Ada orang bertanya pada saya: “tak sibuk dengan kerja ke?
Nampak rajin je update blog”. Saya
katakan padanya, soalan itu sudah selalu sangat saya dengar.
Merasakan jawapan saya kepada sahabat itu, mungkin akan dapat mendatangkan manfaat buat rakan pembaca di luar sana, maka di sini suka saya kongsikannya (jawapan tersebut).
Apa yang saya nukilkan di bawah ini terhasil oleh proses
pembelajaran secara “learning by doing” dan perkongsian ilmu bersama
orang-orang yang berpengalaman, telah lama berkecimpung dalam dunia penulisan
dan penerbitan.
Tempoh masa menghasilkan
artikel
Setakat ini urusan blog belum lagi mengganggu komitmen saya
terhadap tugas hakiki kerana ianya tidak saya letakkan sebagai keutamaan yang
mendesak. Dengan kata lain, tidak perlu menyesal jikalau gagal mengemaskini
blog kerana kesibukan tugas.
Berdasarkan pengalaman saya setelah
beberapa tahun menjadi blogger, masa yang diperuntukkan bagi saya menghasilkan sesebuah artikel boleh
dibahagi kepada dua:
1- menulis artikel
sendiri – bagi sesebuah artikel yang saya sendiri tulis, kebiasaannya
mengambil masa yang lama (mungkin sebuah artikel/minggu). Ini kerana saya perlu
mencari masa untuk membaca sesuatu bahan itu sebelum merangka dan menulisnya.
Biasanya proses menulis artikel saya buat pada waktu pagi dan mengambil masa
sekitar 1-2 jam untuk disiapkan. Pembacaan bahan-bahan pula lazimnya saya buat
pada hujung minggu seperti petang Sabtu dan Ahad dan menulis di awal pagi hari
Isnin.
Saya tidak suka menulis artikel pada hari bekerja tetapi sering mendapat
bahan dan idea pada hari bekerja. Kalau menulispun ianya dibuat sekiranya
timbul isu tertentu yang saya rasakan perlukan respon yang segera.
2- artikel ‘cut n paste’
– menjadi kegemaran saya untuk menerbitkan artikel berbentuk ‘cut n paste’, sekurang-kurangnya
satu artikel sehari. Ini kerana proses menerbitkan artikel ‘cut n paste’ adalah
mudah, cepat serta tidak memerlukan saya berfikir.
Saya biasanya memperuntukkan
5 minit bagi menerbitkan satu artikel ‘cut n paste’. Saya juga jarang merujuk banyak
sumber dan lazimnya ‘cut n paste’ posting-posting dari blogserius kerana ianya mudah,
menarik selain tidak mengganggu tugas harian saya.
Legal implications
Aspek ini merupakan satu elemen asas terpenting kepada
seseorang penulis blog. Aspek ‘legal implication’ ini saya pelajari secara langsung hasil perbincangan bersama Dr
MAZA (waktu itu kami sama-sama di UK). Saya dan isteri sering menjemput
beliau datang makan di rumah hampir setiap hujung minggu memandangkan beliau
waktu itu “datang sebagai orang bujang”.
Mengenai Dr MAZA, saya secara peribadi mengkagumi beliau
yang berpengalaman luas di dalam bidang penulisan karya ilmiah dan
kemasyarakatan. Ini kerana impak daripada penulisan beliau bukan mendapat perhatian para pemimpin negara, bahkan diperdebatkan sehingga ke peringkat nasional.
Beliau mengingatkan saya, seseorang penulis itu
perlu sentiasa beringat bahawa setiap apa yang kita siarkan di blog adalah
terdedah kepada risiko “legal implications” (implikasi perundangan). Contohnya kemungkinan untuk didakwa di mahkamah atau disabit di bawah kesalahan jenayah.
Ini penting untuk kita renungkan kerana di
sebalik keghairahan sesetengah bloggers itu mengupas sesuatu isu dan menghentam
sesetengah pihak atau pemimpin, mereka juga sebenarnya secara tidak langsung
turut “menyerahkan tengkok” mereka untuk diadili oleh proses undang-undang,
sekiranya wujud dakwaan tidak asas mahupun berunsurkan fitnah. Lihatlah bagaimana dengan hanya dengan komen di Twitter mengenai Lee Chong Wei, akhirnya Manoharan mendapat malu dan mungkin "dipotong markah" sebagai bakal calon.
Kerana pertimbangan-pertimbangan inilah, blog saya masih
mempunyai lebih 145 artikel (kebanyakkannya artikel berbaur politik) yang tidak diterbitkan.
Peer review
Bersangkutan dengan pertimbangan terhadap ‘legal implication’,
Dr MAZA juga menambah bahawa penerbitan sebuah artikel yang bagus juga perlu
disokong oleh semakan/ulasan awal (second
opinions) daripada rakan-rakan yang berpengalaman (sebagai tempat mendapatkan
rujukan, nasihat dan bimbingan).
Rakan semak (peer review) akan menyoal atau menyemak
sebarang fakta (nama, jawatan orang, rujukan Al-Qur’an dan Hadith, etc) dan
menasihatkan kita sekiranya wujud risiko untuk dikenakan tindakan
undang-undang oleh pihak-pihak tertentu (yang menjadi subjek penulisan), sekiranya artikel itu diterbitkan.
Fikir sebelum tulis,
fikir sebelum posting
Bagi penulisan berbaur politik, biasanya saya akan “mengeramkan”
artikel terbabit semalaman sebelum diterbitkan. Ini kerana apa yang telah saya
tulis malam sebelumnya mungkin berbeza apabila saya membacanya keesokan
harinya. Selalunya-lah akan ada benda yang diubah atau diperbaiki setelah bacaan kali kedua dilakukan. Dan juga, agak
banyak kali jugalah saya menyesal dengan apa yang telah saya tulis dan terbitkan sebelumnya (sebab tidak fikir panjang).
Menulis kerana minat
Saya rasa apa yang memacu saya untuk terus "mengimarahkan" blog
ini adalah disebabkan minat menulis. Setakat ini Alhamdulillah saya tidak menulis atau
menjadikan blog ini sebagai tempat membuat duit. Saya mungkin tidak bijak mengambil
peluang untuk mengiklankan pelbagai produk di blog, seterusnya dibayar. Saya tidak
minat dan tidak pun merasa rugi.
Malah saya bersyukur kerana tidak menyumbang
sama di dalam mengiklankan produk-produk yang kurang cocok seperti “visit to Israel”, “seluar dalam ajaib
bergambar”, “gambar pisang yang sekejap panjang sekejap pendek – ubat seks”, “promosi
poker”, “pusat judi dan hiburan keluarga di tanah tinggi” dan bermacam lagi.
Diharap dengan penerangan ini, sedikit sebanyak dapat
memberikan manfaat kepada anda yang membacanya. Ingatlah, sekiranya kita
menjadikan minat menulis itu dengan niat untuk kebaikan, insyaAllah kita
akan mendapat balasan yang baik dan kepuasan buat diri sendiri.
Allah lebih mengetahui.
No comments:
Post a Comment