Wednesday 8 September 2010

PKR: Lawan sudah pasti, kalah belum tentu?

Sekadar mengupas paparan berita di utusan online (sini) (sini) dan di blog MPBebas Kulim (sini) bersangkutan pencalonan bagi merebut kerusi timbalan presiden PKR.

Adalah janggal mungkin, laporan yang disiar secara arus perdana ini tidak memetik sumber yang secara langsung terikat dengan PKR.

Ibarat:

- hendak meminang anak Pak Kusyuk, dirisik pula melalui jirannya bernama Pak Malau (yang kebetulan ada 'isu' - berkerat rotan, berpatah arang dengan Pak Kusyuk).

Atau ibarat:

- hendak meminang anak (kebetulan janda) Pak Kusyam, dirisik pula dengan bekas menantu si Abang Burn (yang kebetulan ada 'isu' - berkerat rotan, berpatah arang dengan Pak Kusyam).

Laporan yang bersumberkan mereka-mereka yang sedikit diragui keupayaan dan kebolehpercayaan ini sedikit-sebanyak menjadikan khabar yang disebarkan juga boleh diragui.

Lawan

Agaknya sudah agak lama tidak saya saksikan pertembungan secara 'gentlemen' di dalam pemilihan pucuk sesuatu parti siasah.

Seingat saya (mungkin saya salah) kali terakhir saya baca di internet adalah pemilihan MCA, yang menyaksikan penyandang Tee Keat tewas kepada aktor DVD, Soi Lek.

Bagi parti siasah yang lainnya, adalah sedikit ribut di dalam pertandingan kerusi Timbalan Presiden PAS di antara Nasharuddin Mat Isa, Hussam Musa dan Md Sabu - yang mana Nasha berjaya mengekalkan perkhidmatannya sebagai TP bagi penggal berikutnya.

Pemilihan UMNO? Rasanya paling 'sengit', hinggakan calon yang tewas perebutan jawatan ketua pemudanya diberikan jawatan timbalan menteri.

Berbalik kepada khabar yang bertiup kencang kini, 3 calon berpotensi disebut-sebut bakal menawarkan diri bertanding adalah Azmin Ali (Naib Presiden sekarang), Khalid Ibrahim (MB Selangor) dan Zaid Ibrahim (bukan adik-beradik dengan Khalid & sekarang ini Penyelaras PR).

Di antara ketiga-tiganya, Khalid MB paling 'senyap' menyatakan pendirian, sedang Azmin dilihat ramai pemerhati (dalam dan luar parti) sebagai berpeluang cerah untuk menang, jika beliau setuju/ingin dicalonkan. Zaid pula masih 'cakap berlapik' mengenai hasratnya bertanding.

Biarpun wujud semacam 'kecenderungan nakal' a.k.a propaganda bahawa kerier Zaid bakal berkubur jika benar beliau bertanding menentang Azmin, tidak dapat tidak, berpandukan sifir orang politik, itulah sebahagian asam-garam yang perlu ditempuh.

'Jika takut dilambung ombak, usah berumah di tepi pantai' - jika takut menanggung risiko, eloklah sedari awal lagi tidak libatkan diri. Jika ingin senang, usah sibuk menjadi wakil rakyat dan orang politik, cukuplah sekadar menjadi usahawan yang 'berdamping rapat' dengan mereka (orang politik). Untung besar, risiko kurang.

Berbeza dengan YBebas Zul, saranan saya, jika Zaid sudah berhasrat untuk menduga arus, teruskan saja. Usahlah ditimbulkan keraguan tertentu bagi menggoyahkan hasrat tersebut.

Biarlah amalan demokrasi dan hak untuk menjadi calon disubur dan diamalkan secara bebas tanpa ada tekanan sebarang pihak, baik yang berada di dalam mahupun luar parti.

Ini kerana, pada hierarki manapun seseorang pemimpin itu, letaknya pada perwakilan yang memilih kerana merasakan mereka-mereka inilah yang 'layak' menjadi pemimpin. Bukankah itu (demokrasi dan kebebasan) semangat paling asas yang diperjuangkan PKR?

Tewas

Adalah menjadi harapan saya untuk melihat Zaid 'tidak tewas sebelum berjuang'. Ini kerana banyak contoh telah saya perhati di mana ada sesetengah 'bakal' calon, sebelum menjadi calon, cakapnya bukan main berdentum-dentum, tetapi saat akhir, telurnya tercicir entah ke mana.

Sebagai orang lama dalam politik, dan dengan pengalaman beliau semasa di dalam UMNO dan kerajaan, dan kini di dalam PR, pastinya beliau telah berfikir panjang dan mencongak strategi tertentu.

Di dalam semangat demokrasi yang tulen, pemilihan parti tidak akan berupaya untuk memecah-belahkan sokongan ahli dan juga parti. Ini kerana proses memilih pemimpin adalah norma sesebuah pertubuhan.

Pastilah wujud kesan sementara terutama di antara penyokong calon yang bertanding (dan calon yang menang dengan yang tewas), begitupun ahli parti secara majoritinya masih rasional dan mampu menerima sebarang keputusan yang diputuskan bersama (undi majoriti).

Dan juga sudah pasti pimpinan baru akan perlukan masa untuk menstrukturkan semula gerak kerja di dalam usaha untuk kembali meraih sokongan dan dokongan ahli. Ini juga proses yang biasa - lihatlah bagaimana usaha Presiden UMNO DS Najib sewaktu mewarisi (menyelamatkan?) partinya daripada Presiden sebelumnya.

Dalam politik, bertanding itu sudah menjadi norma. Namun, jika ada yang menyuruh agar tidak bertanding, itu yang sebetulnya di luar norma.

Buat Azmin dan Zaid (serta yang lain-lainnya), selamat maju jaya.

Lawan mesti lawan, kerana siapa yang bakal kalah, masih belum tentu.

No comments: