Saturday, 11 December 2010

Jalan-jalan bersama Mawaddah

 Lama kita tak bersua ye? Anda apa khabar? Apapun, jom! ikut saya, kita ke Langkawi....

 Saya sedang memujuk Atuk supaya jangan pulang awal...

 Kami merancang untuk menaiki kereta kabel, tetapi hampa kerana perkhidmatannya tergendala (oleh kerja-kerja penyelenggaraan), bukan sedikit pelancong yang mengeluh.

 Inilah panorama setibanya kami ke Pantai Pasir Hitam

 Sewaktu foto ini dirakam, saya sedang sibuk mengira jumlah pasir di pantai itu..huhu

 Frangipani Langkawi Resort & Spa

 Dua penunggu setia di kawasan rehat Pantai Pasir Hitam

 Priceless - foto kerbau berkubang yang diambil menerusi kawat pagar kompleks telaga air hangat

 Peserta rombongan sedang melakukan 'rehat dan rawat' terhadap kaki masing-masing di dalam kolam air hangat

 Foto saya sedang mamai di hadapan pintu masuk ke tempat bersejarah 'Beras Terbakar'

 Waktu senja - asyik menonton pelbagai ragam manusia di Pantai Cenang

 Beberapa tempat makan yang kami kunjungi memang 'superb'

 Petronas Quay, Putri Harbour - jengok-jengok, kot-kotla terserempak dengan bot memanda menteri parkir di sini...

 Air terjun Durian Perangin - bolehlah untuk rendam-rendam badan

 Wildlife Park - pelbagai spesis haiwan yang hidup terpenjara dapat disaksikan (gambar si kancil, you not so smart now, ha?)

 3 hari, 2 malam. Satu pulau sudah kami jelajahi. Seronok

 Tibalah masa untuk pulang ke Kuala Lumpur

Sampai bertemu lagi. Selamat berhujung minggu!

Friday, 10 December 2010

Tengku Razaleigh Hamzah

Dua hari lepas, sewaktu berkunjung ke sebuah kedai akhbar India di SS14, Subang Jaya, dan setelah ke kaunter untuk membayar harga senaskah akhbar KOSMO, terpandang saya akan sebuah buku, nukilan (Dato') Kamal Amir yang bertajuk "Tengku Razaleigh Hamzah: Rahsia Yang Terpendam".


Memandangkan akak yang beratur di depan saya masih sibuk mengatur barangan yang dibelinya, sempatlah saya menyemak sepintas lalu kandungan buku terbabit.

Terus-terang saya katakan yang saya tidak kenal penulisnya . Begitupun, dari segi lenggok bahasa yang digunakan, nampak tidak jauh bezanya dengan naskah yang dihasilkan oleh penulis-penulis politik seperti MSO (Mohd Sayuti Omar), A. Kadir Jasin mahupun Daud Hj Ibrahim.

Terus-terang juga saya katakan, bagi kebanyakan warga Malaysia yang berusia di bawah 40-an, penceritaan mengenai insan bernama Tengku Razaleigh Hamzah (KuLi) ini begitu jarang sekali dihebahkan dan dengari.

Umum mungkin tahu dan sedia maklum jika diperkatakan berkenaan Parti Melayu Semangat 46. 

Begitupun, sejauh manakah pula kecaknaan kita terhadap personaliti dan idealisme yang ditonjolkan oleh beliau, sepanjang bergiat di dalam politik, sama ada semasa di dalam UMNO, di luar yang menentang UMNO, dan akhirnya kembali kepada UMNO?

Sejauh manakah juga generasi muda hari ini mengetahui akan peranan, jasa serta sumbangan beliau (KuLi)  yang mengasaskan PETRONAS, menjadi pengerusi Pernas (Permodalan Nasional), Bank Bumiputra (beliau nyata kecewa dengan hilangnya entiti penting untuk bumiputra ini), yang mana kita semua hari ini sedikit-sebanyak turut mendapat untung darinya?

Apakah kita juga dimaklumkan akan penglibatan beliau yang secara langsung dengan perancangan bagi mengembalikan semula 'khazanah negara' yang suatu ketika dahulu milik asing seperti Sime Darby dan Guthrie?

Dan apakah generasi muda pendokong UMNO hari ini juga tahu bahawa terbinanya PWTC, adalah di atas tanah yang beliau sumbangkan? - yang saban tahun umat UMNO ini akan datang bersidang?

Sumbangan KuLi bukan sahaja telah memberikan impak kepada UMNO itu sendiri, malah turut dirasai oleh pihak dan mereka-mereka (yang dahulu dan kini) berada di luar rumah UMNO.

Menerusi naskah (terbitan Mei 2010) ini, Kamal Amir juga turut menyorot pelbagai kisah yang 'terpendam' dan yang sengaja 'dipendamkan' oleh media-media arus perdana berkenaan KuLi.

Menariknya, penglibatan KuLi ini telah beliau kupas  melalui temubual bersama KuLi sendiri dan dipersembahkan mengikut sela-masa, pemerintahan setiap Presiden UMNO, bermula dari era Tunku Abd Rahman hinggalah kepada era Najib Razak, selain mengupas perihal Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Sungguhpun pengaruh KuLi terhadap umat Melayu-UMNO dilihat tidak begitu menonjol ketika ini (kerana media berita TV terutamanya, setiap malam hanya memutar berita mengenai "3 serangkai"), masih ada pihak yang menilaikan bahawa KuLi masih berpengaruh (lihat keratan akhbar di bawah).

 Sumber: pada foto

Namun, apakah akan berlaku 'come back' oleh KuLi menjelang PRU ke-13 akan datang ini? Hanya masa yang akan memberikan kita jawapannya.

Di kelapangan yang ada juga, saya sedang berkira-kira untuk menulis (di dalam beberapa siri bacaan ringkas), rumusan pembacaan saya terhadap naskah ini dengan dibantu beberapa sumber lainnya.

Sekian.

Tuesday, 7 December 2010

Jodoh

1) Jodoh dari Syaitan

Si lelaki bertemu si perempuan. Keluar bersosial, bersekedudukan, dan akhirnya terlanjur sehingga mengandunglah si perempuan itu. Di atas keterlanjuran itu (dan malu), maka dipinanglah oleh si lelaki dan kedua-dua mereka akhirnya berkahwin.

Ini kes jodoh yang dipandu nafsu dan godaan Syaitan. Terlalu banyak dapat kita lihat hari ini.

2) Jodoh dari Jin

Si lelaki sukakan si perempuan. Tetapi malangnya, si perempuan tidak membalas cintanya (a.k.a hanya bertepuk sebelah tangan). Oleh kerana dendam (dan malu), maka disihir (dibomohkan) si perempuan itu agar menyukainya (minyak pengasih, etc). Di atas bantuan jin dan iblis itu, maka si perempuan itu dapat ditundukkan dan dipinanglah oleh si lelaki itu dan akhirnya berkahwin.

Ini kes jodoh yang dipandu oleh jin dan sihir. Juga banyak kita lihat hari ini.

3) Jodoh dari Allah

Si lelaki dan si perempuan yang berkenalan, saling menyintai di atas landasan dan tuntutan Allah. Kedua-duanya menjaga batas aurat dan pergaulan. Si lelaki menyatakan hasrat untuk memperisterikan si perempuan itu, masuk meminang dan akhirnya berkahwin.

Ini kes jodoh dari Allah, yang didoakan untuk mendapatkan kesejahteraan dan berkekalan.

Sumber: dipetik dari drama Melayu sempena Maal Hijrah

Monday, 6 December 2010

Lawak engko nyah!

Sumber: KOSMO, 06 Disember 2010

Friday, 3 December 2010

Kesulitan melaksanakan kenduri apabila......

......... Subsidi petrol, diesel, gula, LPG dikurangkan mulai esok

2010/12/03

KUALA LUMPUR: Subsidi bagi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 5 sen seliter, Gas Cecair Petroleum (LPG) sebanyak 5 sen sekilogram dan gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai esok.

Berikutan penyelarasan jumlah subsidi itu, harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 sekilogram dan gula RM2.10 sekilogram - SUMBER.

--------------------------------

Nota kaki:

Sumber: sini

1) Hendak menghadiri kenduri-kendara, perlukan kenderaan, yang malangnya perlukan petrol/diesel untuk bergerak. 

(cakap tak serupa bikin 1: harga RON 95, diesel kekal akhir tahun - menteri)

(cakap tak serupa bikin 2: harga RON95 kekal tahun ini - menteri)

2) Untuk memasak lauk-pauk selain gulai kawah, perlukan dapur gas (LPG), dan malangnya bukan guna gas karbon dioksida.

3) Hanya jamu tetamu yang datang dengan air kosong? Malangnya orang kita sukakan air yang manis dan bergula.

Thursday, 2 December 2010

Coret-coret

Tangguh pemilihan - Pro

Dua hari lalu, Presiden UMNO telah mengumumkan bahawa parti terbesar yang mewakili Orang Melayu itu telah membuat keputusan bagi menangguhkan proses pemilihan parti sehingga tempoh 18 bulan yang akan datang (setahun setengah) (sumber).

Langkah yang diumumkan itu, menurut DS Najib, adalah untuk memperkukuhkan parti, dengan mengelakkan wujudnya sebarang bentuk konflik dalaman/gangguan yang tidak sihat terhadap parti (terutama daripada aktiviti lobi-melobi calon tertentu yang berhajat untuk merebut tempat/jawatan di dalam pertandingan, sekiranya pemilihan diadakan mengikut pelan asal).

Langkah terbabit juga, barangkali, akan dapat meredakan serba-sedikit cakap-cakap yang tidak sedap didengar daripada orang-orang di bawah, setelah mereka menyaksikan pemilihan PKR, yang didakwa diselubungi oleh pelbagai kontroversi.

Sekiranya diperhalusi, langkah (penangguhan) ini dari satu segi mungkin ada betulnya, iaitu waktu ini bukanlah masa yang sesuai untuk para pemimpin (calon) UMNO bercakaran, menyingsing lengan, menggerakkan jentera kempen dan pelobi mereka menyusup ke segenap pelusuk negara untuk mempromosikan individu tertentu sebagai calon untuk jawatan tertentu.

Waktu ini haruslah dimanfaatkan untuk UMNO kembali ke landasan sebenar, membina kekuatan dalaman parti, membawa penyatuan ahli-ahli untuk bersama memahami dan mendokong misi penting parti, terutama menjelang PRU ke-13 yang akan datang ini.

Tangguh pemilihan - kontra

Dari sudut yang kontra pula, di kalangan pemerhati politik, ada yang melihat langkah UMNO menangguhkan proses pemilihan parti sebagai menunjukkan mereka tidak begitu berminat untuk memanfaatkan peluang (yang terhasil oleh kecelaruan pihak pakatan pembangkang akhir-akhir ini - pemilihan PKR, isu ketuanan Melayu, isu TPM pakatan), untuk tampil 'lebih bersih' berbanding PR di mata rakyat, iaitu dengan menjalankan pemilihan barisan kepimpinan yang baru.

Ini kerana, tiada jaminan bahawa pengukuhan parti boleh berlaku sekiranya pemilihan tersebut ditangguhkan.

Bahkan, lebih buruk lagi, penangguhan pemilihan tersebut hanya akan dinilai rakyat (ahli UMNO terutamanya) tidak lebih sebagai satu lagi langkah ke arah menyelamatkan jawatan dan kedudukan 'kayu-kayu mati' di dalam parti.

---------------------------

Kayu-kayu mati ini boleh dianggapkan sebagai:

- para pemimpin yang telah ditolak rakyat/pengundi semasa PRU yang lalu, tetapi akhirnya diangkat juga menganggotai kabinet melalui kabel 'Senator'.

- pemimpin yang bergelar YB, tetapi setelah menempuh suatu jangka masa, mereka telah dinilai sebagai pemimpin yang tidak produktif, gagal mencapai KPI, tidak dilihat 'bersih' oleh rakyat, beban kepada parti, selain tidak berupaya untuk bersama-sama menjayakan aspirasi Presiden parti).

---------------------------

Sepatutnya, inilah masanya yang terbaik bagi UMNO membuktikan ungkapan 'transformasi' yang mereka laung-laungkan selama ini bukanlah suatu rethorik atau omongan kosong, tetapi mampu disertakan dengan tindakan yang serius oleh parti dan kepimpinan yang ada. 

Semakin lama kayu-kayu mati ini dipelihara oleh parti, selagi itulah sukar untuk rakyat dan pengundi yakin bahawa UMNO kini telah menjadi 'lebih bersih'.

Justeru, adalah penting kayu-kayu mati ini dibuang dan disapu keluar daripada parti.

Benarkanlah tunas-tunas baru pula disemai, dibajai dan berkembang menjadi pelindung yang lebih baik buat parti dan pendokongnya.

Lagi isu Ketuanan Melayu

Setiap kali isu Ketuanan Melayu dibangkitkan, orang-orang Melayu akan bergaduh.

Ucapan Presiden PKR tempoh hari, dengan tidak semena-menanya telah menyentuh perihal Ketuanan Melayu.

Sama ada beliau (Wan Azizah) terlampau yakin bahawasanya minda kebanyakan Orang Melayu telah berubah dan sudah boleh menerima bahawa agenda 'Ketuanan Melayu' perlu ditinggalkan.

Atau suatu bentuk keterlanjuran kata-kata, namun akhirnya telah membuatkan 'sesetengah' Orang Melayu menjadi 'tawar hati' dengan Pakatan.

Seperti 'memberi peluru kepada musuh', tindakan balas adalah dijangkakan. 

Bukan sahaja daripada UMNO, malah badan-badan bukan kerajaan (NGOs) juga turut menyatakan ketidakpuashatian mereka. 

Bezanya, ruang untuk membela diri PKR berkenaan isu yang mereka cipta dan timbulkan ini tidaklah sebalik yang dikecapi pihak yang menghentam mereka, setiap hari, siang dan malam. 

Apakah ini waktu yang sesuai, yang  PKR rasakan mereka perlu mewar-warkan kepada umum (termasuklah orang-orang Melayu) berkenaan hasrat parti untuk meninggalkan perjungan yang menyokong agenda 'Ketuanan Melayu'?

Atau bolehkah ianya hanya diangkat untuk dibincang secara tertutup di peringkat parti? Atau masjlis permuafakatan Pakatan?

Yang nyata, kerosakan telah dibuat. Saya percaya tidak semua ahli PKR yang Melayu menentang, tetapi jika ada segelintir yang menolak saranan Presiden, ianya sudah cukup untuk menimbulkan perpecahan baru di dalam parti yang baru sahaja selesai menjalankan pemilihan pimpinan.

Jika kita kenal PKR, 'sejarah' telah menyediakan bukti-buktinya.

Selangor 'jantung' negara

Sebagai negeri penyumbang KDNK terbesar negara (sumber), kedudukan negeri Selangor adalah begitu strategik.

Pendek kata, Selangor boleh saya anggap sebagai 'jantung' kepada negara kita.

Justeru, sesiapa yang 'memegang' Selangor, bolehlah dianggap sebagai memegang 'kunci' utama kekayaan negara (mungkin saya sengaja memperbesarkannya).

Siapa yang berada di tampuk pemerintahan kerajaan negeri Selangor ketika ini? Kerajaan Pakatan di bawah PKR.

Makanya, daripada pelbagai sebab PKR diserang ketika ini, salah satunya adalah untuk melemahkan pemerintahan kerajaan PKR di negeri Selangor.

Dan apabila PKR mampu dilemahkan, adalah tidak mustahil 'pisang Perak' berbuah dua kali...(faham ke?).

Sakit jantung, sakitlah seluruh badan. 

Tuesday, 30 November 2010

Petikan Minggu Ini

"Ahli politik seharusnya memberi perhatian kepada perkhidmatan mereka kepada rakyat, menolong rakyat. Bukan menggalakkan rakyat untuk bergaduh".

Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim 

nota: sila baca ulasan lanjut beliau (pakar sejarah) berkenaan isu 'Ketuanan Melayu' dengan meng'klik' pada nama beliau di atas.

Sunday, 28 November 2010

Tahniah buat sahabat


Di kesempatan ini saya sekeluarga ingin merakamkan jutaan tahniah dan syabas buat A. Din (Dr. Norazharudin Shah) di atas penganugerahan Ijazah Doktor Falsafah yang baru berlangsung di University of Oxford.

Moga perjalanan hidup, keluarga, kesihatan dan karier selepas ini akan terus dipermudah dan diberkati Allah Taala. 

Semoga kejayaan yang digapai oleh A. Din ini juga akan dapat menjadi contoh dan pemangkin semangat/motivasi buat semua yang sedang berjuang demi menemui 'cahaya di penghujung terowong'.

Wassalam.

Jentera 'berat' - II

Kisah yang di 'cut n paste', dengan sedikit ubahsuai dari SINI

Krupp Bagger 288: World's Largest Trencher

Ringkasnya, tiada apa yang boleh dikatakan 'ringan' tentang gergasi pengorek seberat 13500 tan ini. Ciptaan Jerman ini bersaiz 721 kaki panjang (217 meter @ 2x padang bola), 315 kaki tinggi (96 meter).

Berkemampuan menjalankan kerja-kerja mengorek kawasan seluas sebuah padang bola dengan kedalaman 3 tingkat bangunan - dalam 1 hari!

  Lihat bagaimana gergasi ini melintas jalan!....hoho

 
Nampak tempat pemandunya?

Liebherr LTM 11200-9.1

Kren 'telescopic' ini sememangnya mengagumkan. Ia mampu menaikkan bebanan sehingga berat 1200 tan.

Kekuatannya juga turut dibantu dengan 9 baris tayar yang ada padanya dan 'lengannya' pula boleh dipanjangkan sehingga 100 meter (sepanjang 1 padang bola), dan menjangkau 126 meter dengan sambungan tambahan.

 Komen: mungkin boleh memainkan peranan semasa pembinaan Menara Warisan nanti..hoho

 Seksanya nak set-sup kren ni..

Letourneau L-2350: Front End Loader

Bulldozer tayar getah terbesar dunia di dalam kelasnya. L-2350 ini secara fizikalnya adalah sebesar sebuah unit studio/kediaman. 

Digerakkan dengan enjin berkuasa 2300 kuasa kuda (hp) dengan kemampuan mengangkat bebanan sehingga 160,000 lbs. Pemandunya pula berada di ketinggian 2 tingkat bangunan dari tanah. Ketinggian 'pengaut depan' pula boleh mencapai sehingga 44 kaki (13 meter).

 Bandingkan saiz tayar dengan mamat yang dok pegang pengaut tu...

 Komen: PBT kena beli satu, terutama untuk kerja-kerja meroboh setinggan haram.

Rusch Triple 34-25 with Genesis 2500 Demolition Shear

Agaknya antara jentera peroboh (demolition) terbesar di dunia. Tidak banyak yang mampu dikomen mengenai jentera ini.

 Perhatikan pemandunya yang sedang panjat tangga tu...

 Komen: Selepas ini, jaga-jaga setinggan haram dan gerai-gerai haram...

Saya juga pernah menonton satu dokumentari mengenai Mega Machines di saluran Discovery iaitu mesin melombong P&H yang mana disebabkan saiznya terlalu besar, perlu dipasang (seperti Lego) di tapak lombong. 

Komponennya diangkut dari kilang ke lombong menggunakan trek keretapi khas dan setelah siap, ianya digerakkan oleh kuasa elektrik, seterusnya bekerja 24 jam, 7 hari seminggu selama 20 tahun di lombong emas tersebut...harganya?

Friday, 26 November 2010

Budak kampung: Memancing

Sewaktu berada di kampung juga, saya bersama adik-adik sempat mencuri sedikit masa dengan berjalan-jalan (bermotosikal) di sekitar kampung.

Berdasarkan pengamatan saya, secara fizikalnya telah banyak perubahan berlaku di kampung. Rumah-rumah penduduk semuanya diperbesarkan (disambung / ditambah). Kemudahan asas juga telah menyeluruh diterima.

Suatu petang, saya berkesempatan melawat tapak projek ternakan ikan yang sedang diusahakan oleh bapa saudara dan adik saya di hujung kampung.

Saya tidak berapa pasti jumlah wang/modal yang telah dibelanjakan bagi projek tersebut, tetapi melihatkan prospek semasa, tidak dapat disangkal yang saya juga bakal melaburkan sedikit wang pada 'kitaran' yang akan datang (selepas musim tengkujuh - bulan Feb 2011 jangkaan).

Selain dijual kepada peraih, setiap petang kolam ikan mereka sering dikunjungi oleh beberapa kaki pancing, yang mencuba nasib.

Namun, kebanyakan mereka tidak pernah pulang hampa kerana ikannya adalah jinak dan senantiasa kelaparan.

Menurut Ayoh, terdapat kira-kira 12 buah kolam ikan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian, tetapi selain 2 buah yang baru diusahakan, lain-lain kolam masih terletak di dalam 'hutan' - tiada orang yang berminat.

Namun, setelah penduduk kampung melihat akan potensi yang ada (setelah diusahakan), berlumba-lumba pula mereka membuat 'booking' kolam-kolam yang masih di dalam hutan sana.

Cuma yang menjadi masalahnya, tidak ramai yang sanggup untuk keluar modal dari saku mereka sendiri - semua nak harapkan subsidi dan bantuan kerajaan.


Patutnya, usahakan dulu, keluarkan modal sendiri biarpun untuk satu pusingan projek. Setelah itu, barulah kembangkan kegiatan dengan melihat peluang untuk mendapatkan sokongan agensi kerajaan - kena tunjuk bukti dulu yang kita memang berminat dengan projek tersebut.

Melihatkan minat penduduk yang membuak-buak ini, adik saya yang otaknya bergeliga telah membeli pula sebuah jentera pengorek, yang akan mengambil upah menggali dan menyediakan tapak projek kolam ikan tersebut.

Kini, 2 buah kolam baru sedang disiapkan, 2 kolam telah menuai hasil, sementara yang lain perlu menunggu di dalam hutan, hinggalah berakhirnya musim tengkujuh.

Kolam yang baru digali tidak dikunjungi sesiapa kerana masing-masing tertumpu kepada kolam yang telah diusahakan.

Peluang! 'Lubuk' sebeginilah yang saya cari untuk memancing. Suatu petang, saya, pok amir, e.g dan paih bermotosikal ke kolam tinggal tersebut untuk memancing.

Selama 1jam 30minit di sana, dirasakan memang berbaloi kerana umpan kail kami sentiasa dijamah ikan. Berikut beberapa foto yang ingin saya kongsikan bersama para pembaca.

 Pok Amir setia menjaga kailnya

 EG dan Paih sedang menunggu nyamuk-nyamuk untuk menghisap darah mereka

 Lubuk ikan Selat rupanya kolam tinggal tu

 Penggunaan joran didapati tidak berjaya menarik perhatian ikan

 Ini kolam Ayoh - baru siap dibersihkan (sana tu ada ikang besor..)

 Kolam Tilapia yang diusahakan oleh adik/Sero

 Kaki pancing yang datang mendapatkan ikan segar dari kolam
Jentera pengorek yang dibeli Sero



Hasil sepetang mengail di lubuk ikan Selat