Tuesday, 13 May 2008

Inilah yang sepatutnya

Pelajar luar bandar keutamaan ke MRSM

KUALA LUMPUR 14 Mei - Pelajar luar bandar diberi keutamaan untuk memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) walaupun mereka tidak mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Noh Omar berkata, pelajar yang mendapat 3A 2B dari keluarga yang berpendapatan kurang RM600 sebulan akan diberi keutamaan.- Utusan (14/05/2008 12:35pm)

Memandangkan Dr Sepet merupakan salah seorang produk MRSM (Muar 1996-1997) - sistem sekolah berasrama penuh dan kemudahan pembelajaran di MRSM adalah yang terbaik dan banyak membantu bukan sahaja pembangunan intelektual/akademik anak-anak Melayu, malah menjadi tempat pembangunan sahsiah diri dan kepimpinan mereka. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ramai rakan-rakan yang sama menuntut di MRSM kini menjadi orang yang berjaya di dalam karier, menjadi pemimpin dan menjadi orang yang baik (dengan rezeki Allah).

Rasanya masyarakat kita di luar sana menyedari bahawa ramai anak Melayu yang hidup susah/sederhana di luar bandar yang bijak dan cemerlang dalam pelajaran. Masalah yang timbul adalah keupayaan untuk bersaing (disebabkan kurang kemudahan dan sedikit rasa rendah diri). Ke mana lagi tempat ibubapa bagi anak-anak yang cemerlang ini hendak mengadu jika kerajaan tidak membuka ruang dan peluang untuk mereka?

Secara peribadi Dr Sepet amat menyokong langkah yang digerakkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan ini, malah ia sepatutnya menjadi fokus dan dilaksanakan sejak dari dulu lagi. Seharusnya juga anak-anak Melayu dari luar bandar yang diberikan peluang dan keistimewaan untuk masuk ke MRSM, gunakanlah ia (peluang dan masa) ini untuk terus melakar kejayaan dan jadilah insan yang berjaya yang akan menyumbang semula kepada pembangunan keluarga dan kampung, serta agama dan negara yang tercinta.

Wassalam.

No comments: