalah (dikerah juga sebenarnya) para pensyarah untuk menghasilkan sejumlah penerbitan ilmiah (jurnal/buku etc), kolaborasi dengan universiti luar etc.

Berlumba-lumbalah juga para pensyarah yang agak lama terperam dari membuat research me'recycle' mana-mana projek yang lepas. Soal kualiti belakang kira, kuantiti come first.

Tidak kurang yang dah 'kebal' dan buat macam tiada apa-apa yang perlukan tindakan.

Bagi staf cuti belajar juga tidak terkecuali, dengan 2 penerbitan jurnal setahun perlu ada dalam tangan, tambah menyesakkan perut sesiapa sahaja yang terbabit.

Agaknya orang di pejabat pentadbiran yang berkelulusan ijazah dalam seni, dalam sejarah, dalam pengajian agama, pengurusan perniagaan, dalam sosiologi etc tu semua faham tak masalah untuk menerbitkan jurnal/buku ilmiah?

Kalau faham, kena tengok semula polisi-polisi yang dibuat dan minta feed-back golongan professor dan ilmuan yang beribu-ribu kat dalam universiti tu. Dan kalau tak faham, tanya!

Pelajar & RU

Tengah sibuk-sibuk dengan KPI dan RU, timbul pula kegelisahan di kalangan warga pendidik terhadap nasib para pelajar/mahasiswa.

Mahasiswa sekarang dilihat semakin 'out of picture'. Sama ada picture pensyarahnya yang sibuk dengan kerja-kerja penulisan jurnal/buku, atau picture pejabat pentadbiran kerana urusan RU etc.

Keutamaan sekarang bukan kepada mendidik atau mengajar di bilik kuliah, tetapi memastikan bilangan indikator pada KPI dipenuhi seboleh mungkin untuk mendapat status RU.

Akhirnya, kepada siapa kita hendak tumpukan walaupun setelah mendapat status RU? Fikirlah sendiri.

Staf Muda

Saya baru sahaja berkhidmat sebagai pengajar 2 tahun yang lepas dan bolehlah dikategorikan sebagai staf muda. Namun, tahun lepas saya agak terkejut apabila mendapat tahu bahawa kelulusan untuk staf membentangkan kertas kerja telah diperketat.

Tambah senak perut ialah apabila staf yang ingin membentang kertas kerja di luar negara perlu ada bukti telah menerbitkan jurnal sebelum ini.

Senak dah jadi pedih perut apabila dapat makluman staf yang ingin membentang kertas kerja di luar negara hanya akan dibiayai hingga RM6000 maksimum (jika tak silap) - tiket kapal terbang pun tak lepas.

Secara ikhlas saya tidak ada masalah untuk memohon membentang kertas kerja kerana ada penerbitan buku dan jurnal sebelum ini, tetapi bagaimana dengan nasib rakan yang lain?

Menghadiri seminar, persidangan inilah 'ruang' yang terbaik untuk mencari 'peluang' membina 'rangkaian' dengan ilmuan yang lain.

Saya sendiri banyak berhubung dengan pakar yang sama bidang, dan ia membuka ruang untuk kolaborasi dan jemputan untuk berkongsi ilmu selepas beberapa bulan seminar tamat.

Ia terjadi apabila saya menjadi salah seorang pembentang kertas kerja semasa seminar 'komuniti marginal' di hotel di PJ dan ada pegawai JHEOA kebetulan di seminar itu yang bertanyakan soalan dan seperti biasa saya akan cuba menjawab setepat mungkin untuk memuaskan hati si penanya itu.

Selesai sessi, kami bertemu untuk minum dan bertukar kad nama. 2 bulan selepas itu, saya dijemput semula untuk menjadi 'main speaker' dalam seminar khas berkaitan pelancongan orang asli di kompleks JHEOA di Gombak.

Saya merasa bangga, tapi bukan tinggi diri, saya berpuas hati kerana kajian saya mengenai orang asli akhirnya didengar sendiri oleh JHEOA dan hasil kajian tersebut dapat dikongsi dan diperbincangkan bersama para ilmuan yang lain pada hari tersebut, Alhamdulillah.

Justeru, pelbagai bentuk pendedahan tidak kiralah apa sekalipun sama ada menghadiri seminar, membentang kertas kerja mahupun menulis jurnal, haruslah diperuntukkan dengan cara lebih mudah kepada staf muda terutamanya bagi memacu perkembangan karier mereka di masa depan.

Penutup

Usaha yang proaktif bagi mencapai RU memang perlu dipuji, kerana dengannya pensyarah, jabatan dan fakulti akan memperoleh banyak kemudahan sama ada sari segi dana/kewangan, dan penambahbaikan fasiliti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Usaha ke arah mencapai RU juga dapat dipenuhi jika setiap pendidik dapat menghayati budaya 5P dengan sebaiknya. Usahlah dipeningkan dengan elemen-elemen yang rumit jika perkara asas belum difahami dengan mantap.

Tekanan yang diterima oleh para staf akademik terhadap usaha mencapai RU ini tidak seharusnya menjejaskan tumpuan mereka terhadap 'core business' iaitu memberikan pendidikan dan ilmu yang terbaik kepada pelajar.

Jika pelajar sendiri semakin 'out of picture', jelaslah landasan yang dirintis itu bukanlah sesuatu yang diingini sebenarnya.

Pencapaian RU memerlukan semua pihak baik pentadbir (yang menentukan dasar dan polisi), pensyarah (yang menggerakkan usaha) dan mahasiswa (yang menjadi outcome daripada proses) berpadu tenaga dan kesemuanya ini haruslah sentiasa dibawa bersama sebagai satu entiti yang saling memerlukan.

1 comment:

umizue said...

boleh plak bersambung2 ea en hisyam??
ni mesti bz sgt2 kan...