Monday, 16 March 2009

GOD/Tuhan itu ALLAH

"aku bersaksi tiada TUHAN melainkan ALLAH, dan aku bersaksi MUHAMMAD itu PESURUH Allah" - Syahadah

Ingatan: nukilan di bawah ini merupakan cetusan rasa saya sendiri, bukan untuk merendah mahupun meninggikan sesetengah pihak. Ia lahir daripada keprihatinan saya terhadap pengguguran tuntutan penggunaan perkataan Allah bagi menggantikan Tuhan oleh penganut agama lain (selain Islam) beberapa minggu yang sudah.

Diharap kepada yang membacanya, dapat menghadam huraian dan contoh yang akan saya gunapakai. Jika sekali baca tidak dapat menangkap maksud saya, diharap dibaca untuk kali kedua.

Dan jika ada yang tidak bersetuju, bolehlah diutarakan persoalan, kerana mungkin penjelasan yang dipaparkan tidak memuaskan hati, dan ianya terbit dari atas kelemahan diri saya sendiri.

Mudahnya kita tergelincir akidah

Contoh:
Perbualan di antara si anak kecil dan ayahnya

Situasi:
Suatu pagi di hujung minggu, ketika sang ayah sedang membasuh kereta di halaman rumah, si anak yang kecil meluru ke arahnya sambil bertanyakan satu soalan.

Anak: Ayah! Apa yang uncle Heong buat kat tiang merah sambil pegang lidi berasap kat halaman rumah dia tu ek?

Si ayah menoleh ke arah rumah jiran yang setentang dengannya, melihat Heong sedang tertunduk-tunduk 'sembahyang' dengan colok yang berasap dikepit di tangannya.

Dengan pantas si ayah menjawab...

Ayah: Oooh, uncle sedang sembah TUHAN DIA!

Anak: Ooo, lalu si anak berlalu pergi.

Para pembaca. Ada kemungkinan atau tidak jawapan tersebut akan terpancul dari mulut si ayah? Jika YA, maka bermula dari saat itu, si anak akan percaya bahawa ADA TUHAN SELAIN ALLAH! - iaitu ada tuhan lain untuk uncle Heong, pak cik Ramu dan uncle James.

Sedangkan ALLAH itu SATU, sebagaimana yang kita baca setiap kali tahiyyat dalam solat wajib 5 kali sehari tu.

SOALAN SAYA: Apakah tidak tergelincir akidah si ayah?

Kerana secara sedar atau tidak, si ayah telah melafazkan pengiktirafan/pengakuan bahawa selain ALLAH, ada lagi TUHAN lain untuk penganut agama lain (menyekutukan Allah), yang menyanggahi Syahadah itu sendiri!

Harap dapat memahami contoh yang telah saya gunakan.

Pendidikan/Mendidik

Inilah bahaya yang dihadapai apabila kita beranggapan bahawa ungkapan ALLAH adalah khas untuk orang-orang ISLAM SAHAJA, dan tidak boleh digunapakai oleh penganut agama lain.

Makanya, untuk menjelaskan ibadah rakan kita yang non-muslim, perkata seperti TUHAN DIA terpaksa juga digunakan. Mungkin tanpa niat untuk mengiktiraf tuhan lain atau juga bermaksud untuk membezakan perlakuan ibadah orang Islam dan bukan Islam.

Tetapi, aspek yang melibatkan Akidah ini bukanlah perkara yang boleh dibuat main/remeh, kerana kesannya kepada kita sorang muslim amatlah besar.

Justeru, dalam contoh yang saya gunakan di atas, jelas bahawa aspek pendidikan perlu dikukuhkan oleh ibu-bapa bermula dari rumah lagi.

Demi menjelaskan dan dalam masa yang sama mendidik si anak, si ayah wajar berkata:

"Oooh, uncle Heong pun sembah ALLAH, cuma CARA dia salah. Dalam Islam, kita minta terus apa-apa dengan ALLAH, tak perlu pakai perantara (objek) macam agama lain".


Nota untuk diri:

Namun, penjelasan ini kemudiannya perlu disusuli dengan didikan agama/asas agama yang kukuh di rumah. Jangan anggap pelajaran agama Islam yang mereka terima di sekolah telah cukup.

Asas agama ini perlulah sentiasa disemai dan dibajai sehinggalah mereka mampu berfikir dan mempertimbang baik dan buruk sesuatu perkara.

Wassalam.

Saturday, 14 March 2009

Renungan

Ramai orang suruh bersabar,
Tapi tak ramai orang yang boleh bersabar.

Orang mudah meminta maaf,
Tapi tak ramai orang boleh memberi maaf.

Memang baik menjadi orang penting,
Tapi lebih penting menjadi orang baik.

Ramai orang baik yang nak jadi orang penting,
Tapi tak ramai orang penting yang jadi orang baik.

========
Ismail Kamus
Masjid Shah Alam

Nok Teboh Lalak

(Nak Pukul Lalat)




manalah tahu, summer ni ada orang nak ajak kita main teboh lalak ke.
Prince Blast, dibeli dengan harga GBP10 di kedai charity lepas solat jumaat semalam, in excellent condition, good handing and extremely light.

Menemui sahabat

Jumaat-Sabtu yang lepas, kami sekeluarga menerima ziarah rakan dari Edinburgh (Nurul, Iz dan Aisya) dan Saiful Kodi dari Reading ke Oxford.

Nurul dan famili datang dari London, biasanya kalau dah berada di London tu, kenalah singgahkan diri ke Oxford ni.

Di kelapangan yang ada, sempatla kami membawa mereka berjalan-jalan sekitar bandar Oxford, ambil foto mana-mana bangunan lama, bersejarah dan landmark bagi Oxford.

Ini merupakan sebahagian foto yang dapat saya kongsi bersama para pembaca. Dalam kamera Nurul dan Saiful lebih banyak. LOLZ!

kiri: saiful, izhar, wan nurul


ada orang menangis hari tuh...

tak ingat dah nama jalan ni, tapi kat tengah-tengah town la

yang ini kat enterance Christ Church College, yang terkenal dengan dewan makan, dalam Movie Harry Potter tuh...

rekezi hari tu, sebab cuaca amat baik, langit cerah dan tak ramai orang!

Terima kasih daun keladi,
lain kali singgahlah lagi,
kalau boleh janganlah sehari,
sebab banyak tempat kita tak cover lagi...

inilah masa untuk enjoy ourselves, sebelum masing-masing tamatkan pelajaran dan balik semula bekerja di tanah air. Sebab masa tu nanti, semua akan kembali sibuk dan tak tahulah bila lagi masa yang sesuai untuk travel dan melihat tempat seperti ini , bukan?

Pekerjaan Terbaru Saya

Dalam sibuk belajar, bantu isteri jaga anak dan bersama uruskan keluarga, saya sempat juga 'menghabiskan' masa dengan buat kerja baru...iaitu:

haa...inilah bendanya. Buku ni cukup menarik kerana memaparkan collectable items dan antik, lengkap dengan info asas untuk membantu pembaca yang berminat dengan subjek ini. Dan yang penting, ialah harga yang diletakkan untuk setiap item.

lihat saja harga untuk sebuah lori mainan Dinky, mencecah GBP18,000 (+-RM90,000).
Bayangkan, kalau lepas 'terbeli' lori kecik ni, balik rumah tengok anak tengah main-main dan gigit-gigit benda ni, menangis...

lori kecik pembawa kicap tomato ni pun boleh cecah harga GBP2,000 (+-RM10,000)!

ini pulak Troika item. Troika memang terkenal dengan barangan seramik (pasu, belanga etc) yang pelik-pelik. Tapi tengoklah harga yang ini, cecah GBP3,500 (+-RM17,500)!

yang ini pulak Clarice Cliff. Memang tersohor, juga dalam barangan seramik (pinggan mangkuk, pasu belanga etc). Saya cuba juga cari di kedai-kedai charity dan carboot, tapi memang benda ni berharga dan orang tak jual kat tempat-tempat lekeh camni. Lihat saja harga jag ni, mencecah GBP2,800 (+-RM14,000)!

ni satu lagi jag dari Clarice Cliff, busuk-busuk pun GBP800 (+-RM4000). Dah bayar dan dalam perjalanan ke kereta, kaki tersadung, jag pun jatuh dan berderai depan mata, menangis lagi...

duit lama, memang menjadi koleksi di dinding rumah kami. Tengok saja harga yang ini, boleh mencecah anggaran GBP9,000 (+-RM45,000)!

Biarpun saya tak berhajat untuk serius dalam mengumpulkan barangan antik ni, tapi dengan membaca buku tersebut dapat menambahkan ilmu dan pengetahuan umum.

Mungkin suatu hari, apabila berjalan-jalan di carboot/kedai antik/kedai charity, terpandang item2 yang semacam ni, tahulah saya yang ia berharga, dan mungkin berbaloi untuk dibeli!

Sekian dimaklumkan.

Thursday, 5 March 2009

C.Just

Congo for Justice (C.Just)

Saya baru sahaja pulang dari menghadiri satu pembentangan/ceramah yang disampaikan oleh rakan berbangsa Congolese tentang krisis kemanusiaan dan perkembangan terkini di Congo.

Beliau merupakan seorang Reverent (gelaran orang alim bagi Kristian), peguam dan pendakwaraya (memiliki pejabat guaman, tetapi telah musnah dibom tentera semasa krisis November 2008, begitu juga kediaman beliau yang turut musnah dibom), elected-MP dan calon bagi kerusi Presiden Congo.

Kini beliau berada di UK di atas kapasiti Political Asylum (pelarian politik) dan tidak dibenarkan pulang ke Congo yang masih bergolak. Waktu ini digunakan beliau untuk menyambung pelajaran dan kini beliau mendaftar bagi program PhD dalam Undang-Undang.

Beliau cuba berjuang dari luar dengan membawa komuniti antarabangsa agar mengutuk dan membantu menamatkan kegilaan di Congo, memastikan sistem demokrasi ditempatkan kembali, untuk membawa keadilan (justice), dan dari itu diharap akan terbitnya keamanan (peace) kepada Congo dan rakyatnya.

Bring the truth to the light

Beliau memulakan pembentangan dengan menghuraikan krisis di Congo dari aspek sejarah yang panjang.

Bermula dengan bagaimana kuasa-kuasa besar dunia telah membahagi-bahagikan Congo kepada beberapa wilayah demi mengaut hasil buminya yang pelbagai itu.

Empat kuasa besar yang berpengaruh kepada krisis yang sedang berlaku di sana sekarang adalah Amerika, UK, Peranchis dan 'jin belaan' iaitu Belgium. Kini muncul satu lagi kuasa penekan yang secara tidak langsung iaitu China (yang buat perjanjian perniagaan berat sebelah dengan kerajaan Congo).

Menurut kata kawan tu lagi, salah seorang presiden yang sanggup bertegas untuk membataskan campurtangan kuasa barat di dalam negaranya ialah Presiden Lulumba (cari foto dia dalam Google).

Lulumba tegas menolak campurtangan asing di dalam geo-politik Congo dan cuba menguasai sistem pentadbiran. Tindakan tegas dan berani beliau untuk membela dan memastikan kekayaan hasil bumi negaranya digunakan untuk rakyatnya, jelas tidak disenangi barat. Barat melabelkan beliau sebagai 'mad dog'.

Lantas, barat menggunakan 'jin belaannya' iaitu penjajah Belgium untuk menangkap Lulumba. Beliau telah dipenjarakan, dan kemudian dibunuh dengan anggota badannya dikerat dan dibuang ke dalam asid. Saya dan seluruh hadirian hari itu bagaikan tidak percaya dengan hukuman yang dikenakan kepada pemimpin negara itu!

Selepas tumbangnya Lulumba, Congo melantik presiden baru yang digelar 'dog' oleh sahabat itu, yang berfungsi untuk menurut sahaja telunjuk kuasa asing.

Dari itu juga bermulanya kemasukan atau pencerobohan tentera dari negara jiran iaitu Rwanda dan Burundi, di mana mereka telah masuk dan menetap di wilayah Congo. Mereka dengan cepat terus menakluk kawasan-kawasan utama yang kaya dengan galian dan enggan keluar dari Congo.

5 kekayaan

Benua Afrika jika dilihat adalah berbentuk seperti PISTOL, dan Congo merupakan PEMICUNYA. Justeru, menguasai dan melemahkan Afrika, adalah dengan menguasai dan melemahkan Congo.

Mengapa Congo begitu digilai kuasa-kuasa besar ini? Ini kerana terdapat 5 galian penting yang boleh menjadikan pencurinya kaya-raya iaitu: koltan/coltan, emas, berlian, tembaga dan perak (?).

Namun dalam semua senarai itu, coltan merupakan buruan utama penjajah, mengapa?

Ini kerana coltan merupakan bahan asas bagi menghidupkan operasi kebanyakan barangan elektronik dalam abad ke-20 ini! (saya pun baru tahu hal ini).

Kawan itu berpesan, jika anak-anak anda sedang bermain PlayStation, pesan pada depa, itu hasil darah rakyat Congo. Begitu juga setiap kali anda menjawab telefon, ingatkan di telinga anda ada darah perjuangan rakyat Congo.

kena sambung lagi....


Apabila Membacanya...

Link di bawah adalah penulisan terkini Tun Mahathir tentang krisis ekonomi dan usaha 'bailout' oleh kerajaan UK bagi menyelamatkan bank serta lain-lain perusahaan kesan daripada krisis ekonomi yang kini melanda UK khususnya.

http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/03/financial-crisis-and-bailouts.html

Para pembaca boleh bacanya sendiri. Saya juga ada menulis tentang hal ini bulan lepas, tetapi telah saya keluarkan dari blog ini. Ianya berkaitan perberhentian 850 pekerja kilang Mini di Cowley, Oxford, HBos menjangkakan kerugian operasi GBP10billion, pengangguran di Britain cecah 2 juta, British Works for British Workers etc.

Namun, apabila Tun sendiri turut mengulas topik yang sama, saya merasa seronok membacanya kerana ia dihuraikan dengan ringkas tapi padat dan gaya penulisannya yang memudahkan semua peringkat memahami isu yang dibawa beliau.

Jika Tun melemparkan perasaan sinikal terhadap usaha kerajaan Gordon Brown bertindak terhadap isu kemelesetan ekonomi ini, begitu jugalah ulasan saya sebelum ini terhadap CEO-CEO bank yang telah menerima berbilion wang pembayar cukai Britain tetapi tetap menjalankan urusan perniagaan yang merugikan.

"they actually criminals, who took our money (taxpayers money), used it for wrong investments, enjoy some of it for bonuses, but no legal action (court action) have been taken towards them. They just keep talking and defend themselves and at the end of the day, they escape just like that".

Selamat membaca.

Ke Pokok Sudahnya...

Setelah krisis kepimpinan di negeri Perak berlarutan lebih sebulan, pelbagai kejadian pelik tapi benar telah berlaku (atau mungkin ada lagi yang bakal terjadi?).

Krisis ini telah diulas oleh terlalu ramai 'penganalisa tidak berdaftar' di blog-blog, ruangan di surat khabar, forum maya, di pentas-pentas ceramah, TV dan radio etc. Sebabnya, ulasan pihak 'yang berdaftar' gagal memuaskan hati dan kehendak ingin tahu para rakyat terhadap isu ini.

Seperti biasa, tipikal media arus perdana di Malaysia yang sukar kita dengar berita berimbang (ada sekejap, selepas PRU-12), semua paparan berita menampakkan dacing senget, walhal Malaysia yang masih diperintah BN, berlambangkan daging seimbang.

Berbalik kita kepada topik asal. Krisis di Perak ini saya anggap sesuatu yang besar, akan tetapi isunya sedikit saja. Puncanya ada pihak yang tidak sabar dengan keadaan semasa dan kedudukan mereka dalam hierarki kuasa, namun mereka ini juga gagal mengemukakan justifikasi yang konkrit kepada rakyat disebalik tindakan mereka yang bersifat terburu-buru mengambil alih kerajaan sedia ada itu.

Apabila kuasa yang sudah berpuluh tahun dipegang terlepas kepada tangan orang lain, sudah tentulah pelbagai agenda dan pelan pembangunan yang dirancang dan dipersetujui sebelum PRU12 akan tergendala (atau terbatal) dan ini merugikan 'mereka'.

Pertikaian yang menjadi titik tumpu krisis ini juga sedikit saja. Seperti pendapat Kazrat, perdebatan dan rujukan ke mahkamah hanya berkaitan Fasal 16(6), 16(7), 18(2)(a), 18(2)(b), 36A(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan Perkara 72(3) Perintah Tetap DUN Perak.

Peristiwa bersejarah dewan bersidang di bawah pokok mungkin hanya sebahagian kecil dari implikasi yang timbul, dan tidak mustahil selepas ini mereka akan panjat pokok pula untuk bersidang sebab kat bawah dah kena 'mangga' dengan pihak berkuasa.

Krisis ini terpaksa kita semua akui hanya akan merugikan semua pihak. Tidak boleh diterima akal jika ada yang menyatakan krisis ini tidak menjejaskan sesiapa. Tak payahlah nak diulas kesan terhadap FDI (Foreign Direct Investment), pengurusan hasil bumi oleh agensi kerajaan negeri, keharmonian antara kaum etc. yang tentunya lebih merumitkan minda.

Cukuplah sekadar mengharapkan BN, PR dan Istana segera mencari kata sepakat untuk sama-sama menamatkan krisis yang berlaku ini.

Yang akan menambahkan buruknya ialah, krisis ini akan panjang dan terus berlarutan jika semua pihak ini terus angkuh terhadap undang-undang dan takut kepada undi rakyat.

Jika masing-masing begitu yakin dan percaya bahawa sokongan rakyat masih utuh bersama mereka, bubarkan DUN dan bersama turun bertarung di gelanggang pilihanraya.

Ayuh kita lihat siapa yang jantan!

Saturday, 28 February 2009

R.U

P's

Pengajaran, penyelidikan, penerbitan, perundingan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Begitulah prinsip 5P yang saya ingat, yang perlu dipegang setiap masa selagi mahu bergelar pendidik.

Mungkin saya agak ketinggalan zaman kerana rasanya bilangan P tersebut telah ditambah. Namun berapa banyakpun P yang ditambah, 5 yang awal ini perlu sekurang-kurangnya dipenuhi terlebih dahulu.

Barangkali bagi kebanyakan pendidik, mencapai setiap P bukanlah tugas yang mudah sebagaimana tertulis. Saya secara pribadi pun masih belum lengkap keseluruhan P, namun berkehendak untuk memenuhinya kelak, insya-Allah.

Pengajaran - perkara yang terus terlintas di kepala adalah mengajar subjek-subjek tertentu di bilik kuliah. Benar, namun tidak sepenuhnya.

Pengajaran turut merangkumi usaha bagi menambahbaik teknik pengajaran (menghadiri bengkel, seminar/kursus etc), usaha menambahbaik pengetahuan menggunakan teknologi dalam bilik kuliah (menghasilkan slide power point yang interaktif, mengendalikan komputer, perisian versi terkini, set-up LCD etc).

Justeru, pengajaran sekarang ini perlu difahami dari skop yang lebih luas.

Penyelidikan - komponen yang menjadi keghairahan bagi sesetengah pendidik, dan tidak dinafikan juga menjadi bebanan/mimpi ngeri sesetengah yang lain. Bagi yang benar-benar ingin menyumbang kepada kesejahteraan hidup manusia, aspek penyelidikan amatlah penting.

Melaluinya, pelbagai kajian dan penemuan penting terhasil sebagai contoh, saintis menemui penawar bagi sesetengah jenis penyakit, kaedah berkesan meningkatkan hasil pengeluaran pertanian, kawalan serangga perosak di ladang, meyediakan pelan pembangunan bagi menyelesaikan masalah penduduk di sesuatu tempat etc.

Namun tidak kurang yang berpendapat penyelidikan sebagai sesuatu yang memerlukan tumpuan atau komitmen yang berterusan dan juga proses yang memakan banyak masa, yang mungkin mewujudkan konflik dengan komitmen semasa terhadap anak-anak dan keluarga (meluangkan masa yang berkualiti), penyediaan dan persiapan ke kuliah etc. yang mana semua ini perlu diambilkira dengan serius.

Penerbitan - kita kurang menulis, dan kurang buat penerbitan. Pernah juga terdengar "saya dah habiskan banyak masa membuat penyelidikan dan produknya juga berjaya, sehingga saya terlalu penat untuk membuat penerbitan" atau "proses penerbitan terlalu leceh, banyak prosedur dan time-consuming. Saya pakar dalam bidang saya, dah setiap kali hantar draf manuskrip, ada saja yang kena perbetul dan update, apa yang mereka tahu tentang bidang ni? malasla macam ni", etc.

Ada perkara yang kita tidak nampak di sini. Bilangan penerbitan ilmiah dalam bidang-bidang tertentu adalah amat penting bagi menentukan sumber kepakaran itu datang dan kekuatan sesebuah jabatan atau fakulti di dalam bidang tersebut.

Contoh mudah: jika John A yang banyak menulis buku/jurnal berkaitan subjek A, dan dia masih berkhidmat di University A, maka dengan mudah kita dapat kenalpasti bahawa Universiti A mempunyai tenaga yang pakar dalam subjek A. Justeru, lebih mudah untuk kita menghantar Staf buat PhD dengan John A, mengenai subjek A, di sana pada masa depan.

Samalah jika di universiti tempat kita bekerja, jika kita banyak melakukan penerbitan buku/jurnal, kita sebenarnya membina kekuatan diri, kekuatan ilmu dan lama-kelamaan kita akan menjadi titik fokus subjek tersebut, dan secara langsung menarik kemasukan pelajar lepasan ijazah ke fakulti/jabatan kita untuk mendalami subjek tersebut.

Namun, seperti penyelidikan juga, aspek penerbitan merupakan kerja berat (leceh barangkali juga) kerana memerlukan tumpuan untuk menulis dan pastinya 'a very time-consuming process'.

Bagi sesetengah kita, mungkin masih boleh bersabar dengan kerenah birokrasi dan 'kena reject-kena repair', tapi untuk betul-betul duduk depan komputer dan menulis buku/jurnal, itu yang payah nak buat. Ada hari banyak idea dan laju kerja, dan hari yang lain, sebaliknya.

Yang paling senak ialah bila 'date-line' dah terlalu hampir, padahal masa tu banyak lagi benda belum ditulis!

Perundingan - memang diminati sebahagian besar pendidik, sebab banyak cover perbelanjaan kewangan. Tidak hairan bilamana ada pendidik yang lebih berminat dengan kerja-kerja perundingan daripada mengajar, hingga ada yang ponteng kelas sebab banyak projek 'tengah berjalan'.

Waktu belajar dulu, saya sempat juga merasa jadi RA dan waktu itulah merasa pengalaman pertama naik-turun kapal terbang (sewaktu buat kerja perundingan dengan FELCRA Sarawak). Kerja-kerja perundingan ni membawa penyelidik ke pelbagai tempat dan semuanya ditanggung dan khidmat profesional kita juga dibayar.

Tidak hairan juga apabila melihat CV pensyarah-pensyarah, di bahagian perundingan memang tak cukup ruang nak tulis, tapi 'lompong' besar di bahagian penerbitan.

Perkhidmatan kepada masyarakat - pada awalnya saya tidak dapat faham bagaimana pendidik yang hampir kebanyakan masanya dihabiskan di kampus, dapat berkhidmat kepada komuniti?

Apa bentuk perkhidmatan kepada komuniti yang boleh kita sumbangkan?

Setelah beberapa ketika, saya dapati sebagai insan yang Allah kurniakan dengan ilmu yang 'lebih sikit' dan pribadi yang baik sebagai pendidik, segala 'pinjaman' Allah ini hendaklah kita kembalikan kepada komuniti dalam bentuk khidmat (ilmu, tenaga, masa, wang etc).

Justeru, ada rakan yang menjadi pengerusi PIBG di sekolah anak dia, jadi pengerusi masjid taman perumahan tempat dia tinggal, bergiat dengan NGOs seperti MERCY, ABIM etc, menjadi felo kediaman pelajar dan ikut aktiviti bakti siswa, etc.

Pokoknya, tanggungjawab menjadi pendidik bukan hanya di kuliah dan di rumah, tetapi menjadi fardhu kifayah kepada kita untuk membantu komuniti di sekitar kita, mana yang termampu.

R.U

Agenda berkenaan RU (Research University) ini telah agak lama berlegar di corong telinga saya. Tahun sudah, beberapa universiti tempatan telah terpilih menjadi RU dan 1 universiti APEX (unggul). Tahniah kepada yang berjaya!

Maka terkial-kial lah beberapa universiti premiar yang sepatutnya juga diiktiraf dengan status RU, kerana selama ini gah dengan subjek kejuruteraan dan teknologinya.

Lantas, pelbagai langkah proaktif telah diambil pihak pentadbir. Senarai KPI telah dikeluarkan, dan ianya perlu segera dipenuhi bagi menjamin kejayaan status RU.

Maka, berlumba-lumbalah (dikerah juga sebenarnya) para pensyarah untuk menghasilkan sejumlah penerbitan ilmiah (jurnal/buku etc), kolaborasi dengan universiti luar etc.

Berlumba-lumbalah juga para pensyarah yang agak lama terperam dari membuat research me'recycle' mana-mana projek yang lepas. Soal kualiti belakang kira, kuantiti come first.

Tidak kurang yang dah 'kebal' dan buat macam tiada apa-apa yang perlukan tindakan.

Bagi staf cuti belajar juga tidak terkecuali, dengan 2 penerbitan jurnal setahun perlu ada dalam tangan, tambah menyesakkan perut sesiapa sahaja yang terbabit.

Agaknya orang di pejabat pentadbiran yang berkelulusan ijazah dalam seni, dalam sejarah, dalam pengajian agama, pengurusan perniagaan, dalam sosiologi etc tu semua faham tak masalah untuk menerbitkan jurnal/buku ilmiah?

Kalau faham, kena tengok semula polisi-polisi yang dibuat dan minta feed-back golongan professor dan ilmuan yang beribu-ribu kat dalam universiti tu. Dan kalau tak faham, tanya!

Pelajar & RU

Tengah sibuk-sibuk dengan KPI dan RU, timbul pula kegelisahan di kalangan warga pendidik terhadap nasib para pelajar/mahasiswa.

Mahasiswa sekarang dilihat semakin 'out of picture'. Sama ada picture pensyarahnya yang sibuk dengan kerja-kerja penulisan jurnal/buku, atau picture pejabat pentadbiran kerana urusan RU etc.

Keutamaan sekarang bukan kepada mendidik atau mengajar di bilik kuliah, tetapi memastikan bilangan indikator pada KPI dipenuhi seboleh mungkin untuk mendapat status RU.

Akhirnya, kepada siapa kita hendak tumpukan walaupun setelah mendapat status RU? Fikirlah sendiri.

Staf Muda

Saya baru sahaja berkhidmat sebagai pengajar 2 tahun yang lepas dan bolehlah dikategorikan sebagai staf muda. Namun, tahun lepas saya agak terkejut apabila mendapat tahu bahawa kelulusan untuk staf membentangkan kertas kerja telah diperketat.

Tambah senak perut ialah apabila staf yang ingin membentang kertas kerja di luar negara perlu ada bukti telah menerbitkan jurnal sebelum ini.

Senak dah jadi pedih perut apabila dapat makluman staf yang ingin membentang kertas kerja di luar negara hanya akan dibiayai hingga RM6000 maksimum (jika tak silap) - tiket kapal terbang pun tak lepas.

Secara ikhlas saya tidak ada masalah untuk memohon membentang kertas kerja kerana ada penerbitan buku dan jurnal sebelum ini, tetapi bagaimana dengan nasib rakan yang lain?

Menghadiri seminar, persidangan inilah 'ruang' yang terbaik untuk mencari 'peluang' membina 'rangkaian' dengan ilmuan yang lain.

Saya sendiri banyak berhubung dengan pakar yang sama bidang, dan ia membuka ruang untuk kolaborasi dan jemputan untuk berkongsi ilmu selepas beberapa bulan seminar tamat.

Ia terjadi apabila saya menjadi salah seorang pembentang kertas kerja semasa seminar 'komuniti marginal' di hotel di PJ dan ada pegawai JHEOA kebetulan di seminar itu yang bertanyakan soalan dan seperti biasa saya akan cuba menjawab setepat mungkin untuk memuaskan hati si penanya itu.

Selesai sessi, kami bertemu untuk minum dan bertukar kad nama. 2 bulan selepas itu, saya dijemput semula untuk menjadi 'main speaker' dalam seminar khas berkaitan pelancongan orang asli di kompleks JHEOA di Gombak.

Saya merasa bangga, tapi bukan tinggi diri, saya berpuas hati kerana kajian saya mengenai orang asli akhirnya didengar sendiri oleh JHEOA dan hasil kajian tersebut dapat dikongsi dan diperbincangkan bersama para ilmuan yang lain pada hari tersebut, Alhamdulillah.

Justeru, pelbagai bentuk pendedahan tidak kiralah apa sekalipun sama ada menghadiri seminar, membentang kertas kerja mahupun menulis jurnal, haruslah diperuntukkan dengan cara lebih mudah kepada staf muda terutamanya bagi memacu perkembangan karier mereka di masa depan.

Penutup

Usaha yang proaktif bagi mencapai RU memang perlu dipuji, kerana dengannya pensyarah, jabatan dan fakulti akan memperoleh banyak kemudahan sama ada sari segi dana/kewangan, dan penambahbaikan fasiliti bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Usaha ke arah mencapai RU juga dapat dipenuhi jika setiap pendidik dapat menghayati budaya 5P dengan sebaiknya. Usahlah dipeningkan dengan elemen-elemen yang rumit jika perkara asas belum difahami dengan mantap.

Tekanan yang diterima oleh para staf akademik terhadap usaha mencapai RU ini tidak seharusnya menjejaskan tumpuan mereka terhadap 'core business' iaitu memberikan pendidikan dan ilmu yang terbaik kepada pelajar.

Jika pelajar sendiri semakin 'out of picture', jelaslah landasan yang dirintis itu bukanlah sesuatu yang diingini sebenarnya.

Pencapaian RU memerlukan semua pihak baik pentadbir (yang menentukan dasar dan polisi), pensyarah (yang menggerakkan usaha) dan mahasiswa (yang menjadi outcome daripada proses) berpadu tenaga dan kesemuanya ini haruslah sentiasa dibawa bersama sebagai satu entiti yang saling memerlukan.