Kelmarin semasa sedang sibuk menolong mengemas rumah, saya kehabisan kopi. Waktu itu, keadaannya samalah seperti seorang perokok tegar yang resah sepanjang hari akibat belum pekena "ubat". Maka saya pun bergegas mencari bekalan di 99 SpeedMart yang ada berdekatan rumah.
Kopi Turki jenama Kurukahveci Mehmet Afendi Mamdunlari (perniagaan keluarga bermula tahun 1871)
Selang beberapa pintu dari SpeedMart itu terdapat sebuah toko jamu dan ubatan tradisional, selain pelbagai minuman alternatif berasaskan herba.
Pada fikiran saya, jika ke SpeedMart dahulu, sudah tentu saya akan terus membeli "kopi yang biasa". Makanya saya menuju ke kedai jamu dan herba itu dahulu. Manalah tahu ada produk yang lebih bagus dan lebih "kaw".
Nasib saya baik kerana memang terdapat pelbagai produk berasaskan herba terutama teh dan kopi yang dijual di kedai jamu itu. Bermacam jenama dan berbagai keluaran telah ditawarkan.
Sayangnya, tiada kopi 3 in 1 (kopi + krimer + gula). Paling sedikitpun kopi campuran 5 in 1 (kopi + gula + krimer + tongkat ali + ginseng). Rata-rata kopi berperisa yang lain ditawarkan adalah 7 in 1.
Memandangkan kopi campuran 7 in 1 ini benda pelik kepada saya, maka perlulah saya meluangkan sedikit masa membelek dan membaca "karangan" mengenai kandungan yang dimasukkan bersama kopi tersebut.
Tentulah kesemua produk tersebut disahkan Halal, keluaran Bumiputra Islam, mempunyai maklumat tarikh dikilang dan luputnya, di samping beberapa produk menunjukkan kod pengesahan oleh KKM (Kementerian Kesihatan).
Selain itu, turut dinyatakan bersekali dengan produk adalah khasiat-khasiatnya yang dijamin akan merawat bermacam penyakit, melebihi segala yang mungkin mampu ditawarkan menerusi ubatan klinikal yang lain.
Begitupun saya tidaklah begitu tertarik dengan jaminan khasiat kopi campuran 7 in 1 tersebut sebaliknya cuma ingin melihat sepintas lalu kandungan herba-herba yang dicampurkan ke dalam kopi terbabit.
Rentetan lawatan saya ke Institut Pembangunan Bio Produk UTM baru-baru ini (catatan lawatan boleh dibaca di sini: kunjungan melihat produk herba oleh IBD UTM.), mengingatkan saya sebagai penggemar kopi agar meneliti satu perkara mengenai kopi yang dicampur herba iaitu:
"lihat kandungan sama ada herba yang dicampurkan itu adalah ekstrak, ataupun sekadar campuran (habuk yang terhasil oleh proses mengisar herba)".
(NOTA: IBD tidak mengeluarkan sebarang produk kopi yang dicampur herba).
Ini kerana besar perbezaan di antara produk yang menggunakan ekstrak herba dengan campuran (habuk kisaran) herba. Baca lanjut laporan berikut: 100% ekstrak akar - myMetro.
Di antara petikan laporan tersebut (contoh pemprosesan Tongkat Ali):
ekstrak akar tongkat ali yang larut dalam air sepenuhnya dan tidak mengandungi habuk kisaran daripada batang mahupun akarnya. “Dengan penghasilan produk menerusi kaedah ekstrak yang larut dalam air dan dingin kering ini ia mempunyai kelebihannya tersendiri bagi memastikan ketulenan herba dapat dikekalkan serta kualiti sari patinya serta yang dapat menghasilkan herba ini sehalus molekul air.
Menurut pegawai di IBD juga, pengambilan kopi yang dicampur dengan herba yang dikisar, secara jangka panjang, mampu memudarat dan merosakkan fungsi buah pinggang disebabkan organ penting itu terhalang oleh "habuk-habuk kayu" yang halus yang TIDAK LARUT. Habuk-habuk tidak larut ini seterusnya berkumpul dan menghalang fungsi buah pinggang (jadi penapis yang tersumbat). Habuk ini terkandung di dalam, salah satunya, produk minuman kopi yang tidak menggunakan ekstrak herba.
google image
Justeru, suka saya ingatkan kepada para penggemar kopi di luar sana, berhati-hatilah di dalam memilih kopi herba kegemaran anda. Jangan kerana mempercayai segala jaminan khasiat yang ditawarkan sesuatu produk kopi herba itu, buah pinggang sendiri pula yang rosak.
Bagi saya, petang itu saya pulang dari 99 SpeedMart dengan membawa kopi 3 in 1 yang biasa.
No comments:
Post a Comment