Saturday, 19 April 2008

Terkenang Daku: Bakti siswa UTMKL



Bertemu kembali,


Sambil-sambil saya sedang menyusun folder dalam laptop ni, terpandang pula folder foto sewaktu saya mengiringi aktiviti pelajar UTM tahun lalu, ke perkampungan Orang Asli di Betau, Pahang.


Beginilah suasana pagi di kampung tersebut, sejuk dan jauh dari kebisingan bandar

Saya fikir ada baiknya dibuat coretan dan menghuraikan cerita di sebalik foto yang ingin saya kongsikan bersama anda. Program Bakti Siswa ini berlangsung pada bulan 5 2007 (selama 3 hari) ini menemukan mahasiswa dengan masyarakat luar bandar (tradisional) yang kurang bernasib baik untuk menyalurkan bakti di samping meluaskan interaksi golongan mahasiswa dengan masyarakat.

Saya secara sukarela menerima pelawaan pihak HEP membawa mahasiswa ini. Manakala saya sendiri turut mengspesifikasikan kepakaran di dalam bidang kajian berkaitan masyarakat Orang Asli (di peringkat Masters). Jadi, ini bukanlah kali pertama saya menjejakkan kaki ke perkampungan Orang Asli.

Namun, Allah Maha Kaya, biarpun bermacam kampung Orang Asli telah saya kunjungi (Kelantan, Perak, Pahang, Terengganu, Selangor dan Johor), inilah kali pertama saya berdepan dengan 'kedaifan sebenar'. Di kampung terbabit (dirahsiakan), tidak mempunyai balai raya (untuk simpan barang dan bersolat), dan paling kritikal tiada tandas (ha?). Kesimpulannya, kami semua gunakan sungai dekat kem untuk aktiviti 'sepatutnya'. Sungguh susah, mencabar namun ia membuatkan saya terfikir, (how) dalam era negara yang semakin menghampiri status negara maju (Wawasan 2020), masih wujud tempat yang sebegini (di negara saya sendiri!).

Apapun, bukan komen dan kritikan terhadap kekurangan di situ yang hendak saya tonjolkan di sini, cuma layanan masyarakat (terutama keluarga angkat) kepada para pelajar adalah begitu baik sekali. Saya melihat mahasiswa yang datang menabur bakti juga tidak bersungut di sebalik segala kekurangan. Mereka sungguh komited dan ceria sepanjang masa. Pelbagai aktiviti dirancang dan berjaya dilaksana. Antaranya pembahagian anak angkat, kembara alam, gotong-royong, sukaneka, persembahan kebudayaan dan tayangan filem pendidikan, pelajaran matermatik dan B.I di sekolah dan banyak lagi.

Persediaan /latihan sebelum persembahan kebudayaan pada sebelah malamnya

Sesungguhnya, banyak ilmu mengenai cara hidup unik Orang Asli yang dapat dipelajari hasil pengalaman tinggal bersama dengan mereka (walaupun sebentar). Saya berdoa agar anak-anak Orang Asli yang diambil sebagai adik angkat akan rajin belajar kerana hanya dengan ilmu pengetahuan sajalah dapat mengubah kehidupan masyarakat Orang Asli amnya, dan hidup mereka sendiri di masa yang akan datang. 

Bersama kita hayati foto-foto ini.

Meninjau persiapan orang kampung untuk malam persembahan

Adik-adikku, belajarlah rajin-rajin untuk merubah nasib diri & bangsamu

Upacara sukaneka begitu meriah dan mendapat sambutan baik orang kampung

Menari sewang Orang Jahai bersama Ahli Perlimen Cameron Highland, SK Devamani


Wassalam.

No comments: