Derma dari harta yang terbaik
Anas r.a menceritakan perihal seorang sahabat Nabi SAW bernama Abu Talhah, yang dikatakan memiliki jumlah harta yang agak banyak berbanding sahabat-sahabat yang lain. Abu Talhah memiliki ladang-ladang kurma yang agak luas, sehingga dikenali oleh masyarakat Madinah ketika itu sebagai pengusaha yang mengeluarkan hasil kurma terbesar.
Antara ladang-ladang kurma yang dimilikinya, ada sebidang ladang yang cukup disayangi oleh Abu Talhah bernama "Baraha".
Foto hiasan - ladang kurma (google images)
Ladang Baraha ini mengeluarkan hasil kurma yang cukup banyak daripada jenis kurma yang terbaik. Ditambah pula dengan kewujudan mata air yang mengalir di celah-celah pepohon kurma tersebut, telah menambahkan lagi keindahan dan keistimewaan ladang kurma Baraha.
Rasulullah SAW juga sering berjalan-jalan di ladang kurma Baraha bersama Abu Talhah, menikmati buah-buah kurma yang ranum serta menghirup air yang dingin dari mata air yang sentiasa mengalir. Suasana di situ yang sungguh nyaman menyebabkan Abu Talhah sangat sayang dengan sebidang ladang kurma yang bernama Baraha itu.
Suatu hari, wahyu Allah SWT telah diturunkan kepada baginda Nabi SAW:
"Kamu sekali-kali tidak akan sampai kebaktian (yang sempurna) sehingga kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya." (Surah Ali Imran: 92)
Dan apabila firman Allah itu dibacakan oleh Nabi SAW yang ketika itu Abu Talhah pun turut mendengarnya, lalu terkenanglah Abu Talhah akan kebun kurma Baraha yang sangat disayanginya. Oleh sebab keimanan Abu Talhah terhadap ayat-ayat Allah yang amat mendalam, maka beliau tanpa berlengah terus menemui Nabi SAW untuk memaklumkan hajat serta keputusannya bagi menyerahkan ladang kurma Baraha miliknya itu kepada Nabi SAW.
Ujar Abu Talhah, "Selepas aku mendengar firman Allah yang menyatakan tidak sampai kebaktian, sehingga seseorang itu menafkahkan hartanya yang dicintainya, maka dengan ini aku mendermakan seluruh ladang kurma Baraha itu kerana Allah, kerana kebun itulah harta yang paling aku sayangi. Aku berharap dengan (derma) ini, aku akan dapat mendekati kebaktian kepada Allah dan semoga Allah akan mengurniakan ganjaran pahala yang baik buatku. Sekarang aku serahkan kepadamu, wahai Rasulullah ladang bernama Baraha itu, terserahlah kepadamu segala hasil-mahsulnya hendak digunakan untuk apa-apa jua ataupun hendak diberikan kepada sesiapa jua", jelas Abu Talhah.
Rasulullah SAW yang sangat mengenali ladang Baraha itu, kerana kedudukannya berhadapan dengan Masjid Nabawi, dengan kesuburan pepohon kurma yang menghijau, menjadikan ia seperti sebuah taman.
Rasulullah SAW mengkagumi tindakan Abu Talhah dan menyampaikan khabar gembira buatnya, "Alangkah tingginya kebaktian, itulah sebenar-benar harta yang dapat menolongmu. Walau bagaimanapun engkau telahpun mendengar ucapanku, bahawa seafdal-afdal sedekah itu ialah kepada waris-waris atau kerabat," ujar Rasulullah SAW lagi.
Namun, Abu Talhah tetap dengan keputusannya dan terserahkan kepada Rasulullah SAW memanfaatkan ladang kurma tersebut.
Terdapat dua pengajaran penting yang dapat kita renung dan ambil iktibar menerusi peristiwa di atas iaitu, pertama, apabila seseorang itu bersedekah, hendaklah daripada harta benda yang baik. Contohnya, jika ingin memberi jamuan/makan kepada jiran, maka bukanlah daripada baki lebihan makanan atau memberikan sesuatu yang dia sendiri tidak mahukan. Sebaliknya, apa jua yang baik dan elok yang kita gemari, itulah yang sepatutnya kita berikan di atas niat bersedekah kerana Allah.
Kedua, peristiwa tersebut memperlihatkan keimanan yang unggul kerana seseorang itu tidak mudah terpaut hati dan jiwanya dengan ujian kemewahan atau kesayangan kepada harta dunia. Ujian sayang dengan harta dunia bagi mereka, tidaklah dapat mengatasi keimanan dan rasa cinta terhadap ayat-ayat serta janji Allah yang akan mengurniakan sebaik-baik balasan pahala ke atas orang-orang yang bersedekah daripada hartanya yang sangat dicintai olehnya sendiri.
Penutup - Tiga jenis harta
Sedang Nabi SAW pernah mengingatkan kepada kita akan sikap sesetengah golongan yang sering mendakwa "ini harta aku, ini milik aku", yang berbangga dengan dunia dan harta yang didakwa "miliknya" itu.
Nabi SAW mengajarkan kepada kita yang harta itu hanya terbahagi kepada tiga iaitu:
1) Harta fana atau punah. Iaitu harta yang dimakan. Harta itu setelah masuk ke dalam perut manusia akhirnya ia akan dikeluarkan menjadi najis. Setelah itu tidak ada sesiapa yang hendak berbangga dengan najis itu, malah tidak ada yang hendak mendakwa sebagai miliknya lagi.
2) Harta yang akan buruk seperti pakaian, kenderaan dan sebagainya. Semua harta tersebut akan melalui proses keusangan dan setelah ia buruk tidak ada siapa yang mengkehendakinya lagi. Pakaian buruk mungkin boleh dijadikan kain lap kaki dan jika kenderaan buruk ia hanya menjadi besi berkarat dan terbuang.
3) Harta yang diberikan kepada manusia, sama ada dalam bentuk nafkah atau sedekah atau hadiah. Harta itu adalah harta simpanan bagi seseorang. Walaupun pada zahirnya harta tersebut sudah bertukar tangan/milik kerana diberikan kepada orang lain, tetapi pada hakikatnya ia merupakan saham atau tabungan bagi seseorang di sisi Allah yang berupa ganjaran pahala.
Harta yang ketiga itulah sebenar-benar harta yang menjadi milik seseorang itu di sisi Allah. Selain daripada itu, ia hanyalah dunia yang akan binasa, menjadi usang dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat lagi.
Allah lebih mengetahui.
Nota: penulisan diilhamkan oleh pembacaan terhadap karya Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertajuk "Taqwa" terbitan Rijal Media (2010).
No comments:
Post a Comment