Monday, 22 December 2008

Dilema Pakar Tempatan

Ini petikan dari Utusan Online pagi ini bertajuk "Gaji Rendah Punca Pakar Enggan Kembali". Artikel tersebut agak panjang dan dimuatkan temubual dengan beberapa ahli akademik/pakar mengenai kesukaran membawa atau memujuk para pakar, ahli akademik dan saintis tempatan untuk pulang berkhidmat di tanah air (daripada makan gaji di luar negara). Salah satu isu adalah bayaran gaji yang tidak setimpal dengan perkhidmatan mereka ini oleh pihak kerajaan pada masa ini (di samping inisiatif lain yang banyak diberi pihak di luar negara berbanding di Malaysia).

Namun, komen menarik yang saya secara peribadi sokong dan nampak kebenarannya, dimuatkan di akhir artikel tersebut sebagaimana petikan di bawah:

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah berkata, sistem pendidikan di luar negara tidak mempunyai banyak krisis politik berbanding di negara ini.

"Kebanyakan golongan profesional di luar negara mahu balik ke Malaysia namun disebabkan sistem pendidikan yang beginilah, menyebabkan mereka tidak mahu pulang.

"Budaya seperti kronisme menyebabkan mereka tidak berani pulang ke Malaysia kerana takut intelektual mereka akan hilang," katanya.

Pengalaman belajar di UK telah membuktikan para pensyarah, professor bebas mendedahkan diri sebagai pengikut Konservatif, Buruh dan boleh duduk berdialog dan berbincang di atas pentas yang sama.

Kerja-kerja penyelidikan, penerbitan, kenaikan pangkat pula dibuat secara profesional dan berpandukan merit, tidak berpandukan skill siapa yang lebih pandai 'kipas boss' dan kiss a++ (kasar sikit), serta main politik secara over!

Bukan saya menyatakan di UK ni semua orang baik dan tidak main politik, namun permainan politik itu berada di bawah profesionalisme dan pandai disorok, tidak semacam sesetengah kes di Malaysia yang nampak terang lagi bersuluh kepolitikannya itu (akan dinafikan, namun tak apalah! - petikan di atas menyokong hujah saya ini).

Apa yang dimahukan oleh mereka yang berkecimpung di bidang pendidikan (lain-lain bidang juga) ialah untuk diberikan ruang yang seluasnya bagi mempraktikkan ilmu dan menjalankan kerja-kerja penyelidikan mereka. Mungkin dalam sesetengah hasil kajian akan timbul pertikaian dan perbezaan pendapat dengan pemerintah, namun jika apa yang dibuat itu adalah perkara yang benar, dan perlu disampaikan secara benar, kompromi perlu diberikan kepada mereka.

Contoh: Jika kajian pakar (geologi, jurutera struktur, pakar EIA) mengatakan perumahan di kawasan bukit tidak boleh diluluskan kerana faktor keselamatan, maka sebagai pembuat keputusan/ahli politik di peringkat PBT hendaklah patuh dan menyokong, bukan sebaliknya yang berlaku di Malaysia di mana kata-kata orang politik jadi No 1, dan pakar itu hanya bertaraf penasihat, mungkin no 3 atau bawah lagi. No 2 mungkin kroni, pemaju dan pembina.

Apabila timbul krisis seperti di Bukit Antarabangsa (6 Dec 2008), baru semua pihak sibuk mengkaji, menuding jari, dan terhegeh-hegeh meminta kajian dan pandangan dari pakar terbabit.

Sendiri mau ingat...

No comments: