Thursday 30 August 2012

Keperluan "Berwasiat"

Wasi

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, baginda Nabi SAW bersabda:

"Tidak ada hak bagi seseorang yang hendak mewasiatkan hartanya (menangguhkannya) bermalam sehingga dua malam, melainkan hendaklah dia segera menulis wasiat itu".

Setiap yang bernyawa pasti akan berjumpa dengan mati. Tiada makhluk yang hidup menongkat langit. Kita percaya kepada kematian, dan kita yakin dengan sabda Nabi SAW sebagaimana petikan hadith di atas.

Soalnya, berapa ramaikah di antara kita yang bersedia untuk membuat dokumen penulisan wasiat? Sama ada ramai atau sedikit, statistik tidak rasmi mengenai harta beku telah dianggarkan mencapai nilai RM40 billion. Sebab utamanya? Kerana lalai di dalam penulisan wasiat.


Sungguhpun penekanan ke arah penyediaan wasiat ini penting, namun disebabkan kurangnya ilmu pengetahuan serta kesedaran orang Melayu Islam mengenai proses pembahagian harta selepas kematian menjadikan lebih banyak masalah dan kesulitan timbul di kemudian hari.

Sebagai jalan mudah, ramai di kalangan kita lebih suka menyedapkan hati dengan menyandarkan proses pembahagian pusaka ini kepada hukum faraid. Ini kerana sesetengah kita membayangkan hukum ini akan digerakkan sendiri secara automatik setelah berlaku kematian kelak.


Malangnya proses ini tidak berlaku. Ianya sukar bertindak sebagaimana yang kita fahami. Ini kerana punca untuk "menggerakkan" proses pentadbiran harta pusaka adalah perlu ada "seseorang" yang akan melaksanakan kesemua urusan tersebut.

"Seseorang" itu boleh jadi waris sendiri (wasi) atau pentadbir harta pusaka yang dilantik.

Sudah banyak insiden di mana terjadi kematian tanpa wasiat. Bukan sahaja dapat kita lihat di dalam drama-drama Melayu, bahkan di dunia yang sebenar juga. Ada ketikanya waris yang dilantik atau Wasi itu tadi agak "segan" hendak menanyakan tentang harta-harta yang ditinggalkan oleh si mati, kerana bimbang dan takut dianggap sebagai tamak oleh waris yang lain.


Walhal pada hakikatnya, prosedur pembahagian harta pusaka wajar disegerakan sebaik jenazah selamat dikebumikan.

Antara perkara yang popular mengenai wasiat adalah:

1) Membuat wasiat untuk memberi 1/3 daripada harta kepada BUKAN waris.

2) Si mati hanya membuat pesanan secara lisan sahaja.

3) Menulis dokumen wasiat untuk melantik seorang pentadbir harta pusaka.

Di antara ketiga-tiga perkara tersebut, yang terakhir itu juga perlu difahami iaitu pelantikan pentadbir kepada harta pusaka ataupun Wasi. Sesungguhnya tiada halangan bagi kita untuk melantik dari kalangan kaum keluarga sebagai wasi, tetapi sebaik-baiknya, lantiklah sebuah organisasi pemegang amanah sebagai wasi.

Sungguhpun saudara-mara itu kita semasa hayat adalah rapat dengan kita, tetapi hal ini eloklah diuruskan dan ditadbir secara profesional. Akan menjadi lebih aman dan tenang apabila wasi tiada kepentingan secara langsung di dalam harta tersebut.

Ada juga yang bertanyakan pelantikan peguam bagi menjadi wasi. Begitupun, adalah lebih baik jika wasi itu dilantik dari syarikat pemegang amanah kerana kelangsungan syarikat sebegitu lebih terjamin berbanding firma guaman (dan juga dikawal selia Kementerian Kewangan). Malah, peguam itu sendiri belum tentu boleh menjamin bahawa beliau sendiri tidak meninggal dunia sebelum kliennya.

Alasan Klasik

Dunia ini penuh dengan ragam manusia. Berkaitan perkara pengurusan wasiat ini, kita tentu pernah mendengar alasan seseorang apabila diminta menyediakan dokumen wasiat seperti "Alah, saya mana ada harta apa pun?"

Ini adalah antara jawapan klasik (macam skrip) yang sering diberikan. Bagi menjawab persoalan ini boleh jadi seperti berikut: "Harta tuan mungkin tidak banyak, tetapi bagaimana pula dengan hutang-piutang tuan?"

Ramai yang barangkali terlepas pandang bahawa pembelian kereta melalui pinjaman ada yang tidak dilindungi oleh takaful kredit. Ini bermaksud, apabila terjadi kematian, baki hutang kereta tidak dijelaskan secara automatik. Malah, si waris pula perlu meneruskan bayaran ansuran tersebut untuk mengelakkan daripada kereta tersebut dirampas kembali oleh pihak bank.

Bayangkan betapa pilu hati seorang balu apabila didatangi individu "penarik kereta" sewaktu beliau sedang memandu setelah kematian suami....Justeru, para suami kenalah ambil iktibar dari contoh ini dan pastikan pinjaman kereta anda mempunyai polisi takaful kredit di mana apabila terjadi kematian, baki akan dijelaskan oleh pihak takaful.

Suami dan Isteri

Ada para isteri yang berkongsi pengalaman mereka apabila diajukan soalan tentang penulisan wasiat kepada para suami mereka. Jawapan yang juga klasik yang sering diberikan adalah: "Hai, awak sudah ingat saya sudah hendak mati ke?"

Buat para suami, jangan berburuk sangka kepada isteri anda. Lihatlah pelbagai kisah yang menyedihkan yang terpaksa ditempoh para balu setelah kematian suami yang pergi tanpa sempat menyiapkan wasiat. Ke sana-sini si isteri kena berkejar menyelesaikan perkara ini disebabkan ketiadaan wasi. Manakala, urusan dengan peguam bagi membuka fail sahaja sudah dicaj tinggi. Itupun tiada jaminan tuntutan harta pusaka tersebut dapat diselesaikan.

Begitu juga dalam kes arwah suami yang tidak meletakkan penama pada simpanan KWSP. Kasihan si isteri kerana perlu melalui pelbagai kerenah birokrasi dan ditambah lagi hal-hal mengurus keluarga, mencari nafkah dan menjaga anak-anak.


Contoh-contoh di atas itu sudah dikira cukup memilukan kesan daripada kelalaian sesetengah kita daripada menyiapkan dokumen wasiat. 

Sekarang cuba anda bayangkan sekiranya ada suami yang mati, tetapi telah berkahwin dua, secara sorok-sorok dan tidak mendaftarkan perkahwinan (isteri kedua itu) di Malaysia? Bagaimana untuk menguruskan perkara ini secara seadil-adilnya kepada kedua-dua isteri yang ditinggalkannya?

---------------
Nota:
- penulisan diinspirasikan oleh pembacaan terhadap naskah Rohani Mohd Shahir (2012). Bijak Mengurus Wang. Galeri Ilmu Sdn Bhd.

No comments: